Thursday, 31 January 2013

AL-RAEID 57


ULUM HADITH

Oleh: Ismail bin Ibrahim

PERBUATAN-PERBUATAN YANG DILARANG


1. Sombong  (Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi kesombongan). Hadith Soheh Muslim Bab Haram Berlaku Sombong.

2. Riya’ dan Sum’ah (Siapa saja yang memperdengarkan amalannya (Sum’ah) maka Allah s.w.t akan menyingkap aibnya pada hari kiamat. Dan siapa saja berbuat riya’ maka Allah s.w.t akan membongkar rahsia hatinya). Hadith Soheh Bukhari Bab Riya’ Dan Sum’ah.

3. Dusta (Celakalah orang yang mengucapkan (membicarakan) suatu perkataan agar orang-orang ketawa kerananya, lalu ia berdusta, celakalah ia, celakalah ia). Hadith Sunan Tarmizi Bab Orang Mengatakan Suatu Perkataan Supaya Ia Diketawakan.

4. Dosa dan fitnah (Fitnah (dosa) itu dipamerkan ke hati seperti tikar, sehelai demi sehelai. Maka hati yang menyerap dosa itu akan membekaskan titik hitam). Hadith Soheh Muslim Bab Bermula Islam Itu Ghorib Dan Akan Kembali Ghorib.

5. Menuduh seseorang muslim dengan kekufuran (seseorang yang berkata kepada saudaranya: “Wahai kafir” maka ia telah menetapkan hal itu kepada salah satu dari keduanya, jika saudaranya itu seperti apa yang ia katakan, jika tidak maka kembali kepadanya). Hadith Soheh Muslim Bab Hal Iman Orang Yang Berkata Kepada Saudaranya Ya Kafir.

6. Wanita meminta talak (Wanita yang meminta
 cerai kepada suaminya dengan tanpa alasan yang benar, maka haram baginya bau syurga). Hadith Sunan Darimi Bab Larangan Isteri Meminta Cerai Pada Suami.

7. Meninggalkan solat Jumaat tanpa ada keuzuran (Barangsiapa meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerena meremehkan (tanpa uzur) maka Allah s.w.t akan mengecap pada hatinya). Hadith Sunan Ibnu Majah Bab Orang Yang Meninggalkan Jumaat Tanpa Keuzuran.

8. Memutuskan hubungan silaturrahim (Tidak masuk syurga orang yang memutuskan tali silatulrahim). Hadith Soheh Bukhri Bab Berdosa Orang Yang Memutuskan Silaturrahim.

9.  Minum dengan tangan kiri  (Janganlah salah seorang dari kamu makan dengan tangan kiri dan janganlah minum dengan tangan kiri, kerana sesungguhnya syaitan makan dan minum dengan tangan kiri). Hadith Soheh Muslim Bab Adab Makan, Minum Dan Hukum Keduanya.

10. Ghibah (Tahukah kamu apa ghibah itu? Mereka berkata “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Nabi s.a.w menjawab: “Kamu menyebut tentang saudara kamu yang tidak ia suka”. Di katakana: “Bagaimanakah menurutmu jika apa yang aku katakan itu memang benar ada pada saudaraku” Nabi s.a.w menjawab:  “Jika hal itu ada padanya maka kamu telah berbuat Ghibah dan jika hal itu tidak ada padanya maka kamu telah berdusta padanya). Hadith Soheh Muslim Bab Pengharaman Ghibah.

11. Menyerupai lawan jenis (Rasulullah s.a.w melaknat para wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai wanita). Hadith Sunan Tarmizi Bab Leleki Menyerupai Perumpuan.

12. Mencari ilmu untuk tujuan keduniaan (Siapa sahaja mencari ilmu yang bertujuan untuk mendapatkan keredoan Allah s.w.t namun ia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan keuntungan dunia, maka ia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat nanti). Hadith Dalam Musnad Imam Ahmad. (No. hadith 2861)

13. Wanita menikah tanpa wali (Siapa sahaja wanita yang menikah tanpa izin dari walinya, maka nikahnya batil, nikahnya batil, nikahnya batil). Rujukan Kitab Fathulbari. Kitab Nikah.

