RUANGAN HADITH
Oleh: Nur
Muhammad As-siddiq bin Mohammad
MEMBERSIHKAN TAUHID DARI SEBARANG SYIRIK
1. PENDAHULUAN
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA telah berkata: Bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: “Sesiapa yang mati di dalam keadaan melakukan syirik terhadap Allah,
masuklah dia ke dalam neraka”. HR Bukhari dan Muslim.
Daripada Abu Hurairah RA telah berkata: Bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Hindarkan dan singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan”.
Sahabat-sahabat bertanya: “Apakah dia perkara-perkara itu wahai Rasulullah?”.
Baginda SAW menjawab: “(Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah syirik
kepada Allah SWT..”. HR Bukhari dan Muslim.
2. KEFAHAMAN UMUM HADITH
Islam adalah agama tauhid, iaitu agama yang berasaskan iman kepada keesaan
Allah yang maha kuasa. Maka ukuran sempurna atau tidak Islam seseorang adalah
bergantung kepada kesempurnaan tauhidnya.
Tauhid yang sempurna itu apabila meresap ke dalam hati nurani seseorang
akan melahirkan kesan-kesannya kepada seluruh perbuatan dan tingkah laku
hidupnya, dan akan memberi kesedaran kepadanya untuk sentiasa waspada terhadap
godaan syaitan dalam amalannya supaya ia tidak diselewengkan kepada yang lain
dari Allah SWT.
Maka kedua-dua Hadith Nabi SAW di atas telah melarang keras kepada kita
supaya tidak sekali-kali kita mensyirikkan Allah SWT, kerana syirik itu akan
membinasakan kita dan dengan sebabnya juga seseorang akan dimasukkan ke dalam
api neraka yang sangat dahsyat dan pedih siksaannya.
Allah SWT juga telah berfirman di dalam al-Quran, bahawa diharamkan syurga
bagi mereka yang mensyirikkan-Nya, firman Allah Taala yang bermaksud: “Bahawasanya
sesiapa yang mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya
Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka”.
(al-Maidah: 72)
3. PENGERTIAN SYIRIK
Syirik ialah
mempersekutukan sesuatu dengan Allah SWT pada sifat Uluhiyah-Nya atau sifat
Rububiyah-Nya.
Sifat Uluhiyah
Allah SWT ialah sifat-Nya berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintah-Nya,
ditinggal segala larangan-Nya.
Sifat
Rubiyah-Nya pula ialah sifat mentadbir dan menguruskan cara menjaga dan
memelihara, mengasuh dan mendidik sekalian alam yang telah diciptakan-Nya,
iaitu dengan mengadakan segala keperluan yang dihajati, mengatur dan menyusun
undang-undang dan peraturan bagi kesuburan, perkembangan dan kesempurnaan
masing-masing, serta menyatakan dan menunjukkan hukum-hukum halal haram dan sah
batal untuk kebaikan jasmani dan kebahagian rohani manusia.
Maka sesiapa
yang menganggap bahawa mana-mana satu dari sifat-sifat itu ada pada sesuatu
yang lain daripada Allah SWT nescaya ia telah melakukan syirik dengan Allah,
walaupun pada ketika itu ia masih beriman. Tentang ini telah disebut di dalam
al-Quran dengan firman Allah yang bermaksud: “Meskipun kebanyakkan mereka
beriman kepada Allah, dalam pada itu mereka tidak sunyi dari perbuatan syirik”.
(Yusuf: 106).
4. MENGHINDARI SYIRIK
DALAM SEGALA BENTUKNYA
Syirik
itu ada yang jelas (Jali) dan ada yang tersembunyi (Khafi).
Syirik
yang jelas itu ialah mempercayai adanya sesuatu yang standing dengan Allah SWT
seperti mempercayai bahawa boleh memohon kepada roh-roh nenek moyang untuk
mendapat kesejahteraan hidup, maka perbuatan ini telah menyamakan roh-roh nenek
moyang dengan Allah SWT dalam memberi kesejahteraan, keamanan serta
menghindarkan segala perkara-perkara jahat.
Dengan
adanya syirik yang demikian, maka akidah Tauhid orang yang melakukannya telah
terbatal, dan orang musyrik inilah yang dijanjikan Allah SWT dengan neraka.
Syirik
yang tersembunyi pula ialah kepercayaan, perkataan atau perbuatan yang
menyebabkan berlakunya syirik terhadap Allah SWT. Syirik ini amat banyak, di
antaranya ialah:
1-
Mempercayai bahawa sebab boleh memberi kesan, seperti percaya bahawa sakit itu
yang boleh mematikan seseorang.
2-
Merasa takut kepada satu kekuatan yang lain daripada Allah, seperti takut
dengan jin dan gangguan makhluk-makhluk halus.
3-
Melakukan ibadah bukan kerana menjunjung perintah Allah semata-mata, tetapi
kerana tujuan-tujuan yang lain, seperti melakukan ibadah untuk menunjuk-nunjuk
kepada orang lain atau dinamakan juga riak. Hal ini telah disebut oleh Nabi SAW
di dalam sebuah Hadith: Sahabat bertanya: “Apakah syirik tersembunyi itu?”.
Baginda SAW menjawab: “Syirik tersembunyi itu ialah riak”. HR Ahmad.
5. PUNCA
BERLAKUNYA SYIRIK
Terdapat tiga perkara utama kepada punca berlakunya
syirik di kalangan sebahagian orang Islam, iaitu disebabkan jahil, lemah iman
dan mengikut sebagai ikut-ikutan.
Jahil
ialah tidak mengetahui yang benar dan perkara yang salah.
Jahil
merupakan punca utama kepada berlaku syirik, akibat daripada hidup dalam
kejahilan maka masyarakat lebih cenderung melakukan perkara-perkara syirik
tanpa batasan dan sekatan, bahkan kecenderungan untuk beramal dengan perkara
syirik lebih berpengaruh dan semakin berleluasa. Kenapa berlaku sedemikian
rupa? Ini kerana kejahilan yang terus melitupi mereka sehingga mereka tidak
mengenali perkara yang benar atau batil.
Orang
yang lemah iman pula sangat mudah mengikut telunjuk nafsu mereka sehingga
terlibat dengan perkara-perkara syirik tanpa disedari oleh mereka.
Adapun
mengikut ikutan yang syirik sering disebut di dalam al-Quran bahawa orang yang
syirik kepada Allah mereka mengikut ajaran nenek moyang mereka dan sekali-kali
tidak akan meninggalkannya kerana itu adalah ikutan mereka.
Rujukan:
1. Al-Qur’an
al-Karim,
2.
Mastika Hadith: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
IKLAN
Maahad Tahfiz al-Quran
wal-Qiraat ADDIN-4 membuka peluang kepada belia-belia Daerah Masjid Tapah
menyertai majlis ilmu ‘Tafaqquh fi al-Din’.
Program tersebut bercorak talaqqi
(pengajian secara pondok) setiap malam Isnin hingga Jumaat bermula jam 9.00
malam hingga 11.00 malam.
Siapa yang berminat sila
hubungi talian 013- 530 5228 atau terus berhubung dengan pihak sekolah.
TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad
Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Email: mtq4tapah@gmail.com
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
SUMBANGAN
PERCETAKAN
Risalah ini disumbangkan oleh Dr. Hj. Ahmad Razi bin Othman
d/a POLIKLINIK RAZI,
Pekan Tapah, Perak Darul Ridzuan.
0 comments:
Post a Comment