RUANGAN HADIS
Oleh: Ust Abd Muhaimin bin Malek
PERDANA MENTERI WANITA : SATU PANDANGAN
Nabi S.A.W pernah bersabda, yang bermaksud: “Tidak akan berjaya mana-mana kaum yang melantik sesiapapun dari kalangan wanita menjadi wali (Pemimpin)”. Hadith riwayat Bukahri (4163), al Hakim, An Nasaei, Tarmizi (2262).
SEBAB KEDATANGAN HADITH:
Tersebut di dalam Syarah Sahih Bukhari “Irsyad Sari” (Jilid 15/ h. 56); Hadith ini diriwayatkan oleh seorang Sahabat Nabi yang bernama Abu Bakrah. Katanya: Allah S.W.T telah memanfaatkan akan daku ketika peristiwa perang Jamal antara Saidatina Aisyah R.A dan Saidina Ali K.W di Basrah dengan perkataan yang pernah disebut oleh Baginda S.A.W, iaitu; “Tidak akan berjaya mana-mana kaum…….”
Baginda S.A.W menyebutkan perkataan ini setelah dimaklumkan bahawa Maharaja Parsi iaitu KISRA (Nama sebenarnya Abruiz bin Hormuz) telah mangkat pergi, dan rakyat Parsi telah melantik puteri KISRA yang bernama Buran binti Kisra untuk ditabalkan sebagai Maharaja menggantikan ayahandanya.
WANITA MENJADI PERDANA MENTERI DARI ASPEK HUKUM
1- Dr Mustafa As Sibaei’ R.A (1915-1964) di dalam bukunya berjudul “Al Maratu baina alfiqhi wal Qanun” menyebutkan; Hadist Ini walaupun umum maknanya, iaitu merangkumi semua jenis lantikan dan kepimpinan, akan tetapi ianya dikhususkan kepada lantikan umum atau kepimpinan tertinggi dalam sesebuah Negara, demikian itu oleh kerana terdapat pandangan dari Ilmuan Fiqh yang membenarkan wanita dilantik menjadi qadi atau wakil kepada mana-mana institusi kewangan atau pertanian atau lain-lain lagi termasuk menjadi wakil rakyat di dewan rakyat. (h.39)
2- Kata beliau lagi; “Hadith ini dengan jelas melarang sesiapapun di kalangan wanita menjawat jawatan tertinggi itu, di zaman siapa sekalipun” (h.40). Ini dapat difahami dari perkataan Imraatun (إمرأةٌ) dan qaumun (قومٌ), Kedua-dua perkataan ini di klasifikasikan oleh Ilmuan bahasa Arab sebagai “Nakirah” tandanya adalah tanwin ( ) yang membawa kepada makna umum atau menyeluruh, iaitu sesiapapun di kalangan wanita dan mana-mana kumpulan atau kaum yang hidup atas muka dunia ini.(Risalah MA Hindun Khauly “Amal Maraah” (h.206)
ASPEK PENCIPTAAN WANITA
3- Perbezaan penciptaan lelaki dan wanita antara sebab larangan atau tidak berjayanya sesuatu yang diputuskan olehnya, ini kerana terdapat ayat al-Quran yang menyebutkan tentang perbezaan hakikat penciptaan lelaki dan wanita. Lihat pertengahan ayat 282 dari surah al Baqarah, Allah menyebutkan tentang hutang piutang yang harus dicatat dan keperluan kepada 2 orang saksi lelaki, jika terdapat seorang lelaki sahaja boleh seorang lagi digantikan dengan 2 orang wanita, tujuannya apabila seorang wanita terlupa maka seorang lagi akan mengingatkan akannya.(al Baqarah ayat 282)
WANITA DARI ASPEK SAINS
Kajian sains menunjukkan bahawa terdapat 2 kotak dalam setiap otak lelaki dan wanita, kotak pertama fungsinya untuk mengeluarkan ucapan (perkataan) kotak kedua adalah untuk ingatan (ingat sesuatu), bagi wanita kedua-dua pusat ini akan berfungsi bersama apabila dia bercakap atau mengingat sesuatu, ini menyebabkan ketika dia bercakap akan mengganggu kotak ingatannya, justeru itu Syariat menyuruh 2 orang wanita bagi menggantikan seorang saksi lelaki, apabila salah seorang dari mereka terlupa maka seorang yang lain mengingatkannya.
Manakala bagi lelaki ketika dia bercakap kotak pertamanya sahaja berfungsi, jika dia mengingat sesuatu kotak keduanya sahaja berfungsi, ketika dia bercakap dan mengingat sesuatu kedua-dua kotak ini berfungsi. Kajian ini dikesan melalui alat canggih yang digunakan untuk mengesan fungsi kedua-dua pusat atau kotak yang kita sebutkan di atas.(Rujukan: Risalah Mukjizat Ilmu dalam al-Quran yang dikeluarkan oleh Universiti al-Iman Yamen dibawah seliaan Prof.Abd Majid Zindani)
KEPIMPINAN TERTINGGI
4. Syarat menjadi Imamah kubra (Kepimpinan tertinggi) yang disepakati oleh Ilmuan Fiqh antaranya ialah; lelaki. Mereka berdalilkan dengan hadith di atas. Hal demikian oleh kerana kerja-kerja yang membabitkan pemimpin tertinggi adalah amat hebat dan besar sekali, ini bercanggah dengan kemampuan tabiat wanita.(Ensklopedia Fiqh Islam-Kuwait). Allah S.W.T berfirman, mafhumnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal Yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.(An Nisa’:34)
KESIMPULAN
5. Terdapat juga Ijtihad Ulamak yang membenarkan secara mutlak perlantikan wanita ke jawatan tertinggi dalam pentadbiran. Namun begitu, penulis lebih mengutamakan pandangan yang lebih kuat dan meyakinkan, iaitu pengharaman ke atas wanita dari dilantik menduduki kerusi nombor satu dalam Negara atau negeri sebagai Perdana Menteri atau Menteri Besar.
6. Islam tidak pernah menghina atau merendah-rendahkan martabat wanita, tidak layak menjadi Perdana Menteri bukan bermaksud tiada ketokohan, bahkan Islam menjaga kemuliaan wanita serta mengurangkan bebanan tanggungjawab mereka demi memusatkan kerja kepada pendidikan anak-anak seterusnya dari didikan itu terbina Masyarakat terbaik di muka bumi ini.
Segala kekurangan dalam membentangkan Isu yang agak semasa ini, penulis mohon kemaafan. Sebarang penambahan penambahbaikan sangat-sangat dialu-alukan. Selamat membaca.
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Hal Ehwal Murid (HEM). Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1991 – 2000). Menyambung pengajian di Institut al-Fatah al-Islami, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2000 – 2006). Dan sekarang beliau sedang menyambung pengajian di peringkat M.A di KUIN Kedah.
Tel: 013- 585 5682
0 comments:
Post a Comment