RUANGAN ULUM AL-QURAN
Oleh: Nur Muhammad
As-siddiq b. Mohammad
ASBABUN NUZUL AL-QURAN (BAHAGIAN: 1)
PENDAHULUAN
al-Quran adalah kalam
Allah SWT yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bentuk wahyu dengan
perantaraan Jibril AS. Tujuan utama penurunan al-Quran adalah sebagai panduan,
petunjuk serta sebagai ikutan umat manusia. Kandungannya meliputi segala urusan
yang berkaitan kehidupan manusia, merangkumi urusan pentadbiran, akhlak,
hukum-hakam, ibadat dan sebagainya.. Ayat-ayat yang diturunkan pula meliputi
tujuan umum dan tujuan khusus. Ada antara ayat-ayat al-Quran yang diturunkan
bagi menghuraikan tentang sesuatu perkara, atau menjelaskan hukum-hakam atau
untuk menjawab soalan yang diajukan kepada Nabi SAW, Peristiwa yang berlaku di
sebalik penurunan sesuatu ayat dinamakan Asbabun Nuzul. Pengetahuan mengenai
Asbabun Nuzul memainkan peranan besar yang dapat menjelaskan atau menghurai
kehendak sesuatu ayat.
KONSEP ASBABUN NUZUL.
Pengertian Asbabun Nuzul
dari segi bahasa adalah sebab-sebab turunnya ayat al-Quran kepada Nabi SAW.
Dari segi istilahnya
pula, Asbabun Nuzul membawa maksud apa-apa peristiwa yang berlaku menyebabkan
turunnya sesuatu ayat atau beberapa ayat, atau pemberian jawapan terhadap
sebabnya, atau untuk menerangkan tentang hukumnya pada masa berlakunya
peristiwa itu atau sebagai menjawab pertanyaan yang diajukan kepada Rasulullah
SAW. Lalu turunlah ayat bagi menjelaskan perkara tersebut.
Oleh itu, Asbabun Nuzul
dapat diertikan sebagai sebab-sebab turun ayat. Dan sebab ini dapat dilihat
dalam bentuk peristiwa yang berlaku. Apabila ayat diturunkan sebagai penjelasan
atau penceritaan sempena berlakunya sesuatu peristiwa, maka peristiwa tersebut
dinamakan Asbabun Nuzul .
Contohnya hadis riwayat
Imam al-Bukhari tentang sahabat bernama Khabbab al-‘Arath telah berkata: “Aku
adalah seorang tukang besi. al-‘As Ibn
Wa’il ada berhutang denganku, lalu aku pergi kepadanya untuk menuntut hutangku
itu, lalu al-‘As berkata kepada ku: Aku tidak akan membayar hutangmu itu
sehingga engkau kufur kepada Muhammad dan menyembah al-lata dan ‘Uzza. Aku
menjawab: Aku tidak akan kufur sehingga Allah mematikanmu kemudian
membangkitkanmu. Lalu al-‘As bertanya: Aku akan mati dan akan dibangkitkan?,
aku akan tunggu hari tersebut yang mana aku akan datang dengan harta dan anak,
maka aku akan tunaikan hutang engkau. Lalu Allah SWT menurunkan ayat 77 hingga
80 surah Maryam yang bermaksud: “Maka tidakkah engkau merasa
hairan memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada
ayat-ayat keterangan kami serta ia berkata: "Demi sesungguhnya aku akan
diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat? Adakah ia telah
mengetahui akan perkara yang ghaib, atau adakah ia telah membuat perjanjian
dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya? Tidak sekali-kali! kami akan menulis apa
yang dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa,
berganda-ganda. Dan Kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang
dikatakannya itu, dan ia akan datang kepada kami dengan seorang diri.
Peristiwa yang berlaku
kepada Khabbab al-‘Arath ini disebut sebagai Asbabun Nuzul.
