RUANGAN ULUM AL-HADITH
Oleh: Nur Muhammad As-siddiq b. Mohammad
PEMBELAJARAN HADITH
1. PENDAHULUAN
Pengertian hadith dari segi bahasa ialah: Sesuatu yang baru atau cerita dan khabar. Adapun dari segi istilah: Apa-apa yang disandarkan kepada Nabi SAW sama ada perkataan, perbuatan atau perakuan. Hadith merupakan sumber kedua yang terpenting di dalam Islam sesudah al-Quran. Maka umat Islam tidak boleh menolaknya atau memperkecilkannya. Allah SWT berfirman, yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (pemimpin) di antara kamu”. (an-Nisa’: 59). Jelas ayat ini Allah memerintahkan kita supaya mentaati RasulNya, dan cara mentaati RasulNya adalah dengan mengikut arahan dan meninggal larangan yang telah dijelaskan kepada kita melalui hadith. Hadith juga disebut as-Sunnah, yang mana pengertiannya dari segi bahasa bermaksud: Perjalanan hidup. Pengertian istilahnya adalah sama seperti hadith.
2. PEMBAHAGIAN ULUM AL-HADITH
Di dalam kitab Syarh al-Manzumah al-Baiquniah menjelaskan, bahawa pembelajaran ilmu hadith mempunyai dua bahagian, yang pertama ialah Riwayah, dan kedua ialah Dirayah.
2.1 Ilmu hadith Riwayah: Ilmu yang merangkumi perkataan Nabi SAW, perbuatannya serta perakuannya dan sifat-sifatnya, riwayatnya, ketepatan barisnya dan penerangan lafaz-lafaznya. Faedah mempelajarinya ialah dapat mengetahui bagaimana cara untuk mengikuti Nabi SAW, kerana Allah SWT telah memerintahkan kita supaya mengikuti Nabi, Allah SWT berfirman: “Dan ikutilah Dia (Rasulullah), supaya kamu mendapat petunjuk”. (al-A’raaf: 158). Orang pertama yang membukukan ilmu ini ialah Imam az-Zuhri, ia telah diperintahkan oleh khalifah Umar bin Abdul Aziz supaya menulis dan membukukan segala hadith yang ada padanya. Kemudian datang selepasnya ramai ulama’ yang membukukan hadith-hadith seperti Imam Malik, Ibnu Juraij, al-Auzai’, Sufyan ath-Thauri dan lain-lain.
Kemudian datang Imam al-Bukhari selepas itu dan menghimpunkan hadith yang sahih sahaja, tanpa hadith hasan dan da’if.
2.2 Ilmu hadith Dirayah: Ilmu yang dapat mengenali keadaan riwayat, dari segi syarat, pecahan dan bahagian, hukum, keadaan perawi, syarat perawi, jenis penulisan hadith serta apa-apa yang berkaitan dengan riwayat. Faedah mempelajarinya ialah dapat mengetahui hadith-hadith yang diterima dan yang ditolak.
Orang pertama yang menulis ilmu ini ialah ar-Ramahurmuzi di dalam kitabnya al-Muhdith al-Faasil Baina al-Rawi wal-Wai’. Setelah itu datang an-Naisaburi, kemudian al-Asfahani, kemudian al-Khatib al-Baghdadi, datang selepasnya al-Qadhi I’yadh, kemudian selepas itu datang Ibnu Salah dengan kitabnya Muqaddimah Ibnu Salah, al-Imam an-Nawawi kemudian meringkaskan kitab Ibnu Salah di dalam kitab al-Irsyad ila ilmi al-Isnad. Kemudian ramai lagi ulama’ yang menulis di dalam ilmu ini.
3. PENULISAN HADITH
Dalam menulis serta menyusun hadith-hadith di dalam kitab, ulama’ telah membahagikan jenis penulisan kepada beberapa jenis:
3.1 Jami’: Kitab yang menghimpunkan bahagian-bahagian hadith; Akidah, hukum-hakam, adab makan dan minum, tafsir dan sejarah serta lain-lain lagi di dalam satu kitab.
3.2 Sunan: Kitab yang mengikut bab-bab Fiqh dari Thoharah, Ibadah, Muamalah dan lain-lain.
3.3 Musnad: Kitab yang mengikut peringkat sahabat Nabi SAW.
Serta beberapa jenis penulisan lain yang boleh dilihat perinciannya di dalam kitab Ulmu al-Hadith.
4. HADITH YANG DITERIMA DAN DITOLAK
Hadith mempunyai dua jenis, pertama yang diterima, dan kedua yang ditolak. Hadith yang diterima ialah hadith sahih dan hasan, dan yang ditolak ialah hadith da’if.
Mengikut pengertian al-Nawawi, hadith sahih ialah: Hadith yang bersambung sanadnya daripada riwayat perawi yang adil (bersih dari unsur-unsur yang menyebabkan seseorang menjadi fasik) lagi dabit (ingatan yang mantap) tanpa sebarang kecacatan dan kejanggalan. Hadith sahih adalah peringkat hadith yang paling kuat dan tinggi untuk diterima pakai.
Hadith hasan pula pada asalnya ialah hadith sahih, tetapi perawi yang meriwayatkan hadith tersebut didapati ingatannya tidak mantap dan kurang ketelitian, maka hadith itu turun dari darjat sahih kepada hasan, ianya tidak lagi sekuat hadith sahih, namun boleh diterima pakai. Penggunaan perkataan “hadith hasan” tidak terdapat di kalangan ulama’ hadith mutaqaddimin, orang pertama yang menggunakan istilah ini ialah Imam al-Tirmizi dari kalangan ulama’ hadith mutaakhirin.
Imam al-Nawawi juga memberikan pengertian hadith da’if, katanya: “Hadith da’if ialah hadith yang tidak mengumpulkan sifat hadith sahih dan hadith hasan”. Iaitu sanad yang tidak bersambung, perawi yang tidak adil serta tidak dabit yang terlalu banyak melakukan kesalahan dalam meriwayatkan hadith, atau hadith itu terdapat padanya kecacatan dan kejanggalan. Hadith da’if adalah hadith yang paling lemah dan ianya ditolak.
5. PENUTUP
Mudah-mudahan dengan tulisan ringkas ini dapat memberi manfaat kepada kita untuk mengenali sedikit sebanyak perkara yang berkaitan dengan Ilmu Ulum al-Hadith.
Rujukan:
1- al-Quran al-Kareem
2- Ulum al-Hadith
3- Syarh al-Manzumah al-Baiquniah
4- Irsyad Tullab al-Haqaiq
5- Usul al-Hadith
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Pentadbiran. Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1992 - 2004). Menyambung pengajian di Institut at-Tahzib wat-Ta’lim, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2005 – 2010).
Tel: 019- 557 1027
Email: siddiq.nur1869@yahoo.com
TERBITAN: UNIT PERPUSTAKAAN DAN PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Email: mtq4tapah@gmail.com
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
Adakah Hadis Dhaif ditolak secara mutlak. Apa yang penulis maksudkan dengan DITOLAK. Mohon pencerahan. TQ
ReplyDeleteulama' berbeza pendapat terhadap penerimaan hadith da'if, ada yang menolak secara mutlak dan yang menerima dengan syarat, secara umumnya hanya hadith da'if yang tergolong daripada hadith mardud iaitu ditolak tidak seperti hadith sahih dan hasan yang tergolong daripada hadith maqbul yang diterima.. untuk perincian boleh dirujuk dalam kitab ulum al-hadith.. terima kasih kepada yang bertanya..
ReplyDelete