TAFSIR AL-QUR’AN
Oleh: Mohd Fazali bin Abdul Manas
MUKJIZAT SAINTIFIK AL-QUR’AN
PADA AYAT 19, 20, 21, 20 DARIPADA SURAH AL-RAHMAN
1. PENDAHULUAN
Firman Allah s.a.w yang bermaksud:
19- “Ia biarkan air dua laut mengalir, sedang keduanya pula bertemu”,
20- “Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya”,
21- “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan, yang kamu hendak dustakan?” 22- “Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan”. Surah al-Rahman ayat 19-22.
2. KEFAHAMAN UMUM AYAT
Menurut Syaykh Abd Majid al-Zindani, ayat-ayat tersebut sebenarnya menunjukkan maklumat terperinci rahsia-rahsia mengenai pertemuan dua laut.
Selain itu, ayat tersebut juga menyatakan mengenai mutiara-mutiara dan batu karang (marjan) yang terdapat dalam laut.
3. MAKNA MUKJIZAT SAINTIFIK AL-QUR’AN
Menurut Syaykh Abd Majid al-Zindani, pengertian mukjizat ialah kejadian luar biasa kurniaan Allah s.w.t kepada nabi dan rasul untuk membuktikan kebenaran mereka,
Manakala mukjizat al-Qur’an menurutnya ialah kebenaran al-Qur’an kurniaan Allah s.w.t kepada Nabi s.a.w yang telah melemahkan manusia mendatangkan seumpamanya.
4. BAHAGIAN MUKJIZAT
Secara umumnya mukjizat al-Qur’an terbahagi kepada empat, iaitu:-
i- Mukjizat al-Bayani (sastera)
ii- Mukjizat al-Tarikhi (sejarah)
iii- Mukjizat al-Tasyri’i (perundangan)
iv- Mukjizat al-’Ilmi (saintifik)
Oleh kerana risalah ini berkaitan dengan mukjizat saintifik maka penulis akan membahaskan berkaitan dengannya sahaja. Mukjizat saintifik boleh ditakrifkan sebagai suatu berita atau pengkhabaran bersumberkan dari al-Qur’an dan Sabda Nabi s.a.w tentang sesuatu fakta yang dibuktikan oleh kajian sains moden.
Menurut Syaykh Abd Majid al-Zindani, fakta tersebut tidak mampu diketahui oleh manusia (dengan tahap keilmuan mereka) di zaman Nabi s.a.w.
Manakala asas kepada mukjizat saintifik ialah firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”. Surah al-Fussilat ayat 53.
5. PENEMUAN SAINS MENGENAI DUA LAUT YANG BERTEMU
Pada tahun 1942 kajian yang meluas telah dilakukan oleh ahli Oseanografi dan mereka menemui tentang sifat tersendiri lautan-lautan.
Dalam penemuan tersebut terdapat sempadan-sempadan lautan yang memisahkan di antara laut-laut yang bertemu, serta memelihara ciri-ciri tersendiri setiap laut dari segi kelikatan, kemasinan, hidupan air, suhu, kemungkinan larutnya oksigen di dalam air tersebut. Berikut adalah sebahagian gambar hasil kajian ahli Oseanografi.
klik untuk lihat |
6. KESIMPULAN
Perkembangan sejarah di dalam laluan ilmu Oseanografi menyaksikan ketiadaan wujudnya maklumat-maklumat terperinci mengenai laut terutamanya sebelum pengembaraan Challenger pada tahun (1873M).
Sudah pasti ia menjadi bukti bahawa al-Qur’an al-Karim adalah daripada Allah s.w.t. Bukan ciptaan manusia kerana al-Qur’an diturunkan oleh Allah s.w.t kepada seorang Nabi yang buta huruf dan hidup di dalam suasana padang pasir, bahkan Baginda tidak pernah melayari laut. Namun, Baginda mampu memberi maklumat terperinci begini. Siapakah yang memberi maklumat kepada Baginda?
Rujukan:
Al-Qur’an al-Karim, Ta’sil al-I’jaz al-’Ilmi fi al-Qur’an wa al-Sunnah, Metode Tafsir Ayat-Ayat Sains & Sosial, Bayinat al-Rasul wa Mu’jizatih, Quran Saintifik, Bukti-Bukti Sains Dan Sejarah Kerasulan Muhammad, Al-Qu’an Dan Sains, Surah al-Rahman, Tafsiran & Fakta-Fakta Saintifik, Al-Muqaddimat al-Asasiyat fi Ulum al-Qur’an, Kitab Allah fi ‘Ijazihi Yatajalla.
TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Email: mtq4tapah@gmail.com
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
SUMBANGAN PERCETAKAN
Risalah ini disumbangkan oleh Dr. Hj. Ahmad Razi bin Othman
d/a POLIKLINIK RAZI,
Pekan Tapah, Perak Darul Ridzuan.
0 comments:
Post a Comment