14. Menggangu orang-orang yang sedang solat (Siapa sahaja makan bawang merah, bawang putih dan karas maka janganlah mendekati masjid kami; kerana sesungguhnya malaikat merasa terganggu sebagaimana terganggunya anak adam). Hadith Soheh Muslim Bab Larangan Makan Bawang Merah, Bawang Putih, Karas Dan Sebagainya.

15. Meratapi mayat (Siapa sahaja diratapi (saat meninggal dunia) maka ia akan disiksa sesuai dengan ratapan tersebut pada hari kiamat). Hadith Soheh Muslim Bab Jenazah Diazab Dengan Ratapan Ahlinya.

16. Hasad (Jahuilah sifat hasad, sesungguhnya sifat hasad itu memakan kebaikkan sebagaimana api memakan kayu bakar) Hadith Sunan Abi Daud (No. Hadith 2111).

17.  Minum dengan menggunakan bekas yang diperbuat dari pada emas dan perak (Janganlah kalian minum dengan menggunakan bekas yang diperbuat dari emas dan perak, janganlah memakai pakaian yang terbuat dari kain sutera dan dibaj (sejenis kain sutera) sesungguhnya semua itu bagi mereka orang kafir di dunia dan bagi kamu di akhirat). Hadith Soheh Bukhari Bab Bekas Perak.

18. Minum minuman keras (Tidak akan masuk syurga lima orang: pecandu arak, orang yang percaya dengan sihir, pemutus hubungan silaturrahim, dukun dan orang yang suka mengungkit). Hadith Musnad Imam Ahmad. (No. Hadith 10877).

TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
----------------------------------------------------------

MEMOHON SUMBANGAN BARANG KERING UNTUK KANTIN MAHAAD TAHFIZ KG. LUBUK KATAK

Pihak sekolah mempelawa para dermanan untuk berbakti kepada agama dengan memberi sumbangan tetap bulanan barang kering bagi keperluan makan pelajar yang menghafaz al-Qur’an.
     
Barang keperluan harian adalah seperti keterangan berikut:-

PERKARA
KEPERLUAN
HARIAN
Beras
30 kg (satu hari)
Gula
4 kg (satu hari)
Minyak Masak
3 kg (satu hari)
Telur
15 papan (satu minggu)
Ikan Bilis
3 kg (satu minggu)
Ayam
36 ekor (satu Minggu)
Daging
34 kg (satu minggu)
Ikan Laut
30 kg (satu minggu)
Ikan Keli
30 kg (satu minggu)
Gas
7 tong (satu minggu)

Nota:
1. Sumbangan dalam bentuk wang boleh dimasukkan ke dalam akaun Maybank (perbankkan Islam) atas nama Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN (Nombor Akaun: 5581 2731 1303).

Monday, 28 January 2013

Sambutan Maulidurrasul S.A.W 1434h

Salam sejahtera para pembaca yang budiman.Selawat dan salam kepada junjungan besar kita,nabi Muhammad S.A.W,pembawa rahmat juga penghulu segala nabi.Mari kita memperbanyakkan selawat kepada baginda sebanyak-banyaknya di bulan kelahiran baginda seperti yang dianjurkan baginda mafhumnya, "Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali nescaya Allah akan berselawat kepada sepuluh kali".Dalam satu hadith mafhumnya "Ajarlah anak-anakmu akan 3 perkara iaitu,kecintaan kepada baginda,kecintaan kepada keluarga baginda dan membaca Al-Quran",nabi Muhammad S.A.W menegaskan 3 perkara tuntas kepada kejayaan anak-anak kita.Telah nyatalah kejayaan ini apabila Nabi Muhammad S.A.W dijadikan idola dalam kehidupan anak-anak malahan ibu bapa anak itu sendiri.Untuk menanam benih kecintaan inilah punca sambutan Maulidurrasul ini diadakan dimerata-rata tempat diseluruh negara.

video

Alhamdulillah pelajar-pelajar  Mtq-4 TIDAK KETINGGALAN untuk bersama-sama dalam melaungkan selawat dalam menyambuat hari kelahiran baginda dalam program Gema Selawat.


