RUANGAN ULUM AL-QURAN
Oleh: Nur Muhammad As-siddiq bin Mohammad
TERTIB AYAT-AYAT AL-QURAN DAN SURAH-SURAHNYA
1. MUQADDIMAH
Syeikh Muhammad Abdul Azim al-Zarqani
di dalam kitabnya Manahil al-Irfan Fi Ulum al-Quran menerangkan
pengertian ayat dan surah di dalam al-Quran dengan katanya: Pengertian ayat
dari segi bahasa membawa beberapa maksud; 1- Mukjizat, seperti firman Allah
SWT: “Bertanyalah kepada Bani Israel, berapa banyak ayat yang jelas
(Mukjizat yang nyata) yang telah kami berikan kepada mereka” (al-Baqarah:
211). 2- Tanda, firman Allah SWT: “Dan Nabi mereka berkata lagi kepada
mereka: Sesungguhnya ayat (tanda) kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya
dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang
memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu” (al-Baqarah: 248). 3- Petunjuk
dan dalil, firmanNya: “Dan di antara ayat-ayat (petunjuk dan dalil yang
membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya) ialah kejadian langit dan bumi,
dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu” (al-Rum: 22). Manakala
pengertian ayat dari segi istilahnya pula ialah: Sekumpulan kalimah yang
mempunyai permulaan dan penghujung dengan tersusun secara satu persatu di dalam
satu surah di dalam al-Quran. Adapun surah, maka pengertiannya dari segi bahasa
ialah: Martabat dan kedudukan yang tinggi. Pengertiannya dari segi istilah pula
ialah: Sejumlah ayat al-Quran yang terhimpun mempunyai permulaan dan
penghujung, sekurang-kurangnya mempunyai tiga ayat.
2. TERTIB
AYAT DI DALAM SURAH
Seterusnya Syeikh al-Zarqani
menerangkan bagaimanakah tertib ayat-ayat di dalam satu surah itu boleh
terhasil, katanya: “Telah berlaku Ijma’ (kesepakatan) umat ini bahawa
tertib ayat-ayat al-Quran seperti yang dilihat di dalam Mushaf pada hari ini,
ia adalah Tauqifi iaitu ketetapan yang disampaikan daripada Nabi SAW
melalui wahyu Allah SWT kepada baginda dan tiada ruang ulama’ untuk berijtihad
tentangnya. Malaikat Jibril AS yang menurunkan wahyu kepada Nabi SAW telah
menunjukkan kepadanya tempat-tempat setiap ayat daripada surah-surahnya.
Kemudian Nabi SAW membacakannya kepada sahabat-sahabat baginda dan menyuruh
para penulis wahyu untuk menulis ayat-ayat yang dibacakan dengan menentukan
kepada mereka ayat-ayat itu diletakkan di dalam surah sekian pada tertib
sekian”.
Syeikh al-Zarqani juga menyebut
beberapa dalil hadith yang sahih bahawa Nabi SAW membaca surah al-Baqarah
sepert tertib ayatnya yang ada di dalam al-Quran hari ini, begitu juga dengan
surah-surah yang lain. Hal ini juga disebut oleh Dr. Nuruddin I’tr di dalam
kitab beliau Ulum al-Quran al-Karim.
3. TERTIB SURAH DI DALAM AL-QURAN
Di dalam perbahasan ini, Syeikh al-Zarqani dan Dr. Nuruddin
I’tr menyatakan bahawa terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulama’, akan
tetapi Syeikh al-Zarqani menerangkan lebih terperinci tentang
perselisihan pendapat ini, katanya: Berselisihan ulama’ terhadap tertib surah
di dalam al-Quran kepada tiga pendapat:
1- Ia bukan ketetapan dari Nabi SAW akan tetapi ia adalah Ijtihad
para sahabat. Ini adalah pendapat Imam Malik RA, Qadhi Abu Bakar dan beberapa
ulama’ yang lain. Di antara dalil mereka ialah: Sesungguhnya tulisan al-Quran
para sahabat (penulis wahyu) berbeza di antara satu dengan yang lain dari segi
tertib surahnya sebelum ianya dihimpunkan pada zaman Sayyidina Uthman RA,
sekiranya tertib surah adalah ketetapan daripada Nabi SAW sudah pasti para
sahabat tidak akan berbeza tertib surah yang ditulis oleh mereka.