Bentuk Asbabun Nuzul
yang seterusnya adalah berbentuk pertanyaan, terdapat ayat yang diturunkan
dengan sebab pertanyaan yang diajukan kepada Rasulullah SAW yang meminta
baginda menyatakan hukum atau menerangkan sesuatu. Contoh yang berkaitan dengan
hal ini ialah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Mu’az bin Jabal katanya:
“Sesungguhnya seorang yahudi telah menipu kami dan menambah masalah kami, dan
bertanya berkaitan dengan anak bulan. Kenapa anak bulan itu mula-mula kecil
bentuknya, kemudian semakin besar sehinggalah menjadi separuh, kemudian menjadi
purnama dan kemudian kurang, mengecil balik hingga kedudukannya yang asal. Maka
Allah SWT menurunkan ayat al-Quran sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu
(Wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. katakanlah:
"(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan
amalan) manusia, khasnya Ibadat Haji”. (al-Baqarah: 189)
HIKMAH ASBABUN NUZUL
Di antara hikmah Asbabun
Nuzul al-Quran adalah seperti berikut:
1- Membantu memahami
ayat al-Quran;
Asbabun Nuzul mempunyai
pengaruh yang sangat besar terhadap bidang pentafsiran al-Quran. Ini kerana
pengetahuan mengenainya membantu seseorang memahami ayat dengan lebih baik.
Sahabat-sahabat Nabi SAW sendiri akan bertindak mendahulukan pendapat sahabat
mereka yang mengetahui sebab-sebab turunnya ayat, berbanding pendapat sahabat
yang tidak mengetahuinya. Imam al-Wahidi dengan tegas menyatakan pendiriannya
iaitu: “Tidak mungkin seseorang mengetahui tafsir dari sesuatu ayat tanpa mengetahui
kisahnya dan keterangan sekitar turunnya ayat tersebut”. Imam Ibnu Daqiq al-Aid
berkata bahawa penjelasan Asbabun Nuzul adalah jalan paling baik dalam memahami
makna-makna al-Quran.
2- Mengetahui
pengkhususkan hukum;
Terdapat Asbabun Nuzul
yang menjelaskan sesuatu hukum dan membetulkan kesilapan, sebagaimana ayat yang
diturunkan disebabkan ada sahabat yang menunaikan solat dalam keadaan mabuk,
menyebabkan beliau tersilap ketika membaca surah al-Kafirun. Lalu turun ayat 43
surah an-Nisa’ untuk menjelaskan supaya jangan sembahyang dalam keadaan mabuk.
3- Mengetahui dengan
jelas kepada siapa dan apa sebab sebenar turunnya sesuatu ayat;
Pengetahuan mengenai
Asbabun Nuzul membantu mengetahui dengan jelas kepada siapa dan sebab apa
diturunkan sesuatu ayat.
………………………………………………….
TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000
Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Email: mtq4tapah@gmail.com
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
MEMOHON SUMBANGAN
Pihak sekolah
mempelawa para dermanan untuk berbakti kepada agama dengan memberi sumbangan
tetap bulanan barang kering bagi keperluan makanan pelajar yang menghafal
al-Qur’an seramai 121 orang.
Barang keperluan
harian adalah seperti keterangan berikut:-
PERKARA
|
KEPERLUAN
HARIAN
|
Beras
|
30 kg (satu hari)
|
Gula
|
4 kg (satu hari)
|
Minyak Masak
|
3 kg (satu
hari)
|
Telur
|
15 papan
(satu minggu)
|
Ikan Bilis
|
3 kg (satu
minggu)
|
Ayam
|
36 ekor (satu
Minggu)
|
Daging
|
34 kg (satu
minggu)
|
Ikan Laut
|
30 kg (satu
minggu)
|
Ikan Keli
|
30 kg (satu
minggu)
|
Gas
|
7 tong (satu
minggu)
|
Nota:
1. Sumbangan tersebut boleh juga dimasukkan ke dalam akaun Maybank
(perbankkan Islam) atas nama Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN (Akaun
Nombor: 5581 2731 1303).
0 comments:
Post a Comment