Majlis dimulakan dengan penyampaian ceramah oleh Ustaz Abdul Muhaimin Abdul Malik.Turut serta dalam majlis ini Ustaz Mohd Adzomuddin Osman,Ust.Hanif Abd.Malik,Ust.Hazrul bin Khalid dan Ust.Najmuddin bin Nasaruddin. 



Laungan selawat dan bacaan Qasidah Burdah dipimpin oleh Ustaz Muhammad Hanif bin Abd.Malik







Sambutan ini bukan hanya meraikan hari kelahiran baginda junjungan besar kita,nabi Muhammad S.A.W,bahkan menghayati risalah yang dibawa baginda kepada ummatnya iaitu agama Islam.Mengesakan Allah dalam semua keadaan,susah mahupun senang.Juga menghayati sunnah-sunnah baginda utnuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Allahumma Solli Ala Muhammad.

Saturday, 26 January 2013

Tetamu-tetamu MTQ4 Tapah

Alhamdulillah Segala puji dan pujian dipanjatkan kehadrat ilahi yang masih lagi memberikan kita pernafasan untuk meneruskan perjuangan di atas muka bumi ini.MTQ-4 Tapah amat bersyukur kerana sudah hampir sebulan Maahad Tahfiz ini membuka tirai 2013 tanpa ada halangan malah program yang dirancang dipenghujung tahun 2012 pun sudah berlangsung dengan begitu baik.Kesemua ini atas kebijaksanaan dan kecekapan guru-guru dan kakitangan dalam menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan.Alhamdulillah Dalam masa ini pihak Maahad menerima beberapa kunjungan dari tetamu-tetamu yang ingin melihat Maahad ini dengan lebih dekat.Antaranya ialah,


Dato Paduka Dr.Nur Hasyimi Bin Raja Abdullah.Beliau hadir bersama rombongan keluarga pada 5 januari yang lalu.Turut serta menyambut beliau,Pengetua Maahad,Ustaz Fazali Bin Abdul Manas.Pengerusi Lajnah Pembangunan Maahad,Ustaz Aminuddin Hj.Abd.Hamid.Tok Sidang Kg.Jalan Karchu,Tuan Hj.Arip dan semua guru-guru,


Beliau juga sempat memberikan beberapa cenderahati dari keluarga beliau kepada Maahad yang diwakili oleh Pengerusi Lajnah Pembangunan,Ustaz Aminuddin Hj.Abd.Hamid.

Antaranya lagi ialah seorang tokoh terkemuka tanah air,


Dr.Zulkifli Muhammad Al-Bakri.Beliau sempat memberikan ceramah sempena sambutan Maulidurrasul 1434h kepada anak-anak pelajar dan seluruh warga Mtq4 yang dipengerusikan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM),Ustaz Abdul Muhaimin Abdul Malek,


Pengetua Mtq-4 Tapah, Ustaz Fazali Bin Abdul Manas memberikan cenderahati sebagai tanda terima kasih pihak Maahad kepada beliau kerana sudi hadir ke Maahad.

Pihak Maahad amat berterima kasih kepada semua yang menyokong,menyumbang secara langsung ataupun tidak kepada Maahad.Semoga apa dilakukan dan dirancang berjalan dengan lancar demi mendidik anak-anak bangsa menjadi Huffaz yang berjaya bertepatan dengan visi dan misi Maahad.

Friday, 25 January 2013

Warga Mtq 4 Tapah 2013

BERGAMBAR..Guru-guru dan kakitangan MTQ4 Tapah 2013


AL-RAEID 56


MAQASID SYARIAH

Oleh: Abd Muhaimin b. Malek

MAQASID (OBJEKTIF) SAMBUTAN MAULID RASUL


MUKADDIMAH: Berkata al Hafiz al Sakhawi, telah berkata Ibn al Jazari: antara keistimewaan meraikan keputeraan nabi S.A.W dengan mengingati kisah hidup dan perjuanganNya,memujiNya ialah keamanan pada tahun tersebut dan berita gembira akan perkenan apa yang dihajati.(Muhammad S.A.W Abdullah Sirajuddin. ms.473). Ini, apabila sambutan maulid disambut dengan penuh perasaan mencintai baginda dan mengagungkan apa yang dibawa oleh baginda. Sehingga majlis keraian tersebut benar-benar menjadi suatu Ibadah yang tentunya berpahala. Untuk menjadikan sambutan maulid sebagai ibadah, kita harus memastikan maqasid sambutan ini tercapai, antara maqasid sambutan maulid ialah;

