RUANGAN ISU SEMASA
Oleh: Mohd Fazali b. Abdul Manas
GEJALA ZINA DAN KESANNYA KEPADA MASYARAKAT
0.1 Pendahuluan
Malaysiakini.com melaporkan pada 15 November 2011 bahawa Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan terdapat seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan dari tahun 2008 hingga 2010. Perangkaan ini mencemaskan banyak pihak terutamanya umat Islam. Gejala ini telah mencemarkan nama baik Malaysia yang agama rasminya Islam. Walaupun pelaku zina terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa, namun sebagai agama rasmi Negara ia sepatutnya menjadi perlindung kepada berlakunya gejala tidak bermoral ini. Dalam sejarah Islam, Nabi s.a.w pernah bertindak menyelesaikan gejala tersebut terhadap muslim dan non-muslim.
0.2 Punca Gejala Zina Berluasa
Dr. Idris Awang (1996) dalam satu kajiannya mendapati punca gejala zina adalah pergaulan bebas, pengaruh kawan, pengaruh media massa, hiburan yang melampau, persekitaran, dan kurangnya didikan agama. Menurut Mustafa Daud (2002), lambakan bahan lucah dipasaran merupakan antara punca yang menjadi dorongan kepada berlakunya gelaja tersebut. Universiti Kebangsaan Malaysia dalam kajiannya pada tahun 1999 merumuskan bahawa 60% kanak-kanak bawah 12 tahun telah terdedah kepada bahan lucah. 80% daripada mereka akan cuba melakukan perbuatan zina jika berpeluang.
0.3 Perancangan Jahat Zionis
Penyakit ini bertambah parah lagi apabila gerakan Zionis menjadikan agenda seks bebas salah satu protokol mereka untuk menghancurkan dunia Islam dan umat manusia. Zionis antarabangsa yang menguasai media massa telah berjaya merosakkan minda manusia dengan mempromosi budaya lucah dan seks bebas menerusi pelbagai corak sama ada sukan, hiburan, majalah, internet, dan sebagainya.
0.4 Kesan Zina Terhadap Masyarakat
Sudah pasti gejala mungkar akan membawa kepada mafsadah (kerosakan). Perbuatan zina merupakan salah satu daripada tujuh dosa besar dalam Islam. Antara kesan negatif perbuatan zina dalam masyarakat ialah:
i- Menghakiskan Keimanan
Nabi s.a.w pernah menyatakan bahawa orang yang beriman tidak akan melakukan perbuatan zina.
ii- Memporak-perandakan Masyarakat Keharmonian masyarakat akan hilang jika berleluasanya maksiat zina. Keberkatan semangat persaudaraan dan tolong menolong menjadi semakin kurang. Ini disebabkan pelaku zina ditakuti oleh masyarakat yang bimbangkan anak, isteri atau suami turut terlibat sama.
iii- Mengundang Penyakit
Perlaku zina terdedah kepada penyakit yang bahaya seperti AIDS/HIV atau penyakit kelamin yang lain. Malahan mereka yang tidak berdosa juga boleh dijangkiti oleh penyakit tersebut akibat pasangan mereka sama ada isteri atau suami yang curang.
iv- Memupus Generasi
Gejala zina bakal mengundang masalah generasi penyambung zuriat. Generasi akan terpupus menerusi kegiatan tidak bermoral ini kerana pelakunya seorang yang tidak bertanggungjawab. Jika anak dilahirkan oleh pasangannya sama ada ia dibunuh atau ditinggalkan sahaja.
v- Berleluasa Jenayah
Anak luar nikah akan menghadapi tekanan emosi yang hebat. Ini disebabkan oleh pandangan serong masyarakat terhadap mereka. Oleh itu, mereka akan menjadi manusia terbiar dan terdedah kepada kegiatan jenayah. Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa anak zina jika tidak dipelihara dengan baik akan menjadi manusia yang jahat.
0.5 Cara Mengatasi Gejala Zina
Penyakit tertua ini seolah tidak ada ubat atau kaedah yang mampu dibendung oleh masyarakat atau kerajaan yang ada pada hari ini. Namun, Islam menerusi kaedah dan ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w telah berjaya membenteras penyakit ini hingga ke akar umbi. Ini dapat dibuktikan melalui dasar-dasar Islam yang dilaksanakan oleh Baginda s.a.w sewaktu memerintah Madinah. Antara kaedah yang praktikal ialah:
i- Memberi Kesedaran Kepada Masyarakat
Manusia secara fitrahnya sangat benci kepada gejala zina ini. Secara logiknya tiada seorang yang inginkan anak perempuan, isteri, dan emaknya berzina. Justeru, kesedaran ini perlu dipupuk dalam jiwa masyarakat.
ii- Mendorong Berkahwin
Beri galakan kepada pemuda dan pemudi untuk berkahwin. Permudahkan urusan perkahwinan sama ada yang berkaitan dengan prosedur, hantaran, kenduri, dan sebagainya. Jadikan urusan berkahwin lebih mudah daripada berzina.
iii- Hindari Pergaulan Bebas
Pergaulan perlu dibatasi oleh adab-adab dan akhlak yang baik. Jangan jadi alasan belajar, bersukan, bekerja, berhibur, dan sebagainya untuk bercampur aduk antara lelaki dan wanita tanpa batas.
iv- Etika Berpakaian
Islam telah menetapkan cara berpakaian yang boleh menahan kebangkitan nafsu seks manusia. Pakaian begini perlu dijadikan satu fesyen yang mesra untuk muslim dan non-muslim. Dorongan zina kebanyakannya berpunca dari pakaian yang tidak senonoh.
v- Menyekat Budaya Lucah
Ancaman besar kepada masyarakat dunia hari ini ialah budaya lucah yang berleluasa. Pihak berkuasa perlu menyekat semua unsur-unsur lucah sama ada internet, siaran tv, filem, majalah, pusat hiburan, dan sebagainya.
vi- Penguatkuasa Undang-Undang
Umat Islam mesti diikat dengan undang-undang syariah. Manakala non-muslim diberi pilihan sama ada undang-undang syariah atau sebarang undang-undang yang mereka kehendaki.
0.6 Kesimpulan
Setiap penyakit ada ubatnya. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Oleh itu, semua pihak mesti berpadu tenaga untuk membenteras gejala seks bebas atau zina ini sampai ke akar umbi.
Rujukan:
1. al-Qur’an al-Karim, 2. Sahih Bukhari, 3. Sahih Muslim, 5. Cabaran Tamadun Islam Pada Alaf Baru Di Malaysia – Oleh Mustafa Daud, 6. Jurnal Usuluddin Bil. 5 Tahun 1996 Universiti Malaya, 7. Israel Kuasai Dunia – Oleh Mohd Nadri Kamsin, 8. al-Tadabir al-Waqiyah min al-Zina fi al-Feqh al-Islami – Oleh Fadl Ilahi
PENGENALAN PENGARANG :
Mohd Fazali b. Abdul Manas kelahiran Kg. Bukit Sapi, Lenggong. Mendapat pendidikan di Madrasah Misbah al-Falah, Baling, Kedah (1983-1995), BA Republik Yaman (1998-2003), MA Universiti Malaya (2007-2011). Sekarang bekerja sebagai Pengetua di Maahad Tahfiz al-Qur’an wal-Qiraat ADDIN-4,Tapah, Perak.
Email: mtqlubuk_katak@yahoo.com.my
Tel: 013-530 5228
0 comments:
Post a Comment