RUANGAN MAQASID SYARIAH
Oleh: Abd.
Muhaimin bin Malek
KESATUAN UMAT ISLAM DI DALAM IBADAH HAJI DAN
KORBAN
1. MUQADDIMAH
Di dalam bulan mulia Zulhijjah ini terdapat beberapa amalan yang
mendatangkan kebaikan yang besar kepada umat Islam, justeru umat Islam harus
pertamanya merebut peluang besar ini serta berlumba-lumba melaksanakannya dengan
penuh dedikasi mengaharapkan rahmat, keampunan dan kebaikan dari Allah SWT. Keduanya
memulakan amalan dengan pengetahuan yang mencukupi supaya maksud yang tersirat
di sebalik amalan-amalan yang dikerjakan beroleh ganjaran dan yang paling
penting supaya amalan itu diterima di sisi Allah SWT. Antara amalan tersebut
adalah perbuatan haji dan sembelih korban.
Ibadah haji
merupakan ibadah yang sarat mengandungi nilai-nilai yang amat tinggi dan sangat
bermanfaat. Hikmah yang terdapat di sebalik perbuatan-perbuatan haji jelas
kelihatan dan mudah dirasai khususnya bagi orang yang mengerjakan ibadah
tersebut.
Hakikat haji
seperti yang disebutkan oleh Imam al-Dahlawi: “Adalah suatu pertemuan
besar-besaran orang soleh dalam satu masa dan satu tempat bertujuan mengingati
orang-orang soleh terdahulu yang pernah Allah SWT kurniakan nikmat tempat
tersebut, mereka dan jemaah haji dalam pertemuan besar itu sama qasadnya, iaitu
mengagungkan syiar Allah SWT, mengharapkan keampunanNya, kebaikan serta menghapus
segala dosa lampau. (Hujjatullah al-balighah. Jilid 1/m.s 141).
Allah
menjadikan Mekah sebagai tempat untuk umat Islam berkumpul mencari kekuatan
spiritual dan fizikal, kerana mekah dan segala isinya termasuk Kaabah adalah
lambang kesatuan dan kekuatan umat Islam, di samping itu umat Islam yang berada
di luar Mekah wajib menyokong kekuatan dan kesatuan yang sedang dibina umat
Islam di sana dengan kita bermuafakat dalam menentukan hari raya ‘Eidul Adha
kali ini dan seterusnya dengan menurut Mekah yang terdapat padang ‘Arafah,
supaya kita benar-benar kelihatan bersatu. Allah SWT dalam firmanNya juga
mengisyaratkan kesatuan itu pada firmanNya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai
Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. katakanlah: "(peredaran)
anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya
Ibadat Haji” (Al-Baqarah: 189).
Dr. Ismail
Lutfi di dalam bukunya ‘Eidul Adha menurut hari ‘Arafah adalah syariat Allah
SWT yang membawa kesatuan umat, menyebutkan: “Demi kesatuan umat serta lebih
tepat dengan Maqasid Syariah dan selaras dengan sunah Rasulullah SAW diserukan
supaya penentuan ‘Eidul Adha hendaklah menurut pengisytiharan rasmi mengenai
hari ‘Arafah, iaitu hari raya haji hendaklah mengiringi hari ’Arafah dengan beberapa
sebab…” (Untuk bacaan lanjut sila rujuk buku beliau seperti nama di atas. m/s
77 dan selepasnya).
3. KESATUAN MAGHFIRAH DAN
RAHMAT
Apabila kesemua jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia bersatu dalam
keadaan semua mereka tidak mempunyai hasrat dan harap melainkan hanya harapan
dari yang Maha Esa, maka sudah tentulah
Rahmat dan keampunanNya dengan mudah diturunkan buat mereka ketika itu, turun
ibarat hujan lebat ke atas mereka. Dan hari perhimpunan tersebut merupakan hari yang paling kecewa dan
amat menyedihkan serta menyakitkan buat syaitan durjana. Sepertimana yang
pernah digambarkan Nabi SAW dalam sebuah sabdaannya: “Tiada satu haripun di
dunia ini bagi syaitan amat merasa hina dan dukacita melainkan pada hari
‘Arafah”. (Hujjatullah al-balighah. Jilid 1/m.s 142). Marilah kita bersatu
memohon keampunan dan kebaikan dariNya. Jadikan hari-hari bulan Zulhijjah ini
hari yang amat malang ke atas syaitan. Jadikan Kaabah al-Musyarrafah sebagai
simbol kesatuan kekuatan umat Islam, biarpun kita tidak berada betul-betul
berhadapan denganya tetapi semua kita tetap menjadikannya kiblat dalam solat
dan lain-lain ibadat.
4. KESATUAN
MEMPERINGATI NABI IBRAHIM DAN ANAKNYA ISMAIL A.S DALAM IBADAH KORBAN
Antara hikmah
yang wajib diambil dan dilestarikan dalam kehidupan muslim kepada pensyariatan
sembelihan Korban adalah mencari kekuatan “ketaatan mutlak” terhadap segala
titah perintah Allah SWT dengan penuh kesabaran yang mendalam dan tanpa
memberikan walau sedikit alasan untuk menolak atau menangguhkannya.
Kesatuan umat
Islam seluruh dunia hari ini memperingati peristiwa “ketaatan mutlak dengan
penuh kesabaran” yang ada pada dua insan terhebat iaitu nabi Ibrahim dan Ismail
A.S ketika melaksanakan perintah korban. Si ayah hanya mendapat perintah
melalui mimpi supaya menyembelih satu-satunya anak kesayangan yang lahir dari
perut Hajar A.S lalu dengan segera tanpa tangguh dan dengan penuh sabar
menjalankan titah tersebut dengan menceritakan keadaan mimpi kepada si anak. Si
anak pula dengan keimanan yang mendalam dengan penuh sabar mempercepatkan
arahan sembelihan dengan menggesa si ayah untuk melaksanakannya jika arahan itu
datang dari Allah SWT sebuah pengorbanan yang tidak ada bandingan dan
tandingan, sebuah ketaatan yang tidak terdapat seumpamanya. Hayati firman Allah
SWT yang bermaksud: “Maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang
membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata:
"Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku
akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab:
"Wahai ayah, jalankanlah apa Yang diperintahkan kepadamu; insya Allah,
ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar" (As-Soffat: 102)
5. PENUTUP
Sebagai kesimpulan kepada catatan ringkas ini, penulis
menyeru agar kesatuan yang di laungkan mutakhir ini mestilah berlandaskan
kepada ketaatan kepada Allah SWT pencipta alam. Hanya ketaatan kepada Allah SWT akan
membuahkan kesatuan dan kekuatan umat Islam dulu kini dan selamanya.
Rujukan:
1. Al-Qur’an
al-Karim,
2.
Al-Mustafad Min Qisas Al-Quran.
3-
Al-Ibadat Fil Islam.
4- ‘Eidul
Adha menurut hari ‘Arafah adalah syariat Allah yang membawa kesatuan umat
5- Hujjatullah
Al-balighah
TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad
Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Email: mtq4tapah@gmail.com
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
SUMBANGAN
PERCETAKAN
Risalah ini disumbangkan oleh Dr. Hj. Ahmad Razi bin Othman
d/a POLIKLINIK RAZI,
Tapah, Perak Darul Ridzuan.
0 comments:
Post a Comment