1- MENDAPAT RAHMAT ALLAH

Bergembira dengan kehadiran nabi di atas muka dunia ini sudah dikira baik dan mendapat rahmat, apatahlagi. Meniru atau mengikuti ajaranNya juga akan mendapat rahmat. Dalam meraikan Maulid nabi, yang diharapkan sangat-sangat adalah Rahmat Allah.
Syeikh Abdullah Sirajuddin dalam karyanya “Muhammad Rasulullah S.A.W, Syamailuhu ,wa khasoilhu al Hamidah” menukil satu riwayat dari Ibn Hajar al ‘Asqalani melalui kitab “Fathul Bari Syarah Soheh Bukhari”, katanya: Al ‘Abbas R.A pernah bermimpi bertemu Abu Lahab sesudah beliau mangkat, Al ‘Abbas bertanya: bagaimana keadaan engkau di dalam neraka. Jawab Abu Lahab: Aku diseksa dengan azab yang amat pedih setipa hari, kecuali hari Isnin, Tuhan akan meringankan azab ke atasku. Bertanya Al’Abbas lagi: Sebab apa? Jawab Abu Lahab: kerana pada hari Isnin inilah aku telah diberitakan oleh hamba sahaya aku Tsuwaibah al Aslamiah bahawa anak saudaraku selamat dilahirkan, maka ketika itu juga, aku memerdekakan dia kerana terlalu gembira dengan kelahiranNya, disebabkan itu, Tsuwaibah telah menyusukan anak saudaraku. (Riwayat dengan makna)

Hadis ini menunjukkan kepada kita, betapa dengan sebab kedatangan nabi atas dunia ini, semua makhluk akan merasai rahmat Allah, hatta orang-orang kafir seperti Abu Lahab, yang bukan sahaja kafir tetapi dihina Allah di dalam al Qur’an. Maka selayaknya kita juga mendapat rahmat dari kelahiranNya S.A.W.

Abdullah sirajuddin(ms.295) ketika menghurai ayat yang bermaksud: “ Tidak kami utuskan kamu melainkan sebagai rahmat kepada sekalian ‘alam”, beliau menyebut: Semua isi kandungan risalah muhammadiah yang terdiri daripada perintah-perintah dan larangan-larangan Allah, baik dalam urusan ibadat, mu’amalat, hak-hak kewajiban, atau lainnya, semua ini terbina di atas asas rahmat kepada sekalian hamba. Dan apa yang terkandung di dalam risalah tersebut adalah suatu rahmat dan kebahagiaan untuk dunia dan juga akhirat.

Orang mukmin yang benar imannya, mereka akan mengambil dari risalah tersebut  kedua-dua urusan dunia dan akhirat, maka mereka mendapat rahmat di dunia dan akhirat.

Selain dari orang beriman, mereka mengambil dari risalah tersebut urusan dunia sahaja, maka mereka akan dapat kebahagian dunia sahaja.

2- TAJDID BAI’AH KEPADA RISALAH (AL QURAN)
Sewajarnya sambutan keputeraan nabi Muhammad s.a.w dijadikan medan memperbaharui Bai’ah atau taat setia kita kepada rasul dan risalahNya agar pengurusan hidup kita tidak lari dari kemahuan agama yang dibawa baginda. Justeru itu, setiap muslim wajib mengerti apa yang dibawa nabi S.A.W. Dr Ratib Nabulsi dalam “Taamulat fil Islam” menyebutkan: antara perkara yang sepatutnya dirasai ketika menyambut maulid adalah keazaman untuk menela’ah sunnah nabi dari perkataanNya, perbuatanNya dan pengakuanNya, kerana melalui nabi kita dapat mendekat diri kepada Allah S.W.T. dan perkara ini merupakan syarat mendapat kasih daripada Allah. FirmanNya:

31. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al ‘Allamah Abu Hasan Ali An Nadwi dalam salah satu maqalahnya “Haajaatul Basyar ila Makrifatin Sahihatin” menyebutkan: antara hikmah penurunan nabi S.A.W ke atas dunia adalah supaya manusia dapat menjalani kehidupan beragama secara benar dan sahih, bukan mengikut pemikiran masing-masing.

