RUANGAN
MAQASID SYARIE’
Oleh: UST ABD MUHAIMIN BIN MALEK
ILMU DAN GURU
“ Dan
tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi
berperang); Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di
antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara
mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar
kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka;
Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)”. Surah Al Taubah 122
Di dalam ayat di atas Allah
memerintahkan sebahagian sahabat-sahabat nabi supaya mendalami ilmu agama
dengan nabi s.a.w dan dalam masa yang sama Allah melarang mereka pergi
berperang bersama pasukan tentera yang dihantar Rasulullah ke medan perang. Al
Zujjaj menyebutkan: Ayat ini walaupun perkataannya didatangkan dalam bentuk
perkhabaran, akan tetapi membawa makna perintah sepertimana ayat 113 di dalam
surah tersebut. (Ibn Jauzi, Zadul Masir. Juzuk 3.m/s 517)
Larangan di atas adalah bertujuan
supaya ada di kalangan mereka orang yang dapat memahirkan diri mereka dalam
jurusan ilmu agama dengan menuntut ilmu dan mendalaminya sebaik mungkin.
Manakala Suruhan di atas iaitu
perintah mendalami ilmu agama adalah bertujuan supaya mereka dapat menyampaikan
ilmu tersebut kepada mereka yang akan kembali dari medan perang dan mereka yang
tak berkesempatan menuntut ilmu dengan nabi s.a.w.
Ayat di atas juga menyebutkan
kepada pembacanya objektif atau maqasid kepada perintah mendalami ilmu
agama, iaitu (Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga dari melakukan larangan
Allah).
Bahkan di antara maqasid
atau tujuan kedatangan Islam itu sendiri adalah menyebar luaskan ilmu dan
etikanya kepada masyarkat, dan membentuk beberapa kelompok yang bertugas
memahamkan ilmu agama dan mengislamkan pemikiran orang Islam, supaya segala
selok belok kehidupan bertepatan dengan tujuan syarak. (Ibn ‘Asyur. Al
Tahrir wa Al Tanwir. Juzuk 11.m/s 59).
KELEBIHAN ILMU DAN GURU
Allah S.w.t berfirman di dalam
surah Al Zuma Ayat 9,
"Katakanlah lagi (kepadanya):
"Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak
mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan
peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.
Abul Hasan Al Mawardi
menyebutkan: “ Di dalam ayat di atas Allah s.w.t melarang kita menyamakan orang
yang berilmu dengan orang yang jahil, disebabkan ilmu yang terdapat pada orang
alim”.(Adabu Dunya wad Addin.m/s49)
Ilmu yang paling afdhal adalah
ilmu yang boleh membuatkan kita
mengenali diri sendiri seterusnya dapat mengenali Allah Pencipta Alam.
Ilmu itu juga dapat membantu kita mengetahui tujuan kita dihidupkan, dan dapat
memudahkan kita kearah merialisasikan tujuan tersebut. (Al Qardhawi. Al
Rasul wal Ilmu.m/s 9).
Al Ghazali pernah menyebutkan; Hak seorang guru atau orang
yang mengajarkan ilmu adalah lebih besar dari hak kedua ibu bapa. Ibu bapa
hanya penyebab wujudnya kita di alam semesta yang sementara ini, manakala guru
adalah penyebab wujud kita dalam keadaan selamat di alam yang kekal nanti.(Al
Ehya’. Jilid 1.m/s 55).
Justeru Yahya bin Muaz
Rahimahullah pernah berkata: Orang berilmu adalah manusia yang paling sayang
kepada kita dari kedua ibu bapa, kerana Ibu bapa menyelamatkan kita dari
bencana dunia, manakala orang berilmu menyelamatkan kita dari bencana Akhirat.
(Al Qardhawi.m/s 103)
PENYUBURAN AKAL SATU KEWAJIBAN
SYARAK
Al Syatibi ketika menghuraikan
bentuk pemeliharaan Lima perkara asas manusia, iaitu Agama, Nyawa, Keturunan,
Akal dan Harta menyebutkan: Terdapat dua
cara dalam memelihara lima perkara
tersebut; Melakukan sesuatu yang boleh menyubur dan mengembangkan dan
Mengenakan tindakan bagi memelihara kesejahteraan lima perkara tersebut.
Akal wajib disuburkan dengan
membaca, belajar, mencari ilmu dan berfikir. Dengan ilmulah akal akan berfungsi
dengan baik, dapat mengatur dan merencanakan sesuatu dengan bersistematik,
dapat mengukur kebaikan dan keburukan, seterusnya mendorong kepada melakukan
sesuatu yang dinamik dan bermanfaat.
Ayat pertama surah Al ‘Alaq
menjadi dalil wajib kepada penyuburan akal.
Pernah saya terbaca satu kajian
yang dibuat dalam surat khabar arus perdana menyebutkan tentang kelebihan
mengfungsikan akal, bahawa akal yang selalu subur dengan pembacaan dan
pemikiran boleh mengelak diri dari terkena penyakit nyanyok ketika usia
menjelang tua.
Jika dilihat tindakan sebahagian
manusia mutakhir ini menggambarkan betapa akal manusia tidak berfungsi dengan
sebaiknya, bahkan perasaan suka duka, sayang dan benci tidak lagi berpandukan
kepada kewarasan akal. Kita sayang sesuatu yang tidak layak diberikan kasih
sayang, kita benci sesuatu yang wajib kita sayangi dan sebagainya..
Oleh itu, sempena meraikan hari
guru saya menyeru seluruh teman-teman agar sama-sama melaksanakan kewajiban
ini, saya juga menyeru guru-guru, ustaz-ustaz, ustazah-ustazah sama-samalah
kita menambahkan ilmu dengan belajar dan memperbanyakkan baacaan dan kajian
agar kita dapat melaksanakan perintah ayat surah Taubah 122 di atas. Semoga
kerjaya anda memperoleh pahala dari Allah. UNTUK SEKALIAN GURU KU PERSEMBAHKAN
MAQALAH RINGKAS INI. SELAMAT HARI GURU.
Rujukan;
1-
Zadul Masir Fi Ilmi Tafsir
2-
Al Tahrir wa Al Tanwir
3-
Al Rasul Wa Al Ilm
4-
Ehya Ulumuddin
5-
Adabu Dunya Wa Al ddin
6- Al Muwafaqaat
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz
al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Hal Ehwal Murid
(HEM). Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena
Kedah (1991 – 2000). Menyambung pengajian di Institut al-Fatah al-Islami,
Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah
(2000 – 2006). Dan sekarang beliau sedang menyambung pengajian di peringkat M.A
di KUIN Kedah.
Tel: 013- 585 5682
0 comments:
Post a Comment