ISU SEMASA
Oleh: Abd. Muhaimin bin Malek
MASJID DAN SURAU KURANG BERFUNGSI
1. Pendahuluan
Mutakhir ini kita dapati ada usaha-usaha gigih dari pihak tertentu untuk membantutkan perjalanan pengajian dan pengajaran agama di Institusi Masjid dan Surau dalam tanah air kita. Malahan ada pihak yang telah menggandakan usaha mereka untuk menangguh atau memberhentikan kuliah- kuliah agama di Masjid atau Surau mereka. Kejadian yang berlaku di Masjid Daerah Taiping menjadi bukti terhadap apa yang didakwakan. Di tambah pula isu AJK Masjid yang berlaku di Selangor dan beberapa negeri lain juga boleh dikaitkan dengan permasalahan ini. Pokoknya, inilah isu yang penulis dapat ketengahkan untuk difikir- fikirkan bersama seterusnya kita insafi untuk memperbetulkan keadaan.
2. Berfikir Sebelum Bertindak
Al Imam As-Syatiby dalam bukunya yang berjudul “al- Muwafaqat” ada menyebutkan: “Mengambil kira implikasi sesuatu keputusan yang dibuat samada baik atau buruk adalah sesuatu yang di syariatkan”.
Justeru itu, setiap tindakan yang bakal dilaksanakan amat perlu diambil kira apakah akibatnya? Sekiranya akibat dari keputusan itu memperoleh kemaslahatan duniawi dan ukhrawi maka tindakan kita adalah wajar, sebaliknya jika akibatnya adalah mendatangkan mudharat kepada agama, nyawa, keturunan, akal dan harta maka tindakan kita amat tidak wajar dan salah sama sekali di sisi Syarak.
Apabila ada pihak yang membuat keputusan memberhentikan kelas pengajian agama di Masjid atau Surau, maka tindakan tersebut amat tidak wajar sekali, kerana ianya menghalang proses penyuburan agama Islam di Negara kita. Pengajian islam adalah perkara penting yang wajib disubur dan dipelihara. Tanggungjawab ini harus dipikul bersama dan ia merupakan amanah di atas pihak berkuasa yang memerintah bumi. Imam Syatibi ketika menghuraikan agama sesuatu yang penting dan tergolong dalam dhoruriyyat al khams, beliau menyebutkan; “Yang dimaksudkan dengan memelihara Agama (Hifzuddin), adalah pemeliharaan dari dua sudut. Pertama: Sudut Penyuburan. Kedua: Sudut Penjagaan”.
Sudut penyuburan bermaksud; melaksanakan kegiatan- kegiatan yang boleh menyubur dan menghebatkan lima perkara penting tersebut, khususnya Agama. Sudut penjagaan bermaksud menjaga lima perkara tersebut dengan tindakan undang- undang, seperti Qisas dan Hudud, Takzir, undang- undang perkahwinan dan harta. Islam tidak akan tertegak dengan salah satu dari dua sudut di atas, bahkan tertegaknya Islam adalah kerana dua sudut yang berjalan seiringan.
Dalam keadaan umat Islam hanya sekitar 50% - 60% disamping kejahilan sebahagian umat Islam ditambah pula dengan kebejatan mungkar dan maksiat yang meruncingkan dan lain-lain hal lagi, kejadian di atas tidak sepatutnya berlaku, risikonya amat tinggi. Bagaiman dan di mana ummat akan dididik dan ditarbiah.?? Dan pelbagai persoalan serta kemungkinan yang bakal berlaku dan sepatutnya bermain difikiran kita saat membuat sebarang keputusan.
3.Fungsi Masjid Dan Peranannya Dalam Membina Masyarakat
Isu tersebut di atas tidak akan berlaku jika kita memahami fungsi Masjid dan Surau. Memahaminya adalah suatu perkara penting dalam memainkan peranannya selaku sebuah Institusi yang terdapat pelbagai jurusan dan kepakaran. Sejarah Nabi SAW telah membuktikan bahawa Masjid merupakan Institusi pendidikan, ketenteraan, kehakiman, kesenian, kesukanan, kemasyarakatan dan lain-lain lagi. Ianya terangkum dalam perkataan: Hablun MinaAllah Hablun MinanNas bermaksud; Pertalian dengan Allah dan pertalian dengan Manusia. Sejarah pemerintahan Nabi Muhammad dan Khulafa’ Rasyidin memperlihatkan kepada kita betapa Masjid digunakan hampir untuk semua urusan hidup selain Ibadat. Ada ketika digunakan sebagai Mahkamah pengadilan, adakalanya digunakan sebagai tapak latihan ketenteraan, parlimen persidangan, bilik gerakan kegiatan kemasyarakatan, gelanggang permainan, kelab- kelab kesenian dan, pusat pentarbiahan dan lain- lain lagi, selain menjadi pusat pentadbiran kerajaan Islam (Siasah Syariah).
Sepatutnya Masjid menjadi sebuah tempat yang paling sibuk di dunia, beroperasi 24 jam, selain menjadi tempat Ibadat untuk mempertalikan kehidupan hamba dengan Rabnya. Oleh sebab itu, Fuqaha’ meletakkan beberapa garis panduan untuk pembinaan sesebuah masjid sesuai dengan perananya. Salah satunya ialah; tempat yang sesuai. Masjid tidak sesuai dibina di pinggir perkampungan, atau di dipinggir bandar. Kerana Masjid kita sibuk setiap hari, sekurang- sekurangnya dengan Ibadat solat lima waktu. Sebahagian masyarakat Islam hanya datang sekali dalam seminggu, golongan inilah yang menjadi majoritinya. Boleh jadi mereka inilah yang sedang berusaha memperkecilkan fungsi Masjid yang sememangnya sudahpun kecil, berbangga dengan hanya 4 pengajian agama dalam sebulan, sedangkan aktiviti lainnya sekadar melepaskan batuk di tangga, “orang buat kita juga kena buat, nanti apa orang kata”.
4. Kesimpulan
Marilah bersama memastikan peranan Masjid dan surau benar- benar berperanan, supaya Institusi ini menjadi tempat ummat Islam mencari kekuatan Aqidah, kesatuan Iman dan kemantapan amalan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hanyasanya Yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang- orang Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat Yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan Yang mendapat petunjuk.” (at-Taubah:18)
Rujukan;
1- Al Quran
2- Tafsir Ibn Kathir
3- Al Muwafaqat Imam Syatibi
4- Dhawabit As Syar’iyyah libinail Masajid, Qardhawi.
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Hal Ehwal Murid (HEM). Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1991 – 2000). Menyambung pengajian di Institut al-Fatah al-Islami, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2000 – 2006). Dan sekarang beliau sedang menyambung pengajian di peringkat M.A di KUIN Kedah.
Tel: 013- 585 5682
0 comments:
Post a Comment