3- MERASAI KEWUJUDAN NABI DI SAMPING KITA

Syeikh Muhammad al Toyyib Bhauddin ketika mengulas karya Imam Al Suyuti “Husnul Maqsid fi ‘Amalil Maulid” berkata:  Dengan haflah maulid  nabi, boleh menjadikan kita merasai kewujudan nabi di samping kita, agar kita rasa segan atas ketaksiran kita terhadap ajaran yang diperintahkan, dan agar kita memperbaharui tekad di hadapan nabi untuk terus membantu menyebar luaskan ajaranNya seterusnya melaksanakan ajaran baginda. Kalau inilah yang terhasil sepanjang meraikan maulid rasul, maka kita  berhak melaksanakan lebih kerap lagi amalan tersebut. Jika sekiranya objektif ini tidak tercapai, maulid yg disambut akan dicela Allah dan nabi (ms.56 & 57)

PENUTUP

Syeikh Abdullah Sirajuddin R.A (ms 7&8) menyebutkan beberapa sebab umat Islam perlu berta’aruf dengan nabi S.A.W. ketika menghayati sejarah MaulidNya:

1- Mengekalkan keimanan kita kepada baginda
2- Dapat mengikut perintah sepeti ayat di atas.
3- Mengasihi dan menyayangi baginda lebih dari kasih sayang kita kepada anak dan isteri. Perniagaan dan harta duniawi.
4- Dapat menghidupkan hati-hati pencintaNya.

Rujukan:

Muhammad S.A.W Syamailuhu wa Khasoilhu al Hamidah, Hajatur Basyar Ila Makrifatin Sohohatin, Ta’ammulat Fil Islam, Husnul Maqsid fi ‘Amalil Maulid dan al Quran terjemahan.

TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
----------------------------------------------------------
Segala bentuk sumbangan sangat diperlukan untuk membantu pelajar mengikuti pendidikan hafazan al-Quran.

Penderma yang berminat, bolehlah menghantar sumbangan berbentuk cek/ wang pos/ kiriman wang anda atas nama: Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN.

Atau bank-in terus ke akaun Maybank Maahad, no: 5581 2731 1303.

Tuesday, 22 January 2013

AL-RAEID 55


TAFSIR AL-QUR’AN

Oleh: Mohd Fazali bin Abdul Manas

HURAIAN WASIAT DAN KEPENTINGANYA
PADA AYAT 180 DARI SURAH AL-BAQARAH



1.         PENDAHULUAN
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Diwajibkan ke atas kamu berwasiat dengan cara terbaik kepada ibubapa dan keluarga yang hampir apabila seseorang kamu hampir mati dan sekiranya ada meninggalkan harta. Itu adalah kewajipan orang yang bertaqwa. Surah al-Rahman ayat 180.

2.         KEFAHAMAN UMUM AYAT
Menurut Syaykh Mustafa al-Maraghi, diwajibkan kepada orang beriman memberi wasiat kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat ketika mereka berada dalam suasana sebab-sebab yang boleh membawa kematian jika mereka meninggalkan harta yang banyak.

Menurutnya lagi, terdapat dua pandangan di kalangan ulama mengenai wasiat kepada waris. Pandangan pertama tidak membenarkan wasiat kepada ahli waris kerana terdapat hadis yang melarang berbuat demikian.

Namun, pandangan yang kedua menyatakan bahawa harus bagi seseorang memberi wasiat kepada warisnya jika keadaan memerlu berbuat demikian seperti berwasiat harta yang lebih kepada warisnya yang miskin atau waris yang tidak mampu berusaha akibat dari kecatatan dan sebagainya.

3.         PENGERTIAN WASIAT
Menurut Ustaz Rizalman bin Muhammad, Wasiat ialah pernyataan kehendak seseorang untuk menyerahkan bahagian miliknya kepada seseorang yang dikehendakinya dan ianya berlaku sesudah ia meninggal dunia.

Menerusi pengertian ini dapat difahami bahawa wasiat berlaku ketika ada pemberi wasiat, penerima wasiat, perkara yang hendak diwasiatkan, dan ianya berjalan sesudah pemberi wasiat meninggal dunia.

