HADITH DAN ISU SEMASA
Oleh: Mohd Fazali b. Abdul Manas
PROFESIONAL DAN AMANAH DALAM KERJAYA
Abu Hurairah r.a meriwayatkan sebuah hadith yang bermaksud: Ketika Rasulullah s.a.w sedang bercakap dengan orang ramai dalam suatu majlis, tiba-tiba datang seorang A‛rabi lalu bertanya: “Bilakah Kiamat?”. Nabi s.a.w meneruskan ucapannya. Berkata sebahagian orang: “Baginda dengar apa yang ditanya, tetapi baginda tidak suka menjawab”. Berkata yang lain:“Tidak! Nabi tidak dengar”. Setelah Nabi s.a.w selesai menyampaikan ucapannya, baginda bertanya: “Di mana orang yang bertanya tentang kiamat tadi?”. Jawabnya: Ya! Saya di sini wahai Rasulullah”. Sabdanya: Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah Kiamat”. Tanya lelaki itu lagi:“Bagaimana amanah disia-siakan?”. Sabdanya: “Apabila diserahkan sesuatu urusan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah Kiamat (kehancuran)”. Hadith diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari nombor hadith....
Pengajaran Hadith
Jika diselidiki secara mendalam terhadap hadith ini sudah pasti banyak pengajaran yang boleh dicungkil. Namun, penulis lebih memfokuskan kepada dua perkara penting sebagai panduan hidup orang yang berkerja sama ada seorang guru, pegawai kerajaan, ahli politik, ahli ekonomi dan sebagainya. Perkara pertama ialah Islam mengambil berat tentang perlaksaan tugas dengan penuh amanah. Perkara kedua ialah kehancuran akan berlaku jika tugas diberikan kepada mereka yang cuai dan tidak profesional.
Amanah Menjalankan Tugas
Sifat amanah adalah sifat nubuwwah yang wajib umat Islam memilikinya. Amanah bukan sifat nubuwwah yang dihafal dan diingati oleh orang Islam sebagaimana mereka mempelajari dalam pelajaran akidah semata-mata. Sifat amanah wajib dihayati oleh orang yang beriman dalam kehidupan harian mereka.
Amanah yang paling besar ialah melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah s.w.t di atas muka bumi ini. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan Ingatlah ketika Tuhan kamu berfirman kepada para Malaikat, sesungguhnya aku ingin menjadikan di atas muka bumi ini khalifah…” (al-Baqarah ayat 30).
Menurut Imam al-Mawardi, tugas yang besar ini adalah tanggungjawab pemimpin Islam menguruskan agama dan mentadbir dunia dengannya.
Manakala amanah berikutnya adalah bergantung kepada tugas dan tanggungjawab seseorang terhadap rumah tangganya, masyarakatnya, majikannya, dan negaranya. Sebagai contoh seseorang yang menjadi bapa atau ibu harus memberi pendidikan, memelihara keselamatan, menjaga makan dan minum, dan sebagainya kepada anak-anak mereka menurut perintah Allah s.w.t.
Begitu juga seorang guru harus bertanggungjawab mendidik anak muridnya dengan baik dan bersungguh-sungguh. Pegawai Kerajaan harus melaksanakan kerja-kerja mengikut bidang tugas masing-masing dengan penuh tanggungjawab. Seterusnya ahli politik, ahli ekonomi, dan sebagainya harus melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh cermat dan bertanggungjawab. Justeru, semua pihak ada tanggungjawab masing-masing dihadapan Allah s.w.t. Bahkan mereka akan disoal oleh Allah s.w.t di mahkamah agung pada hari kiamat kelak.
Jika semua manusia berperanan melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh amanah, penulis yakin dunia hari lebih aman dan sejahtera. Namun, realitinya sifat amanah ini hanya termaktub di dalam buku-buku atau kitab-kitab sahaja. Amalan sifat tersebut tersasar jauh daripada yang sebenarnya.
