TAFSIR DAN ULUM AL-QUR’AN
Oleh: Mohd Fazali b.
Abdul Manas
KEPENTINGAN
MEMELIHARA ALAM SEKITAR
BAGI
MENGELAK BENCANA MENERUSI AYAT 41 SURAH AL-RUM
1. PENDAHULUAN
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Telah timbul berbagai
kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah
dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak
merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka
telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. (ayat 8 surah al-Rum)
2. KEFAHAMAN UMUM AYAT
Menurut Prof. HAMKA, ayat ini menjelaskan
bahawa kerosakan yang berlaku di atas dunia ini adalah berpunca daripada
perbuatan manusia sendiri. Hal ini berlaku kerana manusia tidak mengurus alam
ini dengan baik. Oleh itu, jika dilihat kepada pencemaran udara adalah
disebabkan oleh asap hasil kegiatan manusia yang tidak terkawal. Maka pelbagai
penyakit menimpa manusia sendiri seperti penyakit paru-paru kotor dan
sebagainya.
Menurutnya
lagi, kerosakan tersebut bukan berlaku di darat sahaja, bahkan melarat sampai
ke laut. Justeru, akibat kegiatan manusia yang tidak terkawal didapati tumpahan
minyak berlaku yang mengakibat kerusakan kehidupan laut.
Imam
al-Maraghi menyebut pula bahawa kerosakan alam ini adalah berpunca daripada
perbuatan manusia yang suka berperang dengan menggunakan pelbagai senjata yang
boleh menghancurkan manusia dan alam ini. Sebagai contoh pengeboman oleh
tentera Amerika terhadap Hiroshima telah
mengakibat seluruh tempat tersebut seperti ‘padang
jarak padang
terkukur’.
3. SEBAB-SEBAB BERLAKUNYA BENCANA ALAM
Selain daripada perbuatan manusia yang tidak bijak
mengurus alam ini dengan baik yang mengakibatkan kerosakan dunia, ianya juga
berlaku dengan sebab dosa-dosa manusia. Oleh itu, dalam al-Quran terdapat dua
punca mengapa berlakunya bencana alam dan kerosakan dunia ini:
Pertama: Bencana berlaku sebagai hukuman dari Allah s.w.t
dengan sebab dosa, maksiat, dan kekufuruan manusia.
Al-Qur’an telah mendedahkan
bahawa kaum Nabi Nuh a.s telah dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth a.s dimusnahkan dengan gempa bumi dan
kaum 'Aad dimusnahkan dengan ribut taufan tujuh hari tujuh malam. Bencana
tersebut berlaku disebabkan dosa yang telah mereka lakukan terhadap Allah
s.w.t.
Firman Allah s.w.t seperti terdapat dalam surah
al-Ankabut ayat 40:
Maksudnya: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan
sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut
menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang
menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami
tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka,
akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri."
Kedua: Bencana berlaku dengan sebab kerakusan manusia
mengejar harta benda dunia tanpa kawalan.
Kerakusan manusia mengejar
kemewahan dunia dengan melakukan pembalakan tanpa kawalan, penarahan bukit,
pengambilan bahan binaan berlebihan, pembinaan kilang nuklear tidak mengikut
garis panduan, pembuangan bahan kimia yang tidak bersistematik, pembinaan
bagunan di liring bukit dengan mengabaikan sistem perparitan dan sebagainya
akan mengakibatkan sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat .
Justeru, tidak hairan jika
berlaku banjir besar, jerebu, tanah runtuh, kemarau panjang, ribut taufan, dan
sebagainya adalah disebabkan sistem ekologi ciptaan Allah s.w.t telah rosak.
Dalam hal Allah s.w.t telah menyatakan menerusi ayat 41 daripada surah al-Rum.
Namun, manusia yang rakus mencari kemewahan dunia masih leka tanpa
memikirkan akibat perbuatannya sendiri.
4. KESIMPULAN
Walaupun
Islam tidak pernah melarang pembangunan dilaksanakan oleh manusia bagi
memakmurkan dunia ini, namun pembangunan tersebut dan kemajuan yang dikehendaki
mesti berlandaskan kepada tujuan asal kejadian manusia. Manusia diciptakan oleh
Allah s.w.t untuk menyembahNya bukan mengikut hawa nafsu.
Justeru,
segala tindak-tanduk manusia mesti berasaskan keimanan kepada Allah s.w.t. Jika
mereka mengikut hawa nafsu semata-mata maka akan berlaku perlanggaran terhadap
perintah Allah s.w.t. Perlanggaran tersebut akan berlaku dalam dua bentuk,
iaitu dalam bentuk dosa atau dalam bentuk tindakan merosakkan alam.
Akibat daripada pelanggaran
tersebut ianya menarik pelbagai bentuk-bentuk bencana yang bakal menimpa
manusia dan alam ini. Oleh itu, Allah s.w.t sentiasa mengingatkan manusia
supaya berhemah ketika mengurus dunia ini. Jika kesilapan berlaku mereka
sendiri yang akan menanggungnya.
Firman Allah s.w.t yang
bermaksud:“Patutkah
penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada
mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada
kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka
bermain-main?”. (surah al-‘Araf ayat 97,98)
Justeru,
tugas para ulama dan cendikiawan Islam perlu tampil ke hadapan menjelaskan
isu-isu tersebut berpaksikan kepada al-Qur’an dan Sunnah Nabawi menerusi
tulisan dan ucapan.
Selain
itu, mereka perlu menasihati pihak berkuasa dan kepimpinan Negara supaya
mengambil sikap waspada dan berhati-hati ketika ingin melaksakan projek
pembangunan. Hanya mereka yang memahami wahyu Allah s.w.t sahaja yang mampu
menjelaskan isu-isu yang berkaitan dengan urusan memakmurkan dunia selaras
dengan kehendak Penciptanya. Manusia hari ini tidak boleh bongkak dengan ulama
yang memahami wahyu Pencipta alam ini. Tanpa tunjuk ajar mereka dunia ini akan
rosak dan malapetaka sentiasa meredah dan memusnahkan kehidupan ini.
Rujukan:
1.
Al-Qur’an,
2.
Tafsir al-Azhar,
3.
Tafsir al-Maraghi,
Mohd Fazali b. Abdul
Manas kelahiran Kg. Bukit Sapi, Lenggong, Perak. Mendapat pendidikan di Madrasah
Misbah al-Falah, Baling, Kedah (1983-1995), BA Republik Yaman (1998-2003), MA
Universiti Malaya (2007-2011). Sekarang bekerja sebagai Pengetua di Maahad
Tahfiz al-Qur’an wal-Qiraat ADDIN-4,Tapah, Perak.
Email: mtqlubuk_katak@yahoo.com.my
Tel: 013-530 5228
0 comments:
Post a Comment