RUANGAN MAQASID SYARIAH
Oleh: Abd Muhaimin bin Malek
KEHENDAK ALLAH DI SEBALIK SYARIAT SEMBAHYANG
PENDAHULUAN
Saaduddin Al-Taftazani dalam kitab Usulnya iaitu “Al-Taudih ‘ala Matni Al-Tanqih” menyebutkan: Sesungguhnya semua perbuatan (af’aal) Allah S.W.T di atas muka dunia ini mempunyai sebab dan tujuan untuk manusia meraih kemaslahatan dariNya. Mustahil bagi Allah bersifat dengan sifat “sia-sia” dalam perbuatannya.
Lebih jelas lagi apa yang disebutkan oleh Dr Ahmad Raisuni pensyarah di Universiti Muhammad Al-Khamis Ribath, Morocco: “ Allah tidak mencipta sesuatu yang kecil atau besar, sesuatu yang nampak atau sesuatu yang tersembunyi melainkan terdapat di sebalik penciptaan tersebut tujuan atau hikmah yang darinya terbit maslahah buat manusia. Allah juga tidak memberi sesuatu atau menolak sesuatu atau melebihkan sesuatu atau mengurangkan sesuatu melainkan terdapat maksud (tujuan) dan hikmah yang ada di sebalik perbuatan tersebut, sama ada hikmah atau tujuan itu dapat diketahuinya atau tidak.”. (Al-Fikrul Maqasidy Qawaeiduhu wa Fawaeiduhu)
KEHENDAK ALLAH DISEBALIK SYARIATNYA
Begitu jugalah keadaan syariat Allah S.W.T sama ada perintahNya atau laranganNya, terdapat di sebalik syariat tersebut tujuan kehendak dan hikmah yang wajib ke atas ahli Ilmu membongkar segala tujuan dan kehendak yang maha Esa di sebalik syariatNya kepada umum supaya perlaksanaan syariat sama ada ibadahnya, muamalahnya, nikah kahwinnya, jinayatnya dan selainnya dapat dilaksanakan mengikut kehendak Allah, bukan kehendak manusia.
Ibnu Qayyim R.a pernah berkata: “Tidak terdapat di dalam Syariat Ilahi suatu hukumpun yang tidak mempunyai makna yang tersirat atau hikmah tujuan melainkan kesemuanya terdapat hikmah yang mengetahuinya mereka yang tahu dan tersembunyi kepada sebahagian yang lain. (Al-I’lam Al-Muwaqqii’ h-82)
Justeru itu, setiap syariat, Allah mengkehendaki supaya manusia mengambil maslahah atau merasai maslahah. Maslahah yang terkandung secara umumnya adalah “memperolehi manfaat dan terhapus kerosakkan”.
MASLAHAT DALAM IBADAH SOLAT
Firman Allah S.W.T di dalam surah Al ‘Ankabut: 45, yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa Yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan Yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan”.
Dr Ahmad Raisuni ketika menghurai ayat ini mengenai maslahah Solat, beliau menyebutkan bahawa dalam ayat ini Allah menjelaskan tujuan atau hikmah kepada pensyariatan solat adalah untuk mendapatkan dua maslahah besar salah satunya lebih besar manfaatnya dari yang lain. Maslahah tersebut ialah; Pertama: mencegah dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Kedua: Mengingati Allah S.W.T di dalam hidupnya. Sudah tentu maslahah kedua ini lebih besar kesannya dari yang pertama.
Kedua-dua manfaat sembahyang ini akan menghasilkan manfaat yang terbesar di akhirat kelak, iaitu Syurga Allah.
SEMBAHYANG YANG MENCAPAI KEHENDAK ALLAH
Bagi menjadikan solat kita mencapai kehendak Allah S.W.T yang tersebut di dalam ayat di atas, Prof. Dr Yusof Al-Qardhawi menukilkan sebuah kisah solat seorang tokoh yang bernama Hatim Al-Asom R.a. Beliau pernah ditanya tentang solatnya, lalu beliau menjawab: “Setelah aku sempurnakan wudhu’ aku pergi ke tempat solatku dengan tenang kemudian aku mengangkat takbir dengan penuh penghormatan, mentartil ayat dengan penuh kefahaman dan penghayatan, ruku’ dengan penuh rasa tawadhu’, bersujud dengan penuh rasa hina diri dihadapanNya sambil mengenang Syurga di sebelah kananku, Neraka di sebelah kiriku, Malaikat maut di atas ubun-ubunku, Titian Sirat di bawah telapak kakiku, Kaabah di hadapan mataku, dosa sedang mengepungku. Aku berusaha sedaya termampu mengikhlaskan semua yang kupersembahkan, aku memberi salam dan aku menyerahkan solatku kepadaNya, sama ada Ia menerimanya atau tidak”. (Al-Ibadah fi Al-Islam)
Saudara, kalau beginilah sembahyang kita sudah pasti, perkara keji dan mungkar dapat di elakkan, sudah pastilah Allah akan menjadi ingatan kita di mana saja kita berada, di rumah, di kantor, di pasar, bersendirian atau berada di khalayak ramai, bersama dengan orang miskin atau kaya atau orang yang berkedudukan atau siapa sahaja.
Allah inginkan semua kita yang mukallaf tidak ketinggalan seorangpun dalam keadaan apapun dapat mengelak diri dari terkena kerosakkan maksiat, mungkar dan keji. Allah inginkan semua kita dapat mengingatiNya. Inilah rahsia kenapa Allah memerintahkan solat lima waktu secara fardhu ain ke atas sekalian manusia
PENUTUP
Marilah sama-sama kita menambah baikkan solat yang kita lakukan selama ini, Kita tidak lagi solat seperti seawal umur baligh dahulu dengan hanya memelihara rukun dan syaratnya, bahkan solat kita pada kali ini lebih memfokuskan kepada apa yang dikehendaki oleh Allah dari Syarat Solat ke atas kita. Salam hormat dari saya.
Rujukan:
1- Al-Quran al-Kareem
2- Al-Taudih ‘Ala Matni At Tanqih.
3- Al-Ibadatu fil Islam.
4- I’lam Al-Muwaqqiee’nl.
5- Al-Fikrul Maqasidy Qawaeiduhu wa Fawaeiduhu.
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Hal Ehwal Murid (HEM). Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1991 – 2000). Menyambung pengajian di Institut al-Fatah al-Islami, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2000 – 2006). Dan sekarang beliau sedang menyambung pengajian di peringkat M.A di KUIN Kedah.
Tel: 013- 585 5682
TERBITAN: UNIT PERPUSTAKAAN DAN PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Email: mtq4tapah@gmail.com
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment