RUANGAN
TAFSIR
Oleh: Nur Muhammad As-siddiq b. Mohammad
TAFSIR SURAH
AL-MASAD. AYAT 1-5
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Binasalah
kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidak ada gunanya harta itu kepadanya dan juga
apa yang diusahakannya. Dia kelak akan masuk ke dalam api neraka yang lidah
apinya menjulang-julang. Dan juga isterinya, pembawa kayu api. Pada lehernya
ada tali dari tali yang dipintal” (al-Masad: 1-5)
Latar belakang ayat
Surah ini disebut juga surah
Tabbat (binasa) dan al-Lahab (lidah api). Ia merupakan surah ke 111 yang mengandungi
5 ayat dan diturunkan di kota Mekah. Ibnu ‘Abbas meriwayatkan ketika Nabi SAW
telah keluar ke kaki bukit Safa menyeru orang-orang Quraisy menyembah Allah
SWT. Nabi SAW bertanya kepada mereka: “Jika aku katakan kepada kamu semua
bahawa musuh kamu telah bersiap sedia untuk menyerang kamu di waktu pagi
ataupun petang, adakah kamu semua mempercayai aku?”. Orang-orang Quraisy
menjawab: “Ya! kami percaya”. Rasullah SAW menyambung lagi: “Wahai orang-orang
Quraisy, sesungguhnya aku adalah pemberi amaran yang telah diutuskan oleh Allah
kepada kalian semua sebelum tibanya hari pembalasan”. Ketika itu Abu Lahab
memotong kata-kata Nabi sambil menjerit: “Celakalah kamu wahai Muhammad, adakah
untuk ini sahaja engkau kumpulkan kami di sini ?”. Justeru turunlah surah ini
yang menjelaskan kecelakaan bakal menimpa Abu Lahab dan isteri.
Siapakah Abu Lahab?
Abu Lahab ialah bapa saudara Nabi
SAW yang sangat sayang dan kasih sebelum kerasulan baginda. Nama sebenarnya
ialah Abdul Uzza bin Abdul Muttalib. Digelar Abu Lahab kerana dia seorang yang
kacak dan rupawan, tetapi panas baran dan mudah tersinggung. Disebabkan
kekacakkannya, maka tidak hairanlah dia dapat berkahwin dengan perempuan yang
paling jelita di Mekah, iaitu Arwa binti Harb yang mendapat julukan Ummu Jamil.
Rumahnya bersebelahan dengan rumah Rasulullah SAW. Oleh kerana hubungan mereka
sangat rapat sebagai kerabat dan jiran terdekat menjadikan Abu Lahab dan
isterinya sangat kasih kepada Rasulullah SAW sehingga menjodohkan anak-anak
lelakinya iaitu Utbah berkahwin dengan Ruqaiyyah manakala Utaibah berkahwin
dengan Ummi Kalthum anak perempuan Rasulullah SAW.
Di antara perangai keji Abu Lahab
ialah dia sangat suka berjudi. Dia termasuk di kalangan lima orang tokoh
Quraisy yang paling kuat berjudi selain Abu Jahal, al-Harith bin Amir, al-Kahiyar
bin Adi dan al-Azhar bin Auf.
Tetapi sejak Nabi SAW dilantik
menjadi Rasul, dia merasakan ajaran Islam yang dibawa oleh baginda bakal
menganggu aktiviti hariannya yang suka berjudi, walaupun ketika itu belum turun
ayat-ayat al-Quran yang melarang umatnya daripada berjudi.
Oleh kerana itulah Abu Lahab dan
isterinya bertukar menjadi orang yang paling membenci Rasulullah SAW.
Kebenciannya sehingga ke tahap menyuruh anak-anak lelakinya iaitu Utbah dan
Utaibah menceraikan anak-anak gadis Rasulullah SAW. Seboleh-bolehnya dia tidak
mahu melihat anak-anak Rasulullah berada dalam keluarganya.
Pembawa kayu api dengan tali di
leher
Isteri Abu Lahab yang bernama
Ummu Jamil turut memainkan peranan membakar hati kaum wanita di kalangan penduduk
Mekah dengan membawa cerita-cerita fitnah dan menyalakan api permusuhan dan
kebencian kepada Nabi SAW. Ketika turun surah al-Lahab yang mencela suami dan
dirinya, Ummu Jamil seperti cacing kepanasan. Dia sangat marah lalu dicarinya
Nabi SAW di masjid untuk dimaki hamun.
Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud:
Pada suatu malam Ummu Jamil telah membawa sebeban kayu api yang berduri dan
diselerakkannya di jalan yang akan dilalui oleh Nabi SAW, dengan tujuan untuk
menyakiti baginda.
Allah SWT telah berjanji akan
meletakkan di lehernya tali yang dipintal dari api neraka yang akan mengikat
lehernya, dan dia juga akan membeban kayu api neraka sebagai balasan yang
sepadan dengan jenis amalan yang dikerjakannya.
Kata Ibnul Musaiyib: Ummu Jamil
mempunyai seutas kalung bertatahkan batu permata yang mahal harganya, dan
mengatakan: “Demi Lata dan Uzza (nama berhala-berhala), kalungku ini akan ku
jual untuk biaya memusuhi Muhammad”. Maka Allah menghukumnya dengan mengikatkan
lehernya dengan tali berpintal dari jenis api neraka.
Mukjizat surah al-Masad
Ulama’ menjelaskan pada surah ini
terdapat beberapa perkara yang dapat diambil perhatian.
Pertamanya ialah penggunaan nama
panggilan Abdul Uzza iaitu Abu Lahab, Allah SWT tidak menggunakan nama sebenar
Abu Lahab kerana mahu menafikan ketuhanan Uzza (nama berhala), kerana makna
Abdul Uzza itu adalah “hamba tuhan Uzza”, lalu dinafikan oleh Allah bahawa
setiap makhluk ini adalah hamba-Nya dan bukan hamba selain daripada-Nya dengan
menggunakan nama panggilan Abu Lahab.
Kedua, di dalam surah ini
menunjukkan kebenaran bahawa al-Quran adalah kalam Allah SWT, dan bukan dari
kalam Nabi SAW, kerana surah ini menjanjikan bahawa Abu Lahab dan isterinya
akan berada dan kekal di dalam neraka. Surah ini diturunkan sebelum kematian
Abu Lahab, andainya Abu Lahab beriman dengan Rasul sebelum kematiannya, sudah
pasti surah ini dianggap tidak benar kerana menjanjikan seseorang yang sudah
beriman akan masuk ke dalam neraka. Apa yang berlaku ialah Abu Lahab kekal
kufur dan ia mati di dalam kekufurannya. Dan sesungguhnya Allah SWT yang maha
mengetahui di mana tempat kembali seseorang, sama ada syurga atau neraka.
Rujukan:
1- al-Quran al-Kareem
2- Tafsir Ibn Kathir
3- Tafsir al-Munir
4- Tafsir ‘Abral Athir
Penulis
merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat
ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Pentadbiran. Mendapat pendidikan di
Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1992 - 2004). Menyambung
pengajian di Institut at-Tahzib wat-Ta’lim, Damsyik Syria, dan berjaya
memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2005 – 2010).
Tel:
019- 557 1027
Email:
siddiq.nur1869@yahoo.com
0 comments:
Post a Comment