Jika seseorang ingin memberi hak miliknya kepada seseorang semasa hayatnya, maka ia dinamakan hibah, sedekah, wakaf, dan sebagainya. 

4.         HUKUM BERWASIAT

Terdapat dua pandangan ulama mengenai hukum wasiat. Kebanyakan ulama menyatakan bahawa wasiat adalah sunat. Menurut sebahagian ulama pula seperti al-Imam al-Zuhri (m. 124H) dan lainnya menyatakan bahawa wasiat adalah wajib.

Menurut Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, dan Syaykh Ali al-Syarbaji, wasiat adalah mengikut keperluan seseorang sama ada wajib, sunat, haram, makruh, atau harus.

5.         RUKUN WASIAT

Terdapat empat rukun wasiat, iaitu:
  1. Pewasiat iaitu mereka yang baik akalnya, baligh, dan secara sukarela.
  2. Penerima wasiat iaitu dua bahagian. Pertama mereka yang ditentukan oleh pewasiat secara jelas. Kedua mereka yang tak ditentukan oleh pewasiat seperti memberi sumbangan ‘fi sabilillah’, fakir miskin, dan sebagainya.
  3. Harta iaitu dengan syarat harta yang boleh mendapat manfaat darinya.
  4. Sighah iaitu sama ada lafaz yang jelas atau isyarat yang boleh difahami (termasuk juga dalam pengertian sighah tulisan).

6.         KEPENTINGAN WASIAT

Wasiat dapat menyelesaikan masalah masyarakat sama ada berkaitan dengan sosial, ekonomi, dan sebagainya. Justeru, selain ayat 180 dari surah al-Baqarah terdapat hadith Nabi s.a.w yang banyak menjelaskan persoalan berkaitan dengan wasit.

Menurut kajian Ustaz Rizalman b. Muhammad terdapat 180 teks hadith yang bertaburan dalam kitab hadith al-Sunan al-Sittah membicarakan persoalan wasiat. 87.01 % adalah hadith sahih. Kedaaan ini sudah menggambarkan bahawa wasiat adalah suatu kaedah penyelesaian masalah masyarakat yang menjadi perhatian yang serius dari agama Islam.

Oleh itu, penulis menyarankan supaya masyarakat Islam zaman sekarang mendalami hukum yang berkaitan dengan wasiat supaya persoalan berkaitan dengan harta yang tidak diuruskan dapat diselesaikan dengan baik. Lebih-lebih lagi jika harta tersebut bersangkut dengan urusan Allah s.w.t seperti zakat dan sebagainya atau bersangkut dengan urusan sesama manusia seperti hutang piutang dan sebagainya.

7.         KESIMPULAN

Penulis ingin memetik satu hadith Nabi s.a.w yang bermaksud: “ Tidak sepatutnya seseorang Islam menyimpan sesuatu yang hendak diwasiatkan selama dua malam melainkan dia menulis wasiatnya disisinya. – Hadith riwayat al-Imam Bukhari nombor hadith 2738.

Hadith ini memberi pengertian yang mendalam supaya umat Islam bijak merancang kehidupan mereka ketika berada atas dunia ini atau ingin menuju ke hadrat ilahi. Oleh itu, wasiat yang penting seperti masalah hutang dengan orang ramai atau hutang dengan Allah s.w.t mesti diberi perhatian utama.

Rujukan:

  1. Al-Qur’an al-Karim,
  2. Tafsir al-Maraghi,
  3. Tafsir Ibn Kathir,
  4. al-Sunan al-Sittah,
  5. al-Fiqh al-Manhaji,
  6. Wasiat Dan Hibah.


Mohd Fazali b. Abdul Manas kelahiran Kg. Bukit Sapi, Lenggong, Perak. Mendapat pendidikan di Madrasah Misbah al-Falah, Baling, Kedah (1983-1995), BA Republik Yaman (1998-2003), MA Universiti Malaya (2007-2011). Sekarang bekerja sebagai Pengetua di Maahad Tahfiz al-Qur’an wal-Qiraat ADDIN-4,Tapah, Perak.
Email: mtqlubuk_katak@yahoo.com.my
Tel: 013-530 5228 


 
 









TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com

MEMOHON SUMBANGAN BARANG KERING UNTUK KANTIN MAHAAD TAHFIZ KG. LUBUK KATAK

Pihak sekolah mempelawa para dermanan untuk berbakti kepada agama dengan memberi sumbangan tetap bulanan barang kering bagi keperluan makan pelajar yang menghafal al-Qur’an.
     
