RUANGAN FIQKH DAN ISU SEMASA
Oleh: Abd Muhaimin bin Malek
Tazkirah Ramadhan & Solat Teraweh
Pendahuluan
Sudah menjadi kebiasaan sebahagian daerah-daerah di semenanjung Malaysia mengadakan tazkirah ramadhan di celah solat Teraweh atau setelah selesai solat teraweh dan witir, keadaan demikian dianggap janggal di sebahagian daerah-daerah yang lain, sehingga timbul persoalan adakah ianya sesuai diadakan pada waktu tersebut atau sebaliknya. Ada juga yang mengatakan perbuatan tersebut tidak pernah berlaku di mana-mana zaman Rasulullah, Sahabat dan Tabi’ein seperti yang kita dapati dalam banyak riwayat yang menyatakan tentang solat teraweh baginda, dan juga sahabat nabi saidina Umar dan selain mereka di kalangan para tabi’ein. Boleh rujuk kitab “Nailul Awtar” Imam Syaukani dalam bab “’Adadu Rakaat Taraweh”.
Namun demikian, adakah perbuatan mengadakan tazkirah tersebut bercanggah dengan sunnah (agama) sehingga mudah dikatakan bid’ah (penambahan dalam urusan agama) atau sesuatu yang amat tidak digalakkan?
Faedah Tazkirah
Tazkirah bermaksud peringatan, kandunganya adalah ilmu dan hujjah, tujuannya adalah memberi ilmu dan kefahaman tentang Islam, memberi kesedaran dan keinsafan dengan azab dan rahmat Allah serta memperkukuhkan keyakinan berugama dengan mengetahui dalil-dalil dan hujjah.
Allah S.W.T melalui surah Az Zariyyat Ayat 55 memerintahkan kita supaya sentiasa memberi peringatan dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan tetap tekunlah Engkau memberi peringatan, kerana Sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang Yang beriman.”
Al ‘Allamah Ibn ‘Asyur menyebutkan: “Perintah Allah di dalam ayat di atas menunjukan bahawa peringatan (Tazkirah) harus berterusan dan sentiasa diperbaharui. (Tafsir Al Tahrir wa Al Tanwir:27/24)
Apatah lagi peringatan tersebut akan benar-benar memberi manfaat yang berguna kepada orang-orang yang beriman. Oleh sebab itu Allah mengkhususkan manfaat tazkirah hanya kepada orang beriman (Tafsir Qurtubi:19/506).
Justeru, orang yang memberikan tempat di dalam hatinya untuk menerima peringatan (tazkirah) maka dia adalah orang yang beriman. (Al Durar Al Manthur, Imam Suyuti:13/688). Allah juga berfirman melalui surah Al A’laa ayat 10-11 yang bermaksud:
10“Kerana orang Yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu. 11. Dan (sebaliknya) orang Yang sangat celaka akan menjauhinya”.
Tazkirah Ramadhan
Penulis berpandangan, tidak menjadi permasalahan besar jika sekiranya tazkirah di buat di celah solat taraweh atau selepasnya, kerana Allah S.W.T memerintahkan supaya tazkirah disampaikan tanpa membataskan waktu dan keadaan lagi pula, tidak terdapat hadis atau riwayat yang membataskan kegiatan ibadah ramadhan. Bahkan Imam Ibn Rajab Al hanbali mengatakan mustahab pembelajaran alQuran diadakan dalam bulan ramadhan.( Bughyatul Insan Fi wazaifi Ramadhan, Ibn Rajab Al Hambali:43)
Tazkirah ramadhan juga dilihat bersesuaian dengan qasad atau tujuan mengerjakan solat Teraweh, kerana dengan tazkirah barang beberapa minit itu boleh merehatkan tubuh badan untuk meneruskan rakaat teraweh berikutnya.
Jika disemak kepada sejarah sambutan ramadhan, para sahabat dan tabi’ein menghidupkannya dengan memperbanyakkan bacaan al Quran dan pembelajarannya siang dan malam, solat sunat teraweh dan tahajjud, disamping mujahadah puasa di siang hari, sehingga terdapat seorang tabi’ein yang bernama Ahmad bin Abi Al Hawari, beliau menghabiskan waktu malamnya dengan merenung keajaiban al Quran, beliau lantas hairan bagaimana orang yang menghafaz al Quran boleh tidur malam dan sebuk dengan dunia sedang mereka dianugerahkan al Quran...(Bughyatul Insan Fi wazaifi Ramadhan:48).
Terdapat sebuah riwayat dari Ibnu Abd Hakam, beliau menyebutkan: Imam Malek sewaktu tiba bulan ramadhan beliau menangguhkan pembelajaran hadis serta pengajian bersama ahli ilmu untuk memberi ruang sepenuhnya kepada tilawah al Quran di dalam bulan tersebut.(Bughyahtul Insan:46).
Ini tidak bermakna, sebarang bentuk pengajian atau tazkirah tidak digalakkan diadakan pada bulan tersebut. Bahkan riwayat di atas menunjukkan betapa al Quran itu penting untuk di baca dan ditadaruskan satu ayat demi satu ayat.
Solat Sunat Teraweh
Sunat Teraweh adalah antara solat sunat yang terpenting untuk dikerjakan dalam bulan ramadhan. Antara kesilapan yang berlaku adalah sebahagian kita datang mengerjakannya dengan niat untuk memeriahkan keadaan sahaja. Malanglah bagi mereka yang berniat demikian, kerana sesuatu amalan dikira di sisi Allah melalui niatnya, sepertimana maksud hadis yang diriwayatkan bukhari dari Saidina Umar al Faruk.(Mutiara Aqidah & Ibadah, Dr Zaharuddin Abd Rahman:221)
Nabi S.W.A melalui riwayat Bukhari dan Muslim bersabda: Barangsiapa yang menghidupkan ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang terdahulu
Penutup: Bilangan rakaat Solat Teraweh
Ibnu Rushd melalui karyanya “Bidayatul Mujtahid” membentangkan tiga perbedaan rakaat teraweh; Pertama: 8 rakaat. Kedua: 20 rakaat. Ketiga: 36 rakaat. Asas kekhilafan tersebut adalah perbezaan riwayat.(Badayatul Mujtahid:210). Manakala Imam Syaukani di dalam Nailul Awtar mendatangkan lebih dari 3 pandangan di atas.
Ketika merumuskan pandangan-pandangan diatas, Imam Syaukani berkata: Tidak terdapat nas agama yang menentukan bilangan rakaat teraweh dan bacaan qiraat al Quran di dalamnya.(Nailul Awtar:3/53)
Apa yang penting sebenarnya adalah menghidupkan ramadhan dengan niat mendapat keampunan, keredhoaan dan rahmat dari Allah, lagi banyak rakaat kita sempurkan lagi afdhal di sisi Allah.
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Hal Ehwal Murid (HEM). Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1991 – 2000). Menyambung pengajian di Institut al-Fatah al-Islami, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2000 – 2006). Dan sekarang beliau sedang menyambung pengajian di peringkat M.A di KUIN Kedah.
Tel: 013- 585 5682
0 comments:
Post a Comment