RUANGAN FIQH DAKWAH
Oleh: Ust Ismail bin Ibrahim
FIQH DAKWAH KEPADA ALLAH
PENDAHULUAN
Islam adalah agama Allah SWT dan penutup bagi segala syariat untuk manusia sekaliannya. Al-Quran pula merupakan kitab kepada agama yang suci ini. Ia diturunkan untuk membenarkan kitab- kitab yang diturunkan sebelumnya dan menjadi penasakh kepada syariat- syariat yang sebelumnya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran,untuk mengesahkan benarnya kitab- kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya”. (Surah al-Maidah ayat 48)
Ia adalah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia dan membicarakan tentang kebenaran. Firman Allah yang bermaksud:
“Yang tidak didatangi sebarang kepalsuan dari mana- mana arah dan seginya; ianya diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha terpuji”. (Surah Fussilat ayat 42)
HIDAYAH AL-QURAN
Maulana Abul Hasan An-Nadawi RA(meninggal pada 31 Dasember 1999) telah menyebutkan di dalam risalahnya: “Al quran sebelum dia dijadikan sumber hukum-hakam dan perundangan dia merupakan sumber hidayah dan dakwah, kerana hidayah adalah asas bagi Iman, manakala dakwah merupakan asas pemindahan Iman. (Rawa’ek min adabi Dakwah fil Quran.hal 12) Maka matlamat utama penurunan al-Quran ialah memberi petunjuk kepada manusia untuk menuju ke jalan Allah SWT, memimpin ke jalan yang lurus dan menyelematkan mereka dari jalan yang sesat. Sesiapa yang mencari hidayah dalam al-Quran maka ia akan mendapati hidayah di dalamnya, manakala sesiapa yang masih ragu dengan al-Quran, bacalah kitab- kitab terdahulu untuk mengetahui perbezaan yang besar di antara kitab- kitab terdahulu dan al-Quran. Dengan cara ini ia dapat mengukuhkan lagi hujah bahawa kitab ini sememangnya datang dari Allah SWT.
Jika demikian, mengapakah masih ramai manusia tidak beriman kepada Allah SWT? Hal ini telah dijawab di beberapa tempat dalam al-Quran. Al-Quran menerangkan bahawa manusia jauh menyimpang dari kebenaran disebabkan dua perkara, iaitu:
1. Jahil tentang agama.
2. Hawa nafsu dalam diri yang tidak tunduk kepada al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka. (Surah al-Qasas ayat 50)
PERANAN DAKWAH
Oleh yang demikian, adalah sebesar- besar peranan dakwah itu menyelamatkan mereka yang jahil tentang agama Allah SWT. Allah SWT akan mengangkat dan meninggikan usaha dakwah ini dan menjadikan dakwah sebagai jalan utama untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Firman Allah Yang bermaksud: "Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata "sesengguhnya aku adalah dari orang-orang islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)" (Surah Fussialat ayat 33)
Allah SWT menggariskan kepada Rasulullah SAW bahawa dakwah baginda hanyalah menyampai dan memberikan peringatan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tugasmu adalah tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintah ke atasmu)”. (Surah al-Syura ayat 48)
Begitu juga firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat”. (Surah al-Syu'ara' ayat 214)
PAKSAAN DALAM BERAGAMA
Tidak boleh seseorang pun memaksa seseorang yang lain untuk masuk Islam seperti Firman Allah yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (islam)”. (Surah al-Baqarah ayat 256)
Tetapi seseorang itu dituntut agar menjelaskan mana satu jalan yang benar dan mana satu jalan yang sesat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kerana sesunguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)”. (Surah al-Baqarah ayat 256)
Maka menjadi suatu kewajipan ke atas setiap muslim untuk menuntut ilmu yang mengenalkan ia kepada agama Allah SWT, supaya tidak lagi ia berada pada tahap ‘Jahil agama’, setelah ia dapat mengenali dan memahami tentang agama Allah ini, maka ia pasti tidak akan merasa terpaksa ataupun dipaksa dalam menghambakan dirinya kepada sang pencipta.
Setelah itu, ilmu yang dipelajarinya akan memuliakannya di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Allah SWT pasti mengangkat darjat orang yang berilmu, Allah SWT telah berfirman, maksudnya: “Allah akan mengangkat bagi orang yang beriman dari kalangan kamu dan orang yang diberikan ilmu itu beberapa darjat” (Surah al-Mujadalah ayat 11).
Nabi SAW juga pernah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT akan kebaikan pada dirinya, nescaya akan diberikan kefahaman agama kepadanya” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
KESIMPULAN
Setiap mereka yang berada di dalam bidang dakwah perlulah memahami hakikat dakwah yang sebenarnya, bukanlah hanya dengan menegah, melarang atau menyuruh sahaja, tetapi perlulah disampaikan dalam bentuk ilmu yang bermanfaat kepada orang yang didakwah olehnya.
Nota: Petikan dan olahan daripada kitab terjemahan Kembali kepada al-Quran kenapa dan bagaimana?
0 comments:
Post a Comment