      Barang keperluan harian adalah seperti keterangan berikut:-
PERKARA
KEPERLUAN
HARIAN
Beras
30 kg (satu hari)
Gula
4 kg (satu hari)
Minyak Masak
3 kg (satu hari)
Telur
15 papan (satu minggu)
Ikan Bilis
3 kg (satu minggu)
Ayam
36 ekor (satu Minggu)
Daging
34 kg (satu minggu)
Ikan Laut
30 kg (satu minggu)
Ikan Keli
30 kg (satu minggu)
Gas
7 tong (satu minggu)

Nota:
1. Sumbangan dalam bentuk wang boleh dimasukkan ke dalam akaun Maybank (perbankkan Islam) atas nama Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN (Nombor Akaun: 5581 2731 1303).

AL-RAEID 54


RUANGAN ULUM AL-QURAN

Oleh: Nur Muhammad As-siddiq b. Mohammad

PENGUMPULAN AL-QURAN DAN SEJARAHNYA


PENDAHULUAN

Kajian terhadap pengumpulan al-Quran serta sejarahnya merupakan satu kajian yang penting di dalam bidang Ulum al-Quran, kerana ianya mampu memberikan keyakinan terhadap keaslian ayat-ayat suci al-Quran, iaitulah ayat-ayat yang telah diterima oleh umat Islam semuanya. Kajian ini juga membuktikan kebenaran janji Allah SWT di dalam firmanNya: ”Sesungguhnya kami yang telah menurunkan al-Quran dan sesungguhnya kami yang akan menjaganya” (al-Hijr: 9)

MAKSUD PENGUMPULAN AL-QURAN

al-Quran itu dikumpul melalui dua cara:

Pertama: Pengumpulan di dalam dada dengan cara menghafaznya dan melahirkannya. Ini dijelaskan di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kami yang berkuasa mengumpulnya (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya pada lidahmu” (al-Qiyamah: 17). Kalimat “mengumpulnya” itu adalah bermaksud menghafaz al-Quran dan melahirkannya melalui bacaan.

Untuk lebih jelas lagi, perhatikan kata-kata Ibnu Abbas RA: “Sesungguhnya Nabi SAW akan menggerak-gerakkan dua bibirnya apabila diturunkan ayat al-Quran kepadanya (kerana bimbang ayat al-Quran akan terlepas dari ingatannya), lalu turun ayat: “Janganlah engkau menggerak-gerakkan lidahmu, sesungguhnya kami yang berkuasa mengumpulnya (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya pada lidahmu”. Kemudian Ibnu Abbas menyambung: “..apabila turun ayat al-Quran selepas itu kepada Nabi SAW maka baginda akan mendengarnya dengan teliti kerana Allah SWT telah menetapkan ayat-ayat yang diturunkan ke dalam hati baginda serta memudahkan baginda membacanya”.

Kedua: Pengumpulan melalui penulisan. Pada zaman Rasulullah SAW al-Quran telah ditulis oleh para sahabat atau diukir di atas batu, tulang, pelepah kurma dan lain-lain lagi, kerana pada masa itu kemudahan alat-alat tulis tidak ada seperti sekarang. Demi memelihara al-Quran, maka Nabi SAW telah mengarahkan beberapa sahabat dan melantik mereka sebagai tukang tulis al-Quran, di antaranya ialah Zaid bin Thabit, Muawiyah bin Abi Sufyan, Ubai bin Ka’ab. Nabi SAW juga melarang sahabat daripada menulis selain daripada al-Quran, khusunya hadith kerana bimbang akan bercampur antara al-Quran dan hadith, maka kebanyakan sahabat menulis ayat al-Quran dan menghafaz hadith.