2- Ia adalah ketetapan Nabi SAW dan bukannya Ijtihad sahabat. Ini
merupakan pendapat yang disokong oleh Abu Jaafar al-Nuhhas dan Abu Bakar
al-Anbari. Dalil mereka ialah: Bahawa para sahabat termasuk dari
kalangan penulis wahyu telah bersepakat dan menerima mushaf yang ditulis pada
zaman Sayyidina Uthman RA, kesepakatan mereka ini tidak terhasil melainkan
apabila tertib surah yang disepakati oleh mereka adalah ketetapan daripada Nabi
SAW, kerana sekiranya tertib itu adalah Ijtihad sudah pasti setiap penulis akan
berpegang dengan tulisan mereka, apa yang berlaku ialah para penulis wahyu
bersepakat tentang tertib surah dan menyusunnya di dalam Mushaf Uthmani serta
berpegang padanya kemudian membakar segala apa yang telah ditulis oleh mereka
sebelum itu.
3- Tertib sebahagian surah adalah ketetapan dari Nabi SAW dan
sebahagian yang lain adalah Ijtihad sahabat. Ini adalah pendapat yang
menghimpunkan kedua-dua dalil daripada pendapat pertama dan kedua. Ibnu
Atiyyah, Abu Jaafar bin al-Zubair dan beberapa ulama’ lain bersetuju dengan
pendapat yang ketiga ini. Walau bagaimana pun mereka ini berselisih pula
tentang tertib surah apakah yang ditentukan oleh Nabi SAW dan tertib surah
apakah yang diijtihadkan oleh sahabat.
4. MEMBACA
AL-QURAN MENGIKUT TERTIB SURAH
Menghormati tertib surah yang terdapat di dalam mushaf al-Quran
adalah dituntut kepada kita, walaupun tertib tersebut sama ada daripada
ketentuan Nabi SAW ataupun Ijtihad sahabat, kerana sekiranya ia adalah
ketentuan Nabi SAW maka kita diperintahkan supaya mengikut baginda, ataupun
sekiranya ia adalah Ijtihad sahabat, maka Ijtihad mereka telah disepakati oleh
umat ini, dan ia adalah Ijma’ yang boleh dijadikan hujah serta beramal dengannya.
Akan tetapi tertib surah al-Quran dari segi bacaan seseorang maka
ia tidaklah menjadi wajib, akan tetapi ia adalah sunat, iaitu disunatkan
membaca al-Quran mengikut tertib surah yang diletakkan di dalam Mushaf Uthmani.
Syeikh al-Zarqani menyebut perkara ini dengan membawa kata-kata daripada
Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Tibyan, bahawa Imam al-Nawawi
berkata: “Telah berkata sebahagian sahabat kami: Disunatkan apabila membaca
satu surah maka disambung dengan surah yang selepasnya mengikut tertib..”
5. PENUTUP
Mudah-mudahan risalah ringkas ini dapat menjelaskan kepada kita
tentang tertib ayat yang terdapat di dalam satu-satu surah, ianya adalah
ketetapan dari Nabi SAW yang mendapat petunjuk daripada Malaikat Jibril AS
seperti mana ia telah diperintahkan oleh Allah SWT. Begitu juga menjelaskan
kepada kita tentang tertib surah yang berada di dalam al-Quran, para ulama’
berselisih pendapat dengan dalil-dalil yang dikemukan oleh mereka secara
terperinci, akan tetapi penulis hanya membawa sebahagian daripada dalil-dalil
mereka sebagai gambaran umum sahaja. Semoga ianya bermanfaat untuk kita
bersama.
Rujukan:
1. Al-Qur’an al-Karim,
2. Manahil al-Irfan: al-Zarqani,
3- Ulum al-Quran al-Karim: Dr. Nuruddin I’tr.
TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad
Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg.
Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak
Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Email: mtq4tapah@gmail.com
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
SUMBANGAN
PERCETAKAN
Risalah ini disumbangkan oleh Dr. Hj. Ahmad Razi bin Othman
d/a POLIKLINIK RAZI,
Tapah, Perak Darul Ridzuan.
0 comments:
Post a Comment