RUANGAN ULUM AL-QURAN
Oleh: Nur Muhammad As-siddiq b. Mohammad
Al-Quran Makki dan Madani
1. PENDAHULUAN
Para ulama’ telah bersepakat bahawa al-Quran telah diturun kepada Nabi Muhammad SAW selama tempoh baginda diutuskan menjadi rasul, iaitu bermula dari ayat pertama diturunkan hingga ayat terakhir sebelum baginda SAW wafat. Namun ulama’ berselisihan tentang berapa lama tempoh al-Quran diturunkan kepada Nabi SAW, ada pendapat yang mengatakan selama 20 tahun, ada juga yang mengatakan 22 tahun, dan ada pendapat 23 tahun dan sebagainya. Walau bagaimana pun perbezaan ini hanya dari sudut bilangan sahaja. Dalam tempoh ini, al-Quran telah diturunkan dengan dua fasa, yang pertama ialah Makki dan keduanya Madani.
2. PENGERTIAN MAKKI DAN MADANI
Di dalam kitab Manahil al-I’rfan, karangan Syeikh al-Zarqhani telah menyebut bahawa pengertian Makki dan Madani terbahagi kepada tiga pengertian ulama’:
1- Al-Quran Makki ialah apa yang diturunkan di Makkah walaupun selepas hijrah, dan Madani ialah apa yang diturunkan di Madinah.
2- Makki ialah apa yang ditujukan khas untuk penduduk Makkah, dan Madani ialah apa yang ditujukan khas untuk penduduk Madinah.
3- Makki ialah apa yang diturunkan sebelum hijrah sama ada di Makkah atau lainnya, dan Madani ialah apa yang diturunkan selepas hijrah sama ada di Makkah atau lainya. Pengertian yang ketiga ini adalah yang masyhur di kalangan ulama’ ulum al-Quran.
3. FAEDAH MEMAHAMI MAKKI DAN MADANI
Sudah pasti sekiranya kita memahami dan mengetahui tentang penurunan al-Quran sama ada Makki atau Madani ianya dapat memberikan faedah yang banyak. Para ulama’ telah menjelaskan dua faedah utama bagi mereka yang memahami Makki dan Madani:
1- Mengetahui sejarah pengsyariatan Islam, hikmah syariat yang datang secara berperingkat-peringkat; ini kerana ketika permulaan Islam, ianya lebih menumpukan kepada pembentukan iman yang kuat di dalam dada orang Islam, mengajak kepada akhlak yang mulia, setelah iman kuat di dalam dada orang Islam, barulah disyariatkan sesuatu hukum syarak. Hikmahnya berlaku peringkat-peringkat ini supaya orang Islam lebih mudah menerima sebarang kewajiban dari Allah SWT kerana di dada mereka telah tertanam iman yang kuat.
2- Mengetahui hukum yang memadam (Nasikh) dan dipadam (Mansukh); sekiranya bertembung dua ayat al-Quran yang bertentangan dari segi hukumnya, maka ianya akan dilihat kepada tempat penurunan kedua-duanya, sekiranya salah satu ialah Makki dan satu lagi Madani, maka yang Madani akan memadam hukum Makki, kerana hukum Madani itu datang memadam hukum Makki yang terdahulu.
4. BAGAIMANA MENGETAHUI MAKKI DAN MADANI
Dr. Nuruddin I’tir di dalam kitabnya Ulum al-Quran al-Karim menjelaskan bahawa ada dua cara untuk kita mengetahui sesuatu ayat al-Quran itu sama ada ia Makki atau Madani:
1- Pertama melalui rujukan kepada kata-kata Nabi SAW, atau para sahabat dan tabii’n. Para sahabat dan tabii’n adalah orang yang mengambil berat tentang perkara ini, bahkan mereka mengingati ayat-ayat yang diturunkan sama ada Makki atau Madani. Sebagai contohnya, satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, daripada Ibnu Masu’d RA berkata: “Demi tuhan yang tiada tuhan melainkan-Nya, tidak ada satu surah pun di dalam al-Quran kecuali aku tahu di mana ia diturunkan, dan tidak ada satu ayat pun kecuali aku tahu pada apa ia diturunkan..”.
2- Kedua melalui kaedah atas penelitian seperti yang telah dilakukan ulama’ Ulum al-Quran yang terdahulu. Seperti contoh kaedah yang disebut oleh Ibnu Masu’d: “setiap ayat yang ada padanya (Wahai manusia) maka ia adalah Makki, setiap ayat yang ada padanya (Wahai orang yang beriman) maka ia adalah Madani”. Begitu juga setiap surah yang bermula dengan huruf yang terputus-putus seperti (آلم) maka ia adalah Makki, setiap surah yang ada kefarduan atau hukum-hukum hudud maka ia adalah Madani, dan lain-lain lagi kaedah yang telah diletakkan oleh ulama’ terdahulu melalui penelitian mereka terhadap ayat-ayat Makki dan Madani.
5. ISI KANDUNGAN MAKKI DAN MADANI
Al-Quran Makki dan Madani mempunyai perbezaan dari sudut isi kandungannya, kerana suasana Islam di Makkah dan Madinah juga berbeza, di antara isi kandungan Makki adalah seperti berikut:
1- Penjelasan asas akidah iman, supaya menyembah dan mentauhidkan Allah SWT, beriman dengan hari akhirat, penjelasan kerasulan Nabi SAW serta rasul-rasul terdahulu, dan beriman dengan malaikat.
2- Menentang syirik penyembahan berhala dengan hujah-hujah, dengan menggunakan contoh-contoh serta keterangan yang jelas.
3- Menjelas kekuasaan Allah SWT dengan dalil-dalil dari ala mini.
4- Menceritakan kisah nabi-nabi yang terdahulu bersama kaum mereka.
5- Menekankan akhlak yang mulia serta cara hidup bermasyarakat.
Manakala isi kandungan Madani antaranya adalah seperti berikut:
1- Penerangan tentang perincian hukum hakam dalam Ibadat, Muamalat, Ijtimaiyat, dan U’qubat.
2- Dakwah mengajak ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani kepada Islam.
3- Menjelaskan sifat-sifat orang munafiq.
4- Penerangan hukum yang berkaitan perhubungan antara orang Islam dan bukan Islam.
Rujukan:
1- al-Quran al-Karim.
2- Manahil al-I’rfan.
3- Ulum al-Quran al-Karim.
0 comments:
Post a Comment