ISU-ISU SEMASA
Oleh: Nur Muhammad As-siddiq bin Mohammad
BERKASIH BUKAN PADA HARI TERTENTU SAHAJA
PENDAHULUAN
Nabi SAW pernah bersabda, maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti apa yang ia kasihi untuk dirinya” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Kasih atau cinta adalah satu perasaan yang telah dikurniakan kepada manusia seperti mana ianya dikurniakan kepada makhluk-makhluk Allah SWT yang lain, dengan perasaan kasih, kita mengasihi Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, kita mengasihi ibu dan ayah, kaum keluarga dan sahabat-sahabat. Kasih dan cinta adalah satu perasaan yang mulia, kerana kasih kita sanggup berkorban, kerananya juga kita sanggup menyerahkan diri kepada sesuatu kecelakaan demi orang yang dikasihi dan dicintai. Walau bagaimana pun, perasaan kasih dan cinta ini tidak perlu dihadkan untuk kita hanya pada hari-hari tertentu sahaja, bahkan Islam menekankan kepada umatnya supaya menanam rasa kasih setiap masa dan pada mereka yang selayaknya dikasihi.
HARI KEKASIH
Hari kekasih atau disebut “Valentine Day” dilihat hari ini sangat mendapat sambutan di kalangan orang ramai. Apabila tiba sahaja tanggal 14 Februari, maka iklan-iklan yang berkaitan dengan sambutan hari tersebut bertaburan di merata-rata tempat. Apa yang menyedihkan ialah sambutan hari ini turut disertai oleh mereka-mereka yang beragama Islam, bahkan ada dikalangan mereka yang begitu taksub menyambutnya dan menganggap sambutan ini adalah ruang untuk mereka melepaskan kasih sayang kepada kekasih mereka. Sedangkan sambutan ini sangat bercanggah dengan ajaran agama dan ianya telah difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-71 pada 22-24 November 2005 sebagai sambutan yang haram disambut oleh orang Islam.
Golongan yang berani menentang pengharaman sambutan hari ini dan berani menyambutnya, pada hakikatnya tidak mengetahui asal-usul sambutan tersebut, sedangkan Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta untuk bertanggujawab” (al-Isra’: 36).
Tegasnya, ulama’ telah membahaskan tentang sambutan ini dan mendapati ianya bukan dari ajaran Islam.
SEJARAH VALENTINE DAY
Pengharaman sambutan ini telah dibuat setelah mendapati ianya adalah salah satu daripada upacara keagamaan yang dilakukan oleh penganut Kristian. Mereka meraikan sempena memperingati St. Valentine yang telah mati dibunuh oleh penguasa Rom yang bernama Raja Claudius II pada tanggal 14 Februari 270 M. St. Valentine dianggap oleh pengikutnya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cabaran hidup. Oleh kerana itu mereka memperingati kematiannya sebagai upacara keagamaan.
Kepercayaan orang-orang Eropah bahawa tanggal 14 Februari juga merupakan ‘hari kasih sayang’, yang mana pada hari ini kasih sayang mula bersemi bagai burung jantan dan betina, kemudian mereka kaitkan sambutan memperingati St. Valentine dengan hari kasih sayang.
Dalam bahasa Perancis Normandia pada abad pertengahan, terdapat perkataan ‘Galentine’ yang bermaksud kasih dan cinta, persamaan bunyi di antara Galentine dan Valentine menyebabkan mereka berfikir bahawa sekiranya seseorang yang ingin mencari kekasih sebagai pasangan hidupnya perlulah pada tarikh 14 Februari. Manusia pada zaman sekarang tidak lagi mengetahui dengan jelas asal-usul hari Valentine ini.
Dari sini dapat diambil kesimpulan bahawa sambutan ini tidak lebih daripada satu kepercayaan yang cuba merobek dan merosakkan akidah orang-orang Islam, sekaligus memperkenalkan gaya hidup barat dengan bertopengkan percintaan dan kasih sayang.
SEBAB PENGHARAMAN
Para ulama’ telah menjelaskan bahawa sambutan hari Valentine ini adalah haram berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah, dan dapat saya simpulkan dalil-dalil tersebut seperti di bawah:
1- Dalil al-Quran: Allah SWT berfirman, maksudnya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya” (al-Isra’: 36). Allah SWT berfirman lagi: “Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (dari Allah) tentulah mereka telah dibinasakan, dan Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih”. (asy-Syuura: 21). Dan firman-Nya: “Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan dapat menolak dari kamu sedikitpun dari siksaan Allah. dan Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu sebagian mereka menjadi penolong bagi sebagian yang lain, dan Allah adalah pelindung orang-orang yang bertakwa” (al-Jaatsiyah: 18-19).
2- Dalil as-Sunnah: Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang meniru dan mengikut sesuatu kaum maka ia tergolong dari kalangan mereka” (HR Abu Daud). Sabdanya lagi: “Barangsiapa yang melakukan satu amalan yang bukan dari ajaran kami (Islam) maka ianya ditolak” (HR Muslim), dan sabdanya: “Setiap kaum itu ada perayaan (sambutan) mereka, dan ini (Aidilfitri dan Aidiladha) adalah perayaan kita” (HR al-Bukhari dan Muslim).
PENUTUP
Mudah-mudahan tulisan ringkas ini dapat menjelaskan kepada kita bahawa sambutan Hari Kekasih atau ‘Valentine Day’ itu bukan dari ajaran Islam. Ia adalah sambutan ajaran agama Kristian. Umat Islam dilarang menyambut perayaan tersebut.
Rujukan:
1- al-Quran
2- Sahih al-Bukhari
3- Sahih Muslim
4- Sunan Abi Daud
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Pentadbiran. Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1992 - 2004). Menyambung pengajian di Institut at-Tahzib wat-Ta’lim, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2005 – 2010).
Tel: 019- 557 1027
Email: siddiq.nur1869@yahoo.com
TERBITAN: UNIT PERPUSTAKAAN DAN PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Email: mtq4tapah@gmail.com
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment