RUANGAN TAFSIR DAN ULUM al-QURAN
Oleh: Abd Muhaimin bin Malek
UMAT ISLAM ANTARA KUALITI DAN KUANTITI
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Anfal ayat 73, yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain, jika kamu (Wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar”.
KETERANGAN AYAT
Saudara pembaca budiman! Maulana Abul Hasan Ali an-Nadwi Rahimahullah (1999) ketika mentafsirkan ayat ini, beliau berkata:
“Ayat Allah ini sangat mendalam kehendak dan amaranNya dalam masa yang sama memaklumkan kepada kita bahawa golongan kafir sejak mula menetap di bumi antara mereka saling hubung menghubung bahu membahu mengumpul dan mengembeling tenaga dan daya di samping sentiasa menggandakan usaha dalam rangka menidakkan kemahuan dan tuntutan Allah di atas bumiNya. Faktor tersebutlah yang menampakkan kejayaan dakyah dan propaganda mereka”.
Ayat ini diturunkan Allah untuk semua umat Islam di setiap zaman bermula umat zaman awal kedatangan Islam sehingga sebelum tercetusnya qiamat. Tuntutan ayat agong ini adalah keutamaan membangunkan qeematul ummah (kualiti umat) dari kammiatul Ummah (kuantiti umat). Untuk membangunkan nilai dan kualiti ummah itu lebih penting dari membilang-bilang lalu berbangga dengan ramainya umat Islam. Lihatlah bilangan para sahabat Nabi ketika awal penurunan ayat ini seperti yang dilaporkan oleh Imam Bukhari seramai seribu lima ratus orang.
Jika demikian, ayat ini bukanlah ditujukan kepada sesiapa melainkan ia sentiasa ditujukan kepada “Ummah Islamiah” ia bukanlah ditujukan kepada kuasa besar dunia, bukan juga kepada penjajah-penjajah barat yang pernah menjajah negera-negara kecil seperti Malaysia, malahan ayat ini secara yakin dan pasti adalah diturunkan dan ditujukan kepada kita Ummah Islamiah.
asy-Syeikh Sya’rawi dalam tafsirnya menyebutkan: firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain.” Bukanlah suatu perintah kepada golongan kuffar bahkan ianya suatu perkhabaran akan realiti kehidupan mereka, iaitu mereka sememangnya saling bahu membahu, bantu membantu apatah lagi jika mereka berhadapan dengan umat Islam.
PENGHINAAN
Kejadian penghinaan berani tentera kuffar barat terhadap al-Quran baru-baru ini sebenarnya telah memberikan signal kepada golongan kuffar yang lain, seolah-olah mereka ada kekuatan untuk menidakkan agama Islam bertapak di bumi ini. Ditambah pula dengan adanya facebook anti Islam yang mengajak golongan yang membenci Islam menyatakan kebencian terang-terangan. Fenomena ini membimbangkan umat Islam, dalam keadaan mereka tidak menampakkan kesatuan Islam. Kita berbangga juga dengan kehadiran ramai orang bukan Islam ke dalam agama Islam khususnya di tanah barat, cuma yang kita harap adalah kualiti umat Islam atau nilai keislaman kita meningkat sehingga menampakkan kegemilangan dan kehebatan Islam. Dan inilah yang sepatutnya menjadi keutamaan kita.
PERINGATAN AL-QURAN
Justeru itu, Allah mengingatkan kita akan kesatuan Ummah Islamiah yang wajib dibentuk, kesatuan ini harus didasari kesatuan aqidah dan kekuatan ukhuwwah untuk mengamalkan ajaran Allah demi memberi kesejahteraan kepada semua. Jika kita tidak sama sekali berusaha membetuk kesatuan ini akan berlakulah fitnah besar dan kerosakkan yang amat dahsyat.
al-‘Allamah Rasyid Redha melalui tafsirnya menyebutkan: Fitnah dan kerosakkan besar itu adalah kelemahan umat Islam dengan menolak ajaran agama mereka iaitu Islam, kelemahan ini menyebabkan golongan lain merancakkan agenda salah mereka untuk mengelirukan umat Islam yang mengajak kepada Hurriyyatu Addin (kebebasan Agama), tiada kerosakkan besar melainkan Islam itu dilihat tidak lagi bermakna bagi Umat Islam.
PENUTUP
Marilah kita memulakan pembentukan wahdatul ummah al islamiah ini dengan ikhlas dan benar, dengan ukhuwwah islamiah dan aqidah sahihah. Renung dan hayatilah sejarah persaudaraan Ansar dan Muhajirin yang membuahkan kesatuan kekuatan yang akhirnya berjaya membawa Islam dalam kehidupan manusia melalui pemerintahan Islam kerajaan Islam Negara Madinah. Kita yakin akan kemenangan Islam, tetapi kemenangan Islam bukanlah datang dengan kaedah “kun fayakun”.
Rujukan:
1- al-Quran Kareem
2- Tafsir Sya’rawi
3- Tafsir al-Manar Rasyed Redho
4- Taamulat Fil Quraan Kareem Abul Hasan
5- Kaifa Tata’amal maal Quran Mohd al-Ghazali
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Hal Ehwal Murid (HEM). Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1991 – 2000). Menyambung pengajian di Institut al-Fatah al-Islami, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2000 – 2006). Dan sekarang beliau sedang menyambung pengajian di peringkat M.A di KUIN Kedah.
Tel: 013- 585 5682
0 comments:
Post a Comment