RUANGAN ULUM AL-QURAN
Oleh: Nur Muhammad
As-siddiq b. Mohammad
SUMBER-SUMBER
TAFSIR AL-QURAN
1. PENDAHULUAN
Penafsiran
al-Quran memerlukan kepada sumber-sumbernya yang dapat memberi kefahaman ayat
kepada pembacanya, oleh kerana itu, seorang ulama’ ahli tafsir perlu meneliti
dan mencari tafsiran ayat-ayat melalui turutan sumbernya, iaitu daripada
al-Quran sendiri, kemudian hadith-hadith Nabi SAW yang menerangkan ayat-ayat
al-Quran, disusuli dengan pendapat para sahabat Nabi SAW.
2. SUMBER DARIPADA AL-QURAN
Seorang
ulama’ ahli tafsir ketika ingin mentafsirkan sesuatu ayat al-Quran hendaklah ia
melihat terlebih dahulu kepada nas-nas al-Quran al-Karim secara umumnya,
kemudian mengumpul nas-nas yang berkaitan dengan nas yang hendak ditafsirkan,
kerana di antara nas-nas al-Quran itu ada yang mentafsirkan dan menghuraikan
nas al-Quran yang lain.
Sebagai
contohnya firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat kedua yang bermaksud:
”Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari
Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang
(hendak) bertaqwa”. Maka ayat seterusnya menerangkan siapakah orang yang
bertaqwa itu, firman Allah SWT pada ayat 3 hingga 5 surah al-Baqarah yang
bermaksud: ”Iaitu
orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan
(mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari
rezeki yang kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman
kepada kitab "al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad),
dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan
(adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat
petunjuk dari tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya”. Begitu juga dengan firman Allah di dalam surah
al-Mujadalah ayat 3 yang bermaksud: ”Dan
orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari
apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah
(suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri)
bercampur”. Maka ayat pada surah al-Nisa’ menjelaskan sifat hamba
yang perlu ada bagi memerdekakannya sebagai kaffarah zihar, firman Allah yang
bermaksud: ”Maka hendaklah memerdekakan seorang hamba yang beriman”.
(al-Nisa’: 92)
3. SUMBER DARIPADA HADITH
Kemudian sekiranya tidak terdapat tafsiran daripada
al-Quran sendiri, maka hendaklah dicari tafsirannya daripada hadith-hadith Nabi
SAW, kerana al-Quran dan hadith tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya
memerluakan di antara satu dengan yang lain. Peranan hadith dalam konteks
menjelaskan al-Quran ialah menghuraikan nas-nas yang Mujmal, mengkhususkan
nas-nas yang Umum, membataskan nas-nas yang Mutlak, dan menambah hukum-hukum yang
tidak terdapat di dalam al-Quran.
4. PENJELASAN
HADITH TERHADAP NAS-NAS AL-QURAN
Kedatangan hadith bagi menerangkan nas-nas al-Quran dapat dilihat dengan
beberapa contoh yang menerangkan waktu-waktu sembahyang fardhu, bilangan
rakaat, kaifiyat ruku’, kaifiyat sujud, kadar-kadar zakat, waktu-waktu
mengeluarkan zakat, cara-cara mengerjakan haji dan lain-lain lagi.
Sebagai contohnya hadith yang menerangkan bagaimana cara melakukan
sembahyang, sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Bersembahyanglah kamu sebagaimana
kamu melihat aku bersembahyang”. H.R Imam al-Bukhari. Dan yang menerangkan cara
menunaikan haji, sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Ambillah daripada aku
cara-cara kamu mengerjakan ibadah haji”. H.R Imam Ahmad bin Hanbal.
Dan contoh yang lain seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang
lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah
tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan,
(juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah, dan (ingatlah) Allah maha kuasa,
lagi maha bijaksana”. (al-Maidah: 38). Diterangkan oleh hadith Nabi SAW
yang bermaksud: “Tidak boleh dipotong tangan pencuri melainkan apabila ia
mencuri sesuatu yang bernilai satu perempat dinar atau lebih”. H.R Imam Muslim.
5. SUMBER DARIPADA PENDAPAT PARA SAHABAT
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tafsiran daripada
pendapat sahabat boleh diterima sekiranya berkaitan dengan sebab penurunan ayat
al-Quran dan yang menyentuh perkara-perkara yang tidak mungkin diketahui dengan
ijtihad. Adapaun selain daripada itu ianya dikira sebagai tafsiran yang
disandarkan kepada sahabat semata-mata, dan ianya dipanggil Tafsiran Mauquf
(tafsir yang hanya sampai kepada sahabat sahaja).
Ulama’ berbeza pendapat terhadap Tafsir Mauquf ini
kepada dua pendapat: pendapat pertama menyatakan ianya tidak wajib diambil,
kerana tidak sampai kepada Nabi SAW, dan ianya adalah ijtihad yang
berkemungkinan berlaku kesilapan. Pendapat kedua menyatakan bahawa ianya wajib
diambil kerana tafsiran para sahabat boleh dianggap mereka mendengarnya
daripada Nabi SAW, dan kalau mereka berijtihad sekali pun, ijtihad mereka lebih
tepat kerana mereka lebih mengetahui tentang al-Quran.
Rujukan:
- al-Quran al-Karim / Tafsir Pimpinan al-Rahman.
- Ulum al-Quran: Satu Pengenalan.
TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000
Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
MEMOHON SUMBANGAN BARANG KERING UNTUK KANTIN
MAHAAD TAHFIZ KG. LUBUK KATAK
Pihak sekolah
mempelawa para dermanan untuk berbakti kepada agama dengan memberi sumbangan
tetap bulanan barang kering bagi keperluan makanan pelajar yang menghafal
al-Qur’an seramai 121 orang.
Barang keperluan
harian adalah seperti keterangan berikut:-
PERKARA
|
KEPERLUAN
HARIAN
|
Beras
|
30 kg (satu hari)
|
Gula
|
4 kg (satu hari)
|
Minyak Masak
|
3 kg (satu
hari)
|
Telur
|
15 papan
(satu minggu)
|
Ikan Bilis
|
3 kg (satu
minggu)
|
Ayam
|
36 ekor (satu
Minggu)
|
Daging
|
34 kg (satu
minggu)
|
Ikan Laut
|
30 kg (satu
minggu)
|
Ikan Keli
|
30 kg (satu
minggu)
|
Gas
|
7 tong (satu
minggu)
|
Nota:
1. Sumbangan tersebut boleh juga dimasukkan ke dalam akaun Maybank
(perbankkan Islam) atas nama Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN (Akaun
Nombor: 5581 2731 1303).
0 comments:
Post a Comment