TAFSIR DAN ULUM AL-QUR’AN (siri pertama)
Oleh: Mohd Fazali b. Abdul Manas
MEMAHAMI PENGERTIAN AL-WALA’ DAN AL-BARA’
DARIPADA AYAT 51,55,56 SURAH AL-MAIDAH
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim”. (ayat 51 surah al-Maidah)
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang”. (ayat 55,56 surah al-Maidah)
KEFAHAMAN UMUM AYAT 51
Menurut Ibn Kathir, Allah s.w.t melarang orang beriman daripada berwala’ kepada golongan Yahudi dan Nasrani kerana mereka merupakan musuh Islam. Menurut Ibn ‘Asyur pula, berwala’ kepada Yahudi dan Nasrani bermaksud berkasih sayang dan saling menolong antara satu sama lain. Hal ini tidak dibenarkan oleh Allah s.w.t kerana keruntuhan dan kerosakan akhlak.
Menurut Syed Qutb pula, ayat ini merupakan pendedahan daripada Allah s.w.t mengenai sikap sebenar musuh Islam terhadap orang beriman. Menurutnya lagi, ayat ini merupakan arahan yang besar supaya orang beriman ikhlas mencintai Allah s.w.t, RasulNya, dan orang beriman serta menolak daripada berwala’ kepada musuh mereka.
SEBAB PENURUNAN AYAT
Menurut Ibn Kathir, ayat ini diturun mengenai ‘Ubadah bin al-Samit ketika beliau membatalkan perjanjian kerja sama dengan kaum Yahudi di Madinah. Menurut al-Maraghi pula, ayat ini diturunkan mengenai Abdullah bin Ubay bin Salul yang berkerjsama dengan Yahudi kerana bimbang umat Islam akan kalah suatu hari nanti.
KEFAHAMAN UMUM AYAT 55,56
Menurut Ibn ‘Asyur, ayat ini menjelaskan bahawa mereka yang berwala’kan kepada Allah akan melepas diri daripada berwala’ kepada musuh agamanya. Ibn Kathir menghuraikan bahawa orang beriman sentiasa memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat jika mereka berwala’kan kepada Allah s.w.t, RasulNya, dan orang beriman.
SEBAB PENURUNAN AYAT
Menurut Ibn ‘Atiyah, terdapat beberapa riwayat mengenai penurunan ayat ini, antaranya:
i- Ia diturunkan kepada kaum muslim yang bersikap demikian,
ii- Ia diturunkan sempena derma daripada Saidina Ali bin Abi Talib,
iii- Ia diturunkan sebagaimana kisah ‘Ubadah bin al-Samit,
iv- Ia diturunkan mengenai Abdullah bin Salam.
PENGERTIAN AL-WALA’ DAN AL-BARA’
Al-Wala’ dari sudut bahasa ialah hampir. Manakala dari sudut istilah pula ialah kasih sayang, menghormati, memuliakan, dan tolong menolong zahir dan batin.
Al-Bara’ dari sudut bahasa bermakna menjauhi. Manakala pengertiannya dari sudut istilah ialah menjauhi, menghindari, dan memusuhi selepas diberi peringatan.
AL-WALA’ DAN AL-BARA’ ASAS AKIDAH
Dalam hal ini boleh dirujuk kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (Neraka)”. (ayat 80,81 surah al-Maidah).
Manakala hadith Nabi s.a.w menjelaskan dengan maksud: Daripada Ibn ‘Abbas r.a, katanya: Telah bersabda Nabi s.a.w kepada Abu Zar: Talian iman yang mana lebih kuat?, Abu Zar menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengetahui, bersabda Rasullah: Berwala’ kepada Allah, berseteru kerana Allah, kasih kerana Allah, dan marah kerana Allah.
PERINGKAT WALA’
i- Wala’ kepada Allah s.w.t,
ii- Wala’ kepada Rasulullah s.a.w,
iii- Wala’ kepada orang beriman,
Pembahagian tersebut berdasarkan kepada hadith Nabi s.a.w yang bermaksud: Daripada Anas bin Malek r.a katanya: Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga perkara seseorang akan mendapat kemanisan iman, iaitu; ia mesti mengasihi Allah dan RasulNya, ia mesti kasih seseorang kerana Allah, dan ia benci kepada kekufuran sebagaimana ia takut jika dicampak ke dalam api.
TINGKAH LAKU SESEORANG WALA’ KEPADA ALLAH DAN RASULNYA
i- Ikhlas dalam mengerjakan Ibadah,
ii- Bersungguh-sungguh melakukan ketaatan,
iii- Melaksanakan segala perintah,
iv- Meninggal segala larangan,
v- Menjauhi perkara syirik, khurafat, dan sebagainya,
Bersambung….
Rujukan:
- Al-Qur’an,
- Tafsir Ibn ‘Asyur,
- Tafsir Ibn Kathir,
- Tafsir Ibn Atiyah,
- Tafsir al-Maraghi,
- Sahih Bukhari
- Al-Wala’ wa al-Bara’ fi al-islam
Mohd Fazali b. Abdul Manas kelahiran Kg. Bukit Sapi, Lenggong. Mendapat pendidikan di Madrasah Misbah al-Falah, Baling, Kedah (1983-1995), BA Republik Yaman (1998-2003), MA Universiti Malaya (2007-2011). Sekarang bekerja sebagai Pengetua di Maahad Tahfiz al-Qur’an wal-Qiraat ADDIN-4,Tapah, Perak.
Email: mtqlubuk_katak@yahoo.com.my
Tel: 013-530 5228
0 comments:
Post a Comment