RUANGAN TAFSIR
Oleh: Ust Nur Muhammad As-siddiq bin Mohammad
TAFSIR SURAH AL-ASR
Diturunkan di Makkah, dan bilangan ayatnya sebanyak tiga ayat
Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran, maksudnya: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan yang beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan kebenaran. Yang berpesan-pesan dengan kesabaran”. Surah al-Asr: 1-3
Allah SWT telah bersumpah dengan masa di dalam surah ini kerana masa itu amat penting sekali, begitu juga di dalam surah- surah yang lain, Allah bersumpah dengan perkara yang penting untuk manusia seperti matahari dan malam. Inilah yang Allah SWT tekankan di dalam surah al-Asr yang diketengahkan khusus untuk menyedarkan umat Islam supaya menghayati betapa pentingnya nilai masa. Inilah antara perkara terpenting yang diberikan perhatian oleh semua masyarakat yang bertamadun di dunia, tanpa mengira bangsa dan di mana jua mereka berada. Kerana masa merupakan kehidupan, masa merupakan penentu keadaan kita di akhirat kelak. Realiti inilah yang perlu disedari oleh umat Islam bahawa budaya memanfaatkan masa semakin jauh dari kehidupan seharian kita.
Allah SWT menjadikan masa selama 24 jam dalam sehari sememangnya sudah cukup untuk setiap hamba-Nya meneruskan dan menguruskan kehidupan mereka. Namun adakalanya kita merasakan masa itu tidak cukup untuk kita menguruskan kerja kita, bukan kerana salah masa atau pun Allah SWT tidak memperuntukkan masa yang cukup untuk kita, tetapi apa yang perlu kita sedari ialah pengurusan kita untuk mendahulukan perkara yang lebih penting daripada perkara yang kurang penting. Meninggalkan perkara yang tidak memberikan manfaat dan menggantikannya dengan perkara yang berfaedah.
al-Imam at-Thobari menyebut di dalam tafsirnya, bahawa ada dua pendapat yang menerangkan maksud masa pada firman Allah di atas, pertamanya ialah masa yang merangkumi semua masa, pagi, tengahari atau petang, siang atau malam, keduanya ialah waktu Asar, al-Imam at-Thobari kemudian menguatkan bahawa pendapat yang pertama adalah lebih sahih, kerana waktu Asar juga termasuk di dalam masa, dan kerana menyebut masa keseluruhannya adalah lebih menampakkan kelebihan daripada menyebut sebahagian masa sahaja.
Manusia yang beruntung.
Selain dari kepentingan masa, Allah SWT juga menjelaskan kepada kita bahawa manusia ini sebenarnya berada di dalam kerugian, disebut oleh para ulama’ Tafsir, bahawa “MANUSIA” itu ialah semua jenis manusia, mereka rugi kerana berurus niaga bersama Syaitan dan hawa nafsu mereka, tetapi dari kalangan manusia yang rugi itu Allah SWT menyatakan ada empat golongan yang beruntung:
Pertama: Orang yang beriman dengan Allah SWT dan Nabi-Nya Muhammad SAW. Yang dimaksudkan dengan Iman itu ialah mengakui dan membenarkan serta menjunjung segala perintah Allah SWT dengan hati dan mulut, dan mengikuti segala sunnah Nabi SAW tanpa sebarang keraguan.
Kedua: Orang yang melakukan amal kebaikan serta kebajikan ikhlas kerana Allah SWT, bukan kerana mahu dilihat oleh orang lain, adapun orang yang melakukan kebaikan untuk dipuji oleh orang lain dia sebenarnya telah melakukan Syirik kepada Allah SWT, disebut di dalam satu Hadis bahawa Nabi SAW amat takut dari Syirik yang Khafi (iaitu yang tersembunyi) berlaku di kalangan sahabatnya, maka beberapa orang sahabat bertanya, apakah Syirik Khafi itu? Lantas Nabi SAW bersabda: Syirik Khafi itu ialah riak (iaitu melakukan kebaikan untuk dilihat dan dipuji orang lain, bukan kerana Allah SAW). Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan al-Baihaqi daripada Abi Said al-Khudhri.
Ketiga: Golongan ketiga yang beruntung ini ialah orang yang sentiasa berpesan kepada kebenaran. Disebut di dalam kitab Tafsir at-Thobari maksud kebenaran itu ialah kitab Allah al-Quran, maka orang yang berpesan kepada kebenaran itu ialah orang yang berpesan dan mengajak orang lain supaya mengikuti hukum- hukum yang terkandung di dalam al-Quran, maka beruntunglah golongan ini.
Keempat: Golongan yang sentiasa berpesan kepada kesabaran. Iaitulah kesabaran dalam melakukan ketaatan, samaada menunaikan perintah Allah atau meninggalkan larangan-Nya. Contohnya bersabar ketika menunaikan Solat dan juga bersabar ketika menahan diri daripada melakukan maksiat.
Mudah- mudahan kita tergolong dari empat golongan ini, supaya kita tidak menjadi orang yang rugi di atas dunia, mereka yang beruntung itu kerana mereka berurus niaga dengan Allah SWT bukan dengan Syaitan atau hawa nafsu, mereka menjual dunia mereka hanya kerana ingin mendapat keredhaan Allah, maka beruntunglah perniagaan mereka.
Penghayatan masa.
Selain itu, Penghayatan masa juga perlu kita perbaiki terutama dalam usaha untuk menegakkan ketuanan Islam. Kita bukan sekadar perlu memenuhi tuntutan masa untuk dimanfaatkan sepenuhnya, bahkan perlu menghormati masa itu. Gerakan Islam tidak perlu lagi melewat- lewatkan mesyuarat atau aktiviti hanya semata- mata menunggu pihak-pihak lain, akan tetapi ketetapan masa perlu kita kuasai dengan sebaik mungkin. Tidak kira dalam apa-apa aspek sekalipun, kita perlu mendahului masa atau paling kurang menepatinya. Manfaatkanlah hidup kita sebaik mungkin kerana sedetik yang berlalu tidak akan berulang. Ingatlah, setiap saat di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Kelebihan surah al-Asr.
|
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Pentadbiran. Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1992 - 2004). Menyambung pengajian di Institut at-Tahzib wat-Ta’lim, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2005 – 2010).
Tel: 019- 557 1027
Email: siddiq.nur1869@yahoo.com
0 comments:
Post a Comment