Oleh kerana itu, kesanya sangat bahaya apabila amanah tiada rumah tangga berselerak, organisasi hancur, wang negara lesap, dan pelbagai perkara negatif akan berlaku. Sebagai contoh, laporan audit negara setiap tahun telah mencatatkan banyaknya wang negara lesap. Penulis yakin sudah berjuta wang rakyat telah diselewengkan oleh pihak tertentu sehingga ke hari ini akibat daripada tidak amanah.
Perkerja Yang Cuai Dan Tidak Profesional
Pengajaran daripada hadith tersebut juga mengingatkan kepada umat Islam supaya tidak melantik mereka yang tidak berilmu dan yang cuai melaksanakan tugas. Nabi s.a.w menyebut bahawa akan berlaku kehancuran kepada sesebuah organisasi, masyarakat, atau, negara yang mempunyai pegawai-pegawai atau pekerja yang tidak berilmu yakni bukan ahlinya.
Melantik seorang pegawai atau pekerja yang tiada mempunyai kepakaran dalam suatu bidang kerja akan mengakibatkan kemusnahan yang berpanjangan. Oleh itu, kelayakan seseorang berdasarkan ilmu untuk menguruskan kerja dengan baik menjadi faktor kejayaan sesebuah organisasi atau negara.
Justeru, Islam mengenakan syarat-syarat umum dan khusus bagi seorang pegawai sebelum mereka dilantik ke sesuatu jawatan seperti amanah, adil, berilmu, mempunyai kepakaran dan sebagainya. Manakala syarat-syarat khusus yang perlu diambil perhatian seperti lelaki atau wanita, peringkat umur, dan sebagainya.
Dalam sejarah Islam, pelbagai tindakan telah diambil oleh pemerintah terhadap pegawai-pegawai yang tidak berkelayakan atau tidak profesional dalam menjalankan tugas mereka.
Sebagai contoh, Nabi s.a.w pernah memecat al-‛Ala’ Ibn al-Hadrami daripada jawatan amil di Bahrain. Manakala pada zaman khalifah Umar al-Khattab pula, beliau pernah memecat ‛Ammar Ibn Yasir sebagai pemerintah kuffah. Selain itu, sejarah Islam juga mencatat bahawa terdapat pegawai-pegawai yang dipecat kerana rasuah, salah guna kuasa, munafik, murtad dan sebagainya.
Oleh itu, pihak pemerintah hari ini boleh memecat mana-mana pegawai atau ahli politik yang menyeleweng atau salah guna kuasa. Islam membenarkan cara tersebut bahkan ganjaran pahala yang besar akan diperolehi oleh pemerintah kerana menjalankan amanah tersebut.
Kesimpulannya, perlantikan pegawai, ahli politik untuk menjadi ADUN atau ahli Parlimen, dan sebagainya mesti dari kalangan ahlinya. Jawatan tersebut jika diserahkan kepada bukan ahlinya merupakan pengkhianatan terhadap agama, bangsa dan negara. Tegasnya, negara akan menuju kehancuran jika tugas diserahkan kepada bukan ahlinya.
Rujukan:
- Al-Qur’an,
- Sahih Bukhari,
- Kitab al-Ahkam al-Sultaniah,
- Islam Dalam Sabda (Siri I).
Mohd Fazali b. Abdul Manas kelahiran Kg. Bukit Sapi, Lenggong. Mendapat pendidikan di Madrasah Misbah al-Falah, Baling, Kedah (1983-1995), BA Republik Yaman (1998-2003), MA Universiti Malaya (2007-2011). Sekarang bekerja sebagai Pengetua di Maahad Tahfiz al-Qur’an wal-Qiraat ADDIN-4,Tapah, Perak.
Email: mtqlubuk_katak@yahoo.com.my
Tel: 013-530 5228
0 comments:
Post a Comment