TAFSIR AL-QUR’AN
Oleh: Mohd
Fazali bin Abdul Manas
TAHAP KECINTAAN KEPADA ALLAH S.W.T DAN
RASULULLAH S.A.W MENERUSI AYAT 23 DAN 24 SURAH AL-TAUBAH
1. PENDAHULUAN
Firman Allah s.a.w yang bermaksud:
23- Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa
kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka
memilih kufur dengan meninggalkan iman dan sesiapa di antara kamu yang
menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang
zalim.
24- Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan
saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum
keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu
bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika
semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan
RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah
mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi
petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah al-Taubah).
2. KEFAHAMAN UMUM AYAT
Menurut Syaykh Ahamd Mustafa al-Maraghi, ayat tersebut menjelaskan
kelebihan iman, berhijrah, dan berjihad pada jalan Allah s.w.t.
Kelebihan tersebut tidak sempurna melainkan seseorang itu mencintai Allah
s.w.t dan Rasulullah s.a.w melebihi kecintaan kepada anak, bapa, saudara,
suami/isteri, keluarga, harta, perniagaan, dan kediaman.
Selain itu, ayat tersebut juga menyatakan mengenai larangan berwala’kan
kepada orang kafir.
3. SEBAB PENURUNAN
AYAT
Ayat tersebut
ada kaitan dengan peristiwa hijrah para sahabat Rasulullah s.a.w. Ketika
menunaikan kewajipan tersebut para sahabat terpaksa meninggalkan perkara yang
mereka sayangi. Ini termasuk seseorang itu kena berpisah dengan anak, bapa,
saudara, suami/isteri, harta, dan lain-lain lagi.
Menurut Prof.
HAMKA, orang beriman waktu itu bukan sahaja terpaksa berpisah dengan perkara
tersebut di atas bahkan mereka terpaksa berperang dengan apa yang mereka
sayangi selama ini. Hal ini dapat digambarkan menerusi peristiwa peperangan Badar
dan Uhud.
Oleh itu,
Saidina Abu Bakar r.a terpaksa berperang dengan anaknya sendiri iaitu Abd
Rahman. Begitu juga dengan para sahabat r.a yang lain terpaksa berhadapan
dengan kaum keluarga dan harta benda mereka sendiri.
Cara dan tindakan para sahabat r.a betul dan menepati apa yang
Allah s.w.t wahyukan kepada Rasulnya s.a.w.
4. KECINTAAN MANUSIA
KEPADA LAPAN PERKARA
Menurut
Prof. HAMKA, hati manusia di dunia ini sangat terpaut kecintaan mereka kepada
lapan perkara, iaitu:-
1.
Cinta seseorang kepada bapa termasuk ibu,
2.
Cinta seseorang kepada anak-anak,
3.
Cinta seseorang kepada adik-beradik,
4.
Cinta seseorang kepada pasangan,
5.
Cinta seseorang kepada kaum keluarga,
6.
Cinta seseorang kepada harta benda,
7.
Cinta seseorang kepada perniagaan,
8.
Cinta seseorang kepada tempat tinggal.
Menurut Syaykh Ahmad Mustafa al-Maraghi pula, lapan
perkara di atas menjadi penghalang seseorang untuk berjihad pada jalan Allah
s.w.t kecuali apabila keimanan kepada Allah s.w.t dan Rasulnya dapat mengatasi
perkara tersebut.
Manusia secara umumnya memang tidak suka kepada
berjihad pada jalan Allah s.w.t. Hal ini dapat dibuktikan menerusi firman Allah
s.w.t yang bermaksud: Diwajibkan kamu berperang, sedangkan ia yang kamu benci.
Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi
sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. Allah Mengetahui sedangkan
kamu tidak mengetahui. ( surah al-Taubah ayat 216).
Justeru, jika manusia melebihkan kecintaan mereka
selain daripada Allah s.w.t dan Rasulnya pasti mereka akan mendapat balasan
yang pedih dari Allah s.w.t.
5. BUKTI
CINTA KEPADA ALLAH S.W.T DAN RASULULLAH S.A.W
Cinta kepada Allah s.w.t dan Rasulnya s.a.w mesti
dibuktikan melalui ucapan dan tindakan. Tidak cukup seseorang itu mengaku
beriman tetapi tindakannya tidak menepati sebagai sikap orang beriman.
Oleh itu, seorang yang beriman dan mencintai Allah
s.w.t dan Rasulnya mesti melaksanakan perkara berikut:-
1. Ikhlas melaksanakan perintah Allah s.w.t dengan
maksud seronok dan suka apa yang Allah s.w.t dan Rasulnya s.a.w perintahkan.
Dalam masa yang sama merasa dukacita yang tidak terhingga jika lalai daripada
menunaikan perintah tersebut.
2. Sedia berkorban untuk meninggikan agama Allah s.w.t
dengan memaksa diri meninggalkan keselesaan dan keseronokan hidup.
3. Sentiasa mengingati Allah s.w.t dengan banyak
membaca al-Qur’an, berzikir, menambah ilmu, dan sebagainya. Menerusi amalan
tersebut hati manusia akan bertambah cinta dan kasih kepada Allah s.w.t.
4. Khusyuk dalam mengerjakan solat dengan memberi
tumpuan terhadap bacaan dan pergerakan solat dari takbir hingga kepada taslim.
Kosongkan hati sementara menunaikan solat dari urusan harian hidup.
5. Sentiasa berwaspada daripada perangkap maksiat
dengan berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti hidup.
6. Mencontohi keperibadian Rasulullah s.a.w dari semua
aspek kehidupan dengan mempelajari dan membaca kitab-kitab hadith dan sejarah
hidup Nabi Muhammad s.a.w.
6. KESIMPULAN
Tahap cinta seseorang kepada Allah s.w.t dan Rasulnya
s.a.w boleh diukur menerusi ayat tersebut. Menurut Syaykh Ahmad Mustafa
al-Maraghi, jika bertembung urusan agama Allah s.w.t dengan urusan untuk
memuaskan hawa nafsu maka sudah pasti ada dua kemungkinan berlaku.
Pertama seseorang akan mendahului urusan agama Allah s.w.t
maka orang ini tahap iman dan cintanya kepada Allah s.w.t sangat tinggi. Kedua
seseorang itu akan mendahului urusan peribadi maka orang ini akan mendapat
balasan seksa yang pedih dari Allah s.w.t kerana tahap iman dan cintanya kepada
Allah lemah.
Justeru,
ayat tersebut memberi suatu kesedaran yang maksima mengenai tahap keimanan
seseorang kepada Allah s.w.t dan Rasulnya s.a.w.
Rujukan:
1. Al-Qur’an
al-Karim,
2.
Tafsir al-Maraghi,
3.
Tafsir al-Azhar.
IKLAN
Maahad Tahfiz al-Quran
wal-Qiraat ADDIN-4 membuka peluang kepada belia-belia Daerah Masjid Tapah
menyertai majlis ilmu ‘Tafaqquh fi al-Din’.
Program tersebut bercorak talaqqi
(pengajian secara pondok) setiap malam Isnin hingga Jumaat bermula jam 9.00
malam hingga 11.00 malam.
Siapa yang berminat sila
hubungi talian 013- 530 5228 atau terus berhubung dengan pihak sekolah.
TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad
Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Email: mtq4tapah@gmail.com
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
SUMBANGAN
PERCETAKAN
Risalah ini disumbangkan oleh Dr. Hj. Ahmad Razi bin Othman
d/a POLIKLINIK RAZI,
Pekan Tapah, Perak Darul Ridzuan.
0 comments:
Post a Comment