TAFSIR AL-QUR’AN
Oleh: Mohd Fazali b. Abdul Manas
MEMAHAMI FIQH KEUTAMAAN
MENERUSI AYAT 19 – 20 SURAH AL-TAUBAH
1. PENDAHULUAN
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayat petunjuk kepada kaum yang zalim”. “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”. (ayat 19-20 surah al-Taubah).
2. KEFAHAMAN UMUM AYAT
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, ayat ini menjelaskan bahawa amalan berjihad di jalan Allah s.w.t adalah lebih baik daripada amalan mengerjakan haji lebih-lebih lagi sekiranya mengerjakan haji dan umrah yang sunat semata-mata.
Menurutnya lagi, jihad melawan kafir, golongan ateis, sekularisme dan sebagainya yang memusuhi umat Islam pada waktu ini adalah kewajipan yang perlu diberi keutamaan.
Imam Ibnu Asyur menyatakan pula bahawa zahir ayat menolak sikap mereka yang menyamakan antara memberi minum dan memeriahkan Masjid al-Haram dengan mereka yang berjihad dan berhijrah pada jalan Allah s.w.t.
3. SEBAB PENURUNAN AYAT
Menurut Imam Ibnu Asyur, terdapat satu riwayat daripada al-Nu’man bin Basyir berkata ia: Pernah sewaktu ketika aku berada bersama sahabat-sahabatku berhampiran dengan mimbar Nabi Muhammad s.a.w. Sebahagian daripada kami sedang berbicara mengenai amalan yang wajar dilakukan. Ada seorang menyatakan dia akan memberi minum orang yang mengerjakan haji, ada yang menyatakan akan memakmurkan Masjid al-Haram, ada pula yang menyatakan bahawa mereka akan berjihad pada jalan Allah s.w.t dalam keadaan meninggikan suara masing-masing.
Lalu Umar al-Khatab menegur mereka kerana meninggikan suara berhampiran mimbar Nabi s.a.w pada waktu hampir solat Jumaat. Setelah kami selesai menunaikan solat Jumaat aku terus bertanya kepada Rasullah s.a.w mengenai pandangan yang berbeza dari kalangan kami, lalu Allah s.w.t menurunkan ayat tersebut.
4. MENGENALI CIRI FIQH KEUTAMAAN
Terdapat banyak ciri-ciri fiqh keutamaan yang perlu difahami oleh umat Islam dan menghayatinya dalam kehidupan harian mereka. Menurut huraian Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi antara fiqh keutamaan yang perlu diberi perhatian ialah:
1. Mengutamakan menuntut ilmu ke atas amalan
Menuntut ilmu adalah menjadi keutamaan daripada amalan berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Ilmu itu pemimpin dan amalan adalah pengikutnya”. Contohnya berada dalam halaqah ilmu menjadi keutamaan daripada berada dalam majlis berzikir.
2. Mengutamakan amalan yang berterusan ke atas amalan yang tertentu waktunya
Amalan yang berterusan dilakukan oleh seseorang adalah lebih baik daripada amalan yang tertentu waktunya. Contohnya berdakwah dan berjihad pada jalan Allah adalah menjadi keutamaan daripada mengerjakan umrah yang sunat.
3. Mengutamakan amalan yang wajib ke atas yang sunat
Amalan yang wajib perlu dipelihara dan diberi keutamaan oleh umat Islam daripada amalan yang sunat. Contonhya menjaga perpaduan di kalangan umat Islam lebih diutamakan daripada mengerjakan solat terawih jika mereka berbalah semata-mata bilangan rakaat.
4. Mengutamakan kepentingan umum ke atas kepentingan individu
Keluar berjihad mempertahankan agama Allah s.w.t adalah kepenting umum yang wajib dipelihara daripada taat kepada kedua ibu bapa yang merupakan kepentingan individu. Oleh itu, jika seruan jihad pada jalan Allah s.w.t telah tiba anak-anak tidak perlu meminta izin daripada ibu bapa untuk mereka keluar berjihad mempertahankan agama Allah s.w.t sebagaimana yang berlaku di bumi Palestin dan sebagainya.
5. Menghindari dosa yang lebih besar menjadi keutamaan dari dosa yang lebih kecil
Semua jenis dosa wajib ditinggalkan oleh orang yang beriman, namun jika bertembung antara yang kecil dengan yang lebih besar maka sewajarnya yang lebih besar ditinggalkan daripada yang lebih kecil. Contonhya seseorang yang baru menganut agama Allah s.w.t jika ia terus memakai tudung untuk menuntut aurat boleh jadi keluarganya akan bertindak memurtadkan dia dengan paksaan. Oleh itu, elok baginya mengjaga imannya daripada amalan menuntut aurat jika membawa kepada mudarat yang lebih besar kecuali dia mempunyai kekuatan dalam dirinya.
5. KESIMPULAN
Secara umum untuk memahami fiqh keutamaan perlu kepada penulisan yang panjang. Oleh itu, penulis menyarankan supaya pembaca agar dapat merujuk kepada tulisan khas mengenai fiqh keutamaan yang telah ditulis oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dengan judul “ Fi Fiqh al-Awaliyyat, Dirasah Jadidah Fi Daw’I al-Qur’an wa al-Sunah”.
Selain itu, pembaca boleh meneliti kepada fatwa-fatwa ulama kontemporari, isu-isu semasa yang dibincangakan di media massa dan sebagainya. Contohnya mengenai mengundi dalam pilihanraya dengan mengerja haji jika berlaku pilihanraya pada musim haji. Manakah yang perlu diberikan keutamaan oleh umat Islam?.
Umat Islam wajib memahami perkara tersebut kerana kefahaman mengenai fiqh keutamaan akan menenangkan hati penganutnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.
Rujukan:
1. Al-Qur’an,
2. Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir,
3. Tafsir al-Qurtubi,
4. Tafsir al-Razi,
5. Fi Fiqh al-Awaliyyat, Dirasah Jadidah Fi Daw’I al-Qur’an wa al-Sunah.
PENENULIS :
Mohd Fazali b. Abdul Manas kelahiran Kg. Bukit Sapi, Lenggong, Perak. Mendapat pendidikan di Madrasah Misbah al-Falah, Baling, Kedah (1983-1995), BA Republik Yaman (1998-2003), MA Universiti Malaya (2007-2011). Sekarang bekerja sebagai Pengetua di Maahad Tahfiz al-Qur’an wal-Qiraat ADDIN-4,Tapah, Perak.
Email: mtqlubuk_katak@yahoo.com.my
Tel: 013-530 5228
0 comments:
Post a Comment