RUANGAN ULUM AL-QURAN
Oleh: Nur Muhammad As-siddiq b. Mohammad
NUZUL AL-QURAN
1. PENDAHULUAN
Al-Quran telah menceritakan kepada kita tentang penurunannya (Nuzul al-Quran) dalam beberapa keadaan dan munasabah yang berbeza. Firman Allah SWT: “Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan (antara yang hak dan yang batil)”. al-Baqarah:185. “Sesungguhnya kami menurunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati. Sesungguhnya kamilah yang memberi peringatan”. al-Dukhan:3. “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr”. al-Qadr:1. “Bahkan ia adalah al-Quran yang mulia. Yang tersimpan di dalam tempat yang terjaga (Lauh Mahfuz)”. al-Buruj:21-22.
2. PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN
Daripada ayat-ayat di atas, Allah SWT menerangkan tentang penurunan al-Quran dalam beberapa keadaan, iaitu pada bulan Ramadhan, pada malam yang diberkati, pada malam al-Qadr, dan pada Lauh al-Mahfuz. Mungkin kita merasakan penurunan al-Quran ini berbeza satu keadaan daripada keadaan yang lain, adakah ayat-ayat di atas bercanggah di antara satu dengan yang lain. Tidak, sebenarnya ayat-ayat tersebut tidak ada percanggahan, tetapi ianya menerangkan antara satu sama yang lain. Menjawab keadaan-keadaan penurunan ini, Ibnu Abbas telah menjelaskan kepada kita dengan katanya: “Sesungguhnya al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan, pada malam al-Qadr, dan pada malam yang diberkati secara sekaligus”. Maka dapat kita fahami dari kata-kata Ibu Abbas ini ialah: al-Quran diturunkan secara sekaligus atau serentak pada malam yang diberkati iaitu malam al-Qadr yang mana ia berada di bulan Ramadhan. Maka ulama’ menerangkan kepada kita dengan lebih jelas tentang penurunan al-Quran ini ada tiga peringkat:
1- Penurunannya ke Lauh al-Mahfuz. Al-Imam Abu Hayyan menyebut: “Lauh al-Mahfuz ialah tempat yang tersimpan di sana semua perkara”.
2- Penurunannya dari Lauh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (di langit dunia) secara sekaligus. Penurunan inilah yang disebut pada ayat-ayat di atas bahawa di bulan Ramadhan telah diturunkan al-Quran dari Lauh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah.
3- Penurunannya dari Bait al-Izzah ke hati Nabi SAW secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun.
3. HIKMAH PENURUNAN SECARA SEKALIGUS KE BAIT AL-IZZAH
Di dalam kitab Ulum al-Quran: Satu Pengenalan, menyenaraikan beberapa hikmah di sebalik penurunan al-Quran secara sekaligus ke Bait al-Izzah, antaranya ialah:
1- Mengagungkan al-Quran, Rasulullah serta ummatnya dengan mengishtiharkan turunnya kitab suci yang terakhir ini kepada Nabi yang terakhir Muhammad SAW.
2- Memuliakan bani adam serta mengagungkan mereka di sisi para malaikat dengan mengishtiharkan inayah dan rahmat Allah kepada bani adam yang diturunkan kepada mereka al-Quran untuk memperbaiki keadaan mereka dan menjadikan mereka khalifah di bumi ini.
4. HIKMAH PENURUNAN SECARA BERPERINGKAT-PERINGKAT
Di antara hikmah penurunan al-Quran secara berperingkat-peringkat ialah:
1- Untuk menanam akidah yang sempurna; pada permulaan Islam, Nabi SAW diperintahkan supaya berdakwah untuk mentauhidkan Allah SWT dan beriman dengan zat dan sifat-Nya yang mulia, setelah akidah dan keimanan sebati di jiwa orang-orang Islam maka Allah memerintahkan supaya berdakwah kepada asas-asas keimanan yang lain seperti keimanan dengan hari akhirat, para rasul dan lain-lain, seterusnya apabila asas-asas iman ini semuanya telah sebati di jiwa orang-orang Islam, maka diikuti pula dengan perintah-perintah perundangan, hukukm-hukum amali, akhlak dan adab. Semuanya ini tidak diperintahkan serentak bahkan peringkat demi peringkat.
2- Untuk mengiringi peristiwa yang berlaku dari masa ke semasa; Setiap kali berlakunya peristiwa yang baru yang hukumnya tidak diketahui oleh kaum muslimin, maka turunlah ayat yang menerangkan hukumnya. Bahkan ini juga lebih memudahkan para sahabat ketika itu untuk mengingati hukum-hukum yang berkaitan dengan peristiwa yang berlaku pada ayat-ayat yang diturunkan.
3- Untuk mengekalkan Jibril AS sebagai perantaraan Allah dengan Rasul-Nya untuk menyampaikan risalah Allah. Al-Imam al-Fakh al-Razi berkata: “Jawatan Jibril AS sebagai perantaraan Allah dengan Rasul-Nya adalah satu jawatan yang besar, kalaulah al-Quran diturunkan sekaligus kepada Rasulullah SAW, maka terhapuslah jawatan Jibril AS. Sebaliknya dengan penurunannya secara beransur-ansur kekallah jawatan yang mulia itu kepada Jibril AS”.
5. TEMPOH MASA NUZUL AL-QURAN
Para ulama’ bersepakat bahawa al-Quran telah diturunkan kepada Nabi SAW sepanjang masa baginda diutuskan sebagai Nabi. Tetapi mereka berselisihan pendapat mengenai tempoh penurunan al-Quran. Ada yang mengatakan al-Quran diturunkan dalam tempoh 20 tahun, ada yang mengatakan 23 tahun, dan ada pula yang mengatakan 25 tahun. Perselisihan ini adalah berpunca daripada perselisihan mereka tentang tempoh Nabi berada di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah, ada riwayat yang mengatakan tempohnya ialah 10 tahun, ada pula yang mengatakan 13 tahun, dan ada juga yang mengatakan 15 tahun. Setelah ulama’ mengkaji dengan teliti maka mereka mengatakan pendapat yang paling kuat mengenai tempoh Nuzul al-Quran kepada Nabi SAW ialah lebih kurang 22 tahun 5 bulan setengah.
Rujukan:
1- al-Quran al-Karim.
2- Ulum al-Quran al-Karim.
3- Ulum al-Quran: Satu Pengenalan
0 comments:
Post a Comment