RUANGAN TEKNIK BACAAN DAN HAFAZAN
Oleh: Ust Nur Muhammad As-siddiq bin Mohammad
KAEDAH MEMBACA DAN MENGHAFAZ AL-QURAN
PENDAHULUAN
Nabi SAW pernah bersabda, maksudnya: “Sebaik- baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan juga orang yang mengajarnya kepada orang lain”. Hadith riwayat al-Bukhari.
Dalam mempelajari al-Quran terdapat beberapa cara dan jenis pembelajarannya, ada yang bersistemkan kefahaman makna ayat- ayat al-Quran ataupun disebut sebagai ilmu Tafsir, dan ada juga pembelajaran yang berbentuk hafazan, dan tidak dinafikan kedua- dua jenis pembelajaran ini ada kepentingan yang tersendiri dan juga kelebihan masing- masing.
SEJARAH HAFAZAN
Sejarah pembelajaran al-Quran berbentuk hafazan ini sebenarnya telah bermula sejak ayat pertama diturunkan lagi. Kemudian ianya berterusan sehinggalah ayat terakhir. Oleh kerana ayat- ayat al-Quran ini diturunkan secara berperingkat, maka ia dapat membantu dan memudahkan Nabi SAW menyampaikannya kepada para sahabat. Para sahabat kemudiannya menghafaz serta memahami isi kandungannya. Sejarah pernah menceritakan kepada kita bahawa ramai dari kalangan sahabat menghafaz al-Quran dan mereka begitu mudah sekali menghafaz setiap ayat yang didengari dari mulut baginda SAW. Ini jelas bahawa dalam sistem menghafaz al-Quran ada kaedah- kaedah yang dapat memudahkan kita untuk menghafaznya. Perlu kita ketahui bahawa menghafaz al-Quran ini juga adalah salah satu proses menyimpan maklumat yang berkaitan dengan al-Quran.
MUKJIZAT YANG MUDAH DIHAFAZ
Seperti yang diketahui ramai oleh umat Islam, bahawa al-Quran ini merupakan salah satu Mukjizat Nabi Muhammad SAW. Ianya adalah Mukjizat yang paling besar, kerana Nabi SAW ialah seorang yang ‘Ummi’ iaitu tidak pandai membaca dan menulis. Oleh itu, ia bukan rekaan dari tulisan tangan baginda atau bacaan dari kitab- kitab lain, tetapi ianya datang dari Allah SWT, dalam bentuk ‘Talaqqi’ antara Malaikat Jibril A.S dengan Nabi SAW. Kemudian baginda menghafaz setiap ayat yang didengarinya dan seterusnya disampaikan kepada para sahabat.
Al-Quran ini telah dipermudahkan oleh Allah SWT untuk dihafaz, jelas seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami telah mudahkan al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran” Surah al-Qamar: 17. Maka al-Quran yang terdiri dari 114 surah dan 30 juzuk ini adalah satu- satunya kitab suci yang boleh dihafaz secara keseluruhan.
HUKUM MENGHAFAZ AL-QURAN
Di dalam al-Quran tidak terdapat satu ayat pun yang mengisyaratkan bahawa menghafaz al-Quran itu adalah wajib. Namun begitu, apabila dilihat dari segi kepentingan menghafaz al-Quran bagi menjaga keaslian dan kesuciannya, maka ulama bersepakat bahawa menghafaz al-Quran itu hukumnya fardhu kifayah. Al-imam al-Zarkasyi menyatakan: “Mempelajari al-Quran hukumnya adalah fardu kifayah, demikian juga memeliharanya (iaitu menghafaznya) maka ia juga wajib (kifayah) bagi setiap umat” al-Burhan fil Ulum al-Quran (Juzuk 1: 271)
KAEDAH MENGHAFAZ
Satu kajian telah dilakukan di beberapa tempat pengajian al-Quran termasuk Maahad- maahad Tahfiz di Malaysia. Kajian tersebut menyebut bahawa ada beberapa halangan, cabaran dan gangguan serta kesukaran bagi seseorang itu menghafaz al-Quran. Maka ia perlu kepada suatu kaedah hafazan yang berkesan dan bersistematik bagi membantu mereka menghafaz dan menjaganya dari lupa.
Ditulis oleh beberapa orang penulis yang berpengalaman dalam bidang hafazan, bahawa ada beberapa kaedah yang boleh diambil secara umum untuk memudahkan kita menghafaz al-Quran, dan dapat saya simpulkan di sini kaedah- kaedah tersebut adalah seperti berikut:
1- KAEDAH SEBELUM MENGHAFAZ:
(1) Mempunyai azam dan minat untuk menghafaz. (2) Memilih tempat dan waktu yang sesuai untuk menghafaz. (3) Berada dalam keadaan tenang. (4) Kosongkan fikiran sebelum menghafaz. (5) Pilih sejenis mushaf dan jangan ubah mushaf kepada yang lain. (6) Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mula menghafaz.
2- KAEDAH KETIKA MENGHAFAZ:
(1) Teknik memisah- misahkan satu ayat yang panjang, atau satu mukasurat atau satu surah kepada beberapa bahagian yang sesuai.
(2) Teknik mengulang dengan Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum menghafaz. Atau membaca ayat yang telah dihafaz berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
(3) Teknik tumpu dan ingat: Menumpukan penglihatan pada ayat, mukasurat dan lebaran. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda, sekiranya masih kabur , buka mata dan tumpukan kembali pada mushaf, ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.
(4) Teknik menghafaz dengan seorang teman: Pilih seorang teman yang mempunyai minat yang sama, orang pertama menghafaz dengan disemak oleh orang yang kedua dan begitulah sebaliknya. Saling menebuk ayat antara satu sama lain.
(5) Teknik Menulis: Tulis kembali mukasurat yang telah dihafaz, kemudian semak semula dengan mushaf.
3- MENGEKALKAN HAFAZAN:
(1) Jauhi maksiat mata,telinga dan hati. (2) Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa dan selepas azan. (3) Mengerjakan solat hajat. (4) Mengerjakan solat Taqwiyatul hifz. (5) Menetapkan kadar hafazan setiap hari. (6) Membaca pada waktu pagi dan mengulang pada waktu malam. (7) Jangan baca ketika sedang bosan,mengantuk, atau marah.
KESIMPULAN
Untuk menghafaz al-Quran bukanlah suatu perkara yang berat untuk dilakukan seperti yang disangkakan sesetengah daripada kita, bahkan ada juga yang menganggapnya mustahil. Tetapi hakikat sebenarnya ianya adalah mudah, kerana Allah SWT sendiri telah memudahkan bagi kita untuk menghafaznya, dan perlu diketahui juga oleh kita ialah teknik- teknik yang berkesan dan memudahkan hafazan yang boleh ditanya kepada mereka yang berpengalaman dalam bidang hafazan al-Quran.
0 comments:
Post a Comment