Inilah dua cara pengumpulan al-Quran sejak ianya turun kepada Rasulullah SAW, kerana itulah Allah SWT telah meletakkan nama kitab yang suci ini dengan dua nama yang masyhur iaitu al-Quran dan al-Kitab. Doktor Muhammad Abdullah Darraz berkata: “Dinamakan dengan al-Quran kerana ianya dibaca dengan lidah, dan dinamakan dengan al-Kitab kerana ianya ditulis dengan qalam iaitu pen”.
Penamaan dengan kedua-dua nama ini menunjukkan kepada kita bahawa ia perlu dijaga pada dua tempat, iaitu al-Quran perlu dijaga melalui hafazan dan tulisan. Tidak cukup untuk diyakini dengan semata-mata hafazan tanpa disokong oleh tulisan begitu juga sebaliknya.

HAFAZAN SERTA PERHATIAN NABI SAW TERHADAP AL-QURAN

Tidak dapat diragui lagi bahawa Nabi SAW sangat berhati-hati ketika menerima al-Quran yang disampaikan oleh malaikat Jibril AS, kemudian baginda bersungguh-sungguh menghafaznya. Rasulullah sentiasa membaca al-Quran di waktu malam dan siang, secara bersendirian atau beramai-ramai, masa musafir atau mukim, masa susah atau senang, tidak pernah luput al-Quran dari hatinya walau sesaat. Baginda membacakan al-Quran kepada sahabat-sahabatnya dan mengajar mereka hukum-hukum dan nasihat-nasihat yang terkandung di dalam al-Quran.

Terdapat beberapa dorongan dan sebab-sebab yang membantu Nabi SAW untuk menghafaz al-Quran dengan sempurna, antaranya ialah:

1- Kuatnya kecintaan Rasulullah SAW terhadap al-Quran.
2- Penerimaan al-Quran daripada Jibril AS secara berterusan kepada Nabi SAW menambahkan lagi ketenteraman jiwanya dan menjadikan hatinya terikat dengan al-Quran.
3- Suruhan baginda supaya sahabat-sahabat mencatat ayat al-Quran setiap kali diturunkan juga merupakan sebab yang menambahkan hatinya terikat dengan al-Quran.
4- Baginda sering merujuk kepada al-Quran dan memerhati pengertian-pengertiannya kerana ia adalah sumber utama bagi perundangan. Dan baginda beramal dengan ajaran al-Quran dan mengajarnya kepada manusia.
5- Baginda selalu membaca al-Quran di dalam sembahyang fardhu, sunat, tahajud dan lain-lain lagi.

Semua faktor ini mendorong menjadikan al-Quran tersemat kuat di hati Rasulullah SAW, dan kerana itu baginda adalah ketua kepada para huffaz dan imam kepada para qurra’.

HAFAZAN PARA SAHABAT TERHADAP AL-QURAN

Adapun para sahabat Nabi SAW mereka sangat mengambil berat terhadap al-Quran, mereka berlumba-lumba menghafaz al-Quran, meneliti dan memahami pengertiannya. Mereka menganggap kelebihan di antara mereka adalah diukur melalui banyak atau sedikit ayat-ayat al-Quran yang dihafaz oleh mereka, oleh itu mereka bertadarus dan membaca al-Quran siang dan malam sehingga al-Quran tersemat di hati mereka. Mereka juga mengajar al-Quran kepada isteri dan anak mereka, di samping itu galakan Nabi SAW juga memainkan peranan yang penting di dalam hal ini.

Para sahabat bersungguh-sungguh mempelajari al-Quran daripada Rasulullah SAW, kalau salah seorang daripada mereka tidak memahami maksud sesuatu ayat maka ia akan terus bertanya kepada sahabat-sahabat yang mendengarnya daripada Nabi SAW, dengan demikian mereka dapat menghafaz dan memahami al-Quran dengan betul.

Rujukan:

1. al-Quran al-Karim,
2- Ulum al-Quran: Satu Pengenalan

TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
----------------------------------------------------------
Segala bentuk sumbangan sangat diperlukan untuk membantu pelajar mengikuti pendidikan hafazan al-Quran.

Penderma yang berminat, bolehlah menghantar sumbangan berbentuk cek/ wang pos/ kiriman wang anda atas nama: Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN.

Atau bank-in terus ke akaun Maybank Maahad, no: 5581 2731 1303.