RUANGAN MAQASID SYARIAH
Oleh: Abd Muhaimin bin Malek
Ramadhan 1433; Hikmah dan Rahsia
Pendahuluan
Ramadhan adalah antara bulan-bulan Allah yang termulia, Kemuliaan dan keagungannya berdasarkan beberapa faktor antaranya ialah didalam bulan Ramadhan terjadinya penurunan alQuran, alQuran sebuah kitab yang paling mulia, diturunkan Allah tuhan yang maha Mulia melalui Jibril Alaihissalam malaikat yang paling mulia dari kalangan para malaikat ke atas nabi Muhammad Nabi yang termulia dan terbaik di atas sekalian makhluq di atas muka bumi. Oleh yang demikian, pensyariatan puasa di dalam bulan Ramadhan menambahkan lagi gandaan kemuliaan bulan tersebut.
Kehebatan Puasa
Puasa salah satu bentuk ibadah jasadiah yang unik, ianya bukanlah berpuasa dari berkata-kata atau berpuasa dari melakukan apa-apa perbuatan. Ianya hanya sebuah proses “menahan diri” dari mengerjakan sebahagian perkara-perkara yang harus dan halal (makan,minum dan jimak) yang dibenarkan Syariat sebelum Ramadhan bermula daripada terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari dengan disertai niat. Kesempurnaannya adalah meninggalkan perkara-perkara haram dan maksiat.(Tafsir Qurtubi.Jilid 3/m.s 123).
Malahan keunikannya dapat dilihat dari sudut pemberian ganjarannya. Ganjarannya tidak sama seperti pemberian ganjaran mengerjakan amalan-amalan lain, hal ini dinyatakan sendiri oleh Allah melalui hadis qudsi riwayat Bukhari dan Muslim, Allah bertitah: “ Setiap amalan yang dilakukan anak adam adalah untuk mereka kecuali puasa, ianya dikerjakan semata-mata kerana ku, maka aku lah yang akan memberi ganjarannya.”
Berkenaan hadist di atas, Syekh ‘Uthman bin Hassan Al Syakir Al Khubuwi dalam karyanya Durratun Nasiheen telah membentangkan 7 pandangan Ulama’ berkenaan maksud hadist di atas. Antara pandangan yang masyhur ialah; Semua amalan anak adam diberitahu kadar pahalanya kecuali puasa, kadar banyaknya pahala puasa hanya diketahui Allah S.W.T.(halaman 14)
Abul Hassan Al Asy’ari seperti yang dilaporkan juga oleh Al Khubuwi menyebutkan: “ Semua amalan baik anak Adam pahalanya Syurga, manakala puasa ganjarannya adalah Allah melihat mereka dan mereka dapat melihat Allah yang sebenar, mereka dapat bercakap secara langsung dengan Allah, dan Allah bercakap dengan mereka tanpa perlu ada penterjemah atau utusan.”(halaman 13).Inilah niamat yang paling hebat dan besar setelah syurga di Akhirat nanti.
Hakikat Ibadah puasa
Dr Ratib Nabulsi melalui karangannya “Taammulat Fil Islam” telah membahagikan Jenis Ibadah kepada dua kategori:
Pertama: Ibadah Syiar (Syi’ariyyah) asas kerjanya adalah menjaga hubungan manusia dengan Allah, seperti ibadah solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain.
Kedua: Ibadah Ta’amuliah.Seperti berkata benar, amanah, bersikap adil, bersilaturrahim dan sebagainya. Asasnya adalah menjaga hubungan Manusia sesama mereka.
Ibadah kategori pertama tidak akan diterima disisi Allah S.W.T selagi Ibadah kategori kedua tidak terlaksana. Dengan kata lain; Ibadah pertama bergantung kesahihannya dengan ibadah kedua.
Puasa adalah jenis ibadah pertama, bertujuan memelihara hubungan manusia dengan Tuhannya. Bermakna apabila seseorang berpuasa sedang dia memutuskan silaturrahim atau dia melakukan kezaliman atau khianat, maka puasanya tidak sah disisi syarak. Berdalilkan sebuah hadis sohih riwayat bukhari, muslim, dan lain-lain, Nabi pernah bersabda: “Sesiapa yang tidak mahu meninggalkan penyaksian palsu sedangkan dia berpuasa dengan menahan diri dari makanan dan minuman, maka Allah S.W.T tidak akan peduli puasanya.” (halaman: )
Hikmah atau Rahsia disebalik Puasa
Allah S.W.T tidaklah mensyariatkan segala jenis Ibadah untuk manusia lakukan melainkan bertujuan mendidik atau mentarbiah manusia supaya mereka memiliki kemampuan taqwa dan juga agar manusia dapat membiasakan diri tunduk patuh sebagai hamba abdi dihadapan Allah S.W.T.
Syekh Dr Mohd Ali Al Sobuni melalui karyanya yang masyhor iaitu Tafsir Ayat Ahkam, menyenaraikan beberapa hikmah dan rahsia di sebalik amalan puasa di dalam bulan Ramadhan, penulis senaraikan secara ringkas di bawah:
Pertama: Puasa dapat melahirkan perasaan “Serah diri untuk segala perintah Tuhan” sebagai hamba abdi. Ini adalah objektif utama dalam semua perlaksanaan ibadah termasuk puasa yang diharapkan tercapai.
Kedua: Puasa dapat mendidik jiwa besikap sabar serta mampu menangung segala bebanan menempuh jalan Allah. Rahsia ini dapat membantu kita menyemai kekuatan keazaman, dan membuatkan kita menjadi penghukum ke atas segala kerakusan syahwat dan keinginan diri. Tidak lagi menjadi hamba abdi kepada kehendak tubuh dan jasad, tidak lagi ditawan oleh nafsu dan syahwat
Ketiga: Puasa dapat melahirkan sikap ehsan, kasih, mesra, mulia jiwa terhadap fakir miskin. Menjiwai kehidupan mereka, mengesat peluh keringat mereka, meredakan persaan sedih mereka dengan menghulurkan bantuan pertolongan adalah antara rahsia yang diharap lahir dari dalam rongga jiwa kita hasil puasa kita.
Keempat: Puasa dapat menanam perasaan takut kepada Allah dan sentiasa mengawasi diri dikala sendirian atau keramaian dari terjebak melakukan maksiat dan mungkar sehingga membuahkan hasil puasa iaitu mencapat darjat takwa disisi Allah.- LA ALLAKUM TAT TAQUN- (jilid 1/halaman166-167)
Penutup
Mudah-mudahan amalan yang mengisi ramadhan kali ini mencapai hikmah dan objektifnya.Salam Al Mubarak.
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Hal Ehwal Murid (HEM). Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1991 – 2000). Menyambung pengajian di Institut al-Fatah al-Islami, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2000 – 2006). Dan sekarang beliau sedang menyambung pengajian di peringkat M.A di KUIN Kedah.
Tel: 013- 585 5682
0 comments:
Post a Comment