TAFSIR DAN ULUM al-QURAN
Oleh: Nur Muhammad As-siddiq bin Mohammad
ILMU TAFSIR al-QURAN
1. Pendahuluan
Tafsir al-Quran merupakan salah satu cabang ilmu yang ada di dalam al-Quran, ianya amat penting sekali bagi mengetahui serta memahami maksud isi kandungan al-Quran. Perkataan “Tafsir” berasal dari bahasa arab (fasr) yang membawa maksud jelas dan terang, kemudian digunakan secara istilahnya oleh para ulama’ dengan makna: suatu ilmu yang memberi kefahaman tentang kitab Allah SWT (al-Quran) yang telah diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW, serta penerangan makna-maknanya dan mengeluarkan hukum-hukum dan hikmah yang ada di dalamnya dengan berpandukan kepada ilmu bahasa arab, nahu, sorof dan lain-lain bagi memahami maksud kalam Allah SWT dengan kadar kemampuan manusia. Dan digunakan juga oleh sesetengah ulama’ dengan nama Ilmu Ta’wil.
2. Sejarah Tafsir al-Quran
Ilmu Tafsir ialah salah satu ilmu yang telah lama bermula pembelajarannya sejak dari zaman Nabi SAW lagi, sejarah telah menceritakan bahawa para sahabat Nabi SAW akan bertanya kepada baginda sekiranya mereka mempunyai sebarang kemusykilan terhadap ayat-ayat yang tidak difahami mereka, lalu baginda SAW menerangkan ayat-ayat tersebut sehingga mereka dapat memahaminya, terkadang Nabi menerangkan dengan menggunakan ayat al-Quran sendiri, dan terkadang dengan hadith baginda. Seterusnya ketika zaman sahabat, penafsiran al-Quran tidak dibukukan lagi kerana mereka adalah orang yang menerima al-Quran secara langsung. Mereka juga orang yang beramal dengan sunnah Nabi SAW, selain itu, mereka bercakap menggunakan bahasa al-Quran. Kemudian Islam terus berkembang ke serata dunia, orang-orang Islam bukan hanya dari bangsa arab, bahkan berbagai bangsa, ianya menyebabkan penafsiran al-Quran perlu dibukukan bagi memudahkan ummat Islam memahaminya. Ketika itulah Tafsir mula ditulis dan diletakkan kaedah dengan berpandukan kepada tafsiran Nabi SAW dan para sahabat.
3. Peringkat-peringkat Tafsir
Ibnu Abbas R.A pernah menyebut: “Tafsir itu empat (peringkat): 1- Peringkat yang boleh difahami oleh semua orang. 2- Peringkat yang boleh difahami oleh orang- orang arab melalui lidah (bahasa) mereka. 3- Peringkat yang boleh difahami oleh golongan ulama’. 4- Dan peringkat yang boleh difahami oleh Allah SWT sahaja”.
al-Imam az-Zarkasyi menyebut di dalam kitabnya al-Burhan bahawa pembahagian peringkat-peringkat ini adalah pembahagian yang sahih, tepat dan terperinci.
Peringkat pertama ialah peringkat yang boleh difahami oleh semua orang dari apa yang jelas dan terang maksud ayat al-Quran, seperti contoh firman Allah SWT yang bermaksud: “ketahuilah olehmu, bahawa tiada tuhan melainkan Allah”. (Surah Muhammad: 19). Jelas pada ayat ini bahawa sesungguhnya Allah SWT itu tuhan yang esa layak disembah, dan tiada tuhan selain-Nya.
Peringkat seterusnya ialah peringkat yang dapat difahami oleh orang-orang arab melalui penggunaan bahasa mereka, ini kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa arab, dengan kaedah-kaedah bahasa arab yang telah diletakkan oleh mereka, maka mudah bagi mereka untuk memahami ayat-ayat al-Quran di peringkat ini.
Peringkat ketiga merupakan peringkat yang difahami oleh golongan ulama’, dengan Ijtihad dan ketepatan pemerhatian mereka untuk mengeluarkan pengajaran dan hukum-hakam daripada al-Quran. Dan ini mengikut pengkhususan ulama’ tersebut.
Peringkat yang tertinggi ialah peringkat yang difahami maksud ayat tertentu oleh Allah SWT sahaja, seperti maksud ayat: (آلـم). Hanya Allah SWT sahaja memahami maksudnya.
4. Tafsir Dari Segi Manhaj Ilmu
Disebut di dalam kitab Manahil al-‘irfan Fi ‘ulum al-Quran bahawa Tafsir ini dibahagikan kepada tiga bahagian, pertama Tafsir bil-Ma’thur, kedua Tafsir bil-Ra’yi dan ketiga Tafsir al-Isyari.
1- Tafsir bil-Ma’thur: Ia adalah Tafsir yang datang penerangannya daripada al-Quran sendiri ataupun Sunnah Nabi SAW (Hadith) atau kata-kata dari sahabat baginda sebagai menerangkan maksud kalam Allah SWT melalui rangkaian Sanad yang bersambung kepada Nabi SAW atau sahabat.
Sebahagian ulama’ menyebut bahawa orang pertama yang menghimpunkan Tafsir bil-Ma’thur adalah al-Imam Malik bin Anas. Antara kitab Tafsir bil-Ma’thur yang terkenal adalah seperti kitab Jami’ al-Bayan Fi Tafsir al-Quran karangan al-Imam at-Thobari, Tafsir al-Quran karangan Ibnu Kathir, Lubab at-Ta’wil Fi Ma’ani at-Tanzil karangan al-Khazin dan lain-lain.
2- Tafsir bil-Ra’yi: Ialah Tafsir yang datang keterangannya dari usaha-usaha dan Ijtihad ulama’ Tafsir tersebut dalam memahami maksud al-Quran dengan menggunakan kefahaman mereka di dalam bahasa arab dan ilmu-ilmu lain yang diperlukan oleh seorang ahli tafsir, seperti Balaghah, Qiraat, Usul ad-Din dan sebagainya.
Antara kitab Tafsir bil-Ra’yi yang terkenal ialah seperti Anwar at-Tanzil Wa Asrar at-Ta’wil karangan al-Baidhawi, Madarik at-Tanzil Wa Haqaiq at-Ta’wil karangan an-Nasafi dan karangan al-Alusi yang bernama Ruh al-Ma’ani Fi Tafsir al-Quran al-‘azim Wa Sab’ul Mathani.
3- Tafsir al-Isyari: Ialah Tafsir al-Quran kepada makna dan maksud yang lain dari makna al-Quran yang jelas, penafsiran kepada isyarat-isyarat yang tersembunyi di sebalik ayat, dan ianya tidak lari atau bersalahan dari makna asal.
Antara karangan Tafsir al-Isyari seperti Tafsir al-Quran al-‘azim karangan at-Tustari dan Lathoif al-Isyarat karangan al-Qusyairi.
5. Penutup
Ilmu-ilmu di dalam al-Quran ibarat harta yang tersimpan di dalam peti besi yang terkunci kemas, peti itu perlu dibuka dengan kuncinya jika mahu dikeluarkan segala harta yang tersimpan di dalamnya, maka para ulama’ menyebut: “kunci kepada segala ilmu al-Quran adalah Tafsir”.
Rujukan:
1. al-Qur’an
2- Manahil al-‘irfan fi ulum al-Quran
3- ‘ulum al-Quran
4- Hadaiq al-Mufassirin
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Pentadbiran. Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1992 - 2004). Menyambung pengajian di Institut at-Tahzib wat-Ta’lim, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2005 – 2010).
Tel: 019- 557 1027
Email: siddiq.nur1869@yahoo.com
0 comments:
Post a Comment