RUANGAN HUKUM-HUKUM SEMASA
Oleh: Anas bin Malek
MASYARAKAT MAJMUK
1. Pendahuluan
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa di antara kamu, sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal”. (al-Hujurat: 13)
Islam adalah agama yang telah berhadapan dengan situasi masyarakat majmuk sejak awal perkembangan lagi. Pelbagai paparan telah ditunjukkan oleh baginda Muhammad SAW berkaitan hubungan antara Muslim dengan Non Muslim (bukan Islam). Ada yang dimusuhi sehingga pedang-pedang menjadi hidangan kepada mereka, tetapi ada yang disantuni sehingga ditangisi pemergiannya.
Allah SWT sengaja mencipta pelbagai kaum dengan tujuan untuk meningkatkan tahap pengurusan yang membawa kepada lahirnya unsur-unsur Taqwa melalui aktiviti kenal mengenal, bantu membantu, hormat menghormati. Jelas sekali Allah Taala tidak menganjurkan amalan permusuhan dengan sebab perbezaan kaum dan agama itu, tetapi menganjurkan amalan yang baik dan murni.
Masyarakat Madinah sebelum hijrah Nabi Muhammad SAW adalah terdiri daripada berbagai kabilah dan agama, seperti penyembahan berhala dan agama Yahudi. Apabila baginda Muhammad SAW berjaya menguasai tampuk pemerintahan Madinah, maka baginda telah menggariskan berbagai dasar dan program yang sesuai untuk menguruskan masyarakat majmuk seperti yang terkandung di dalam piagam Madinah.
Realiti di Malaysia, kita berhadapan dengan kemajmukan masyarakat. Lantas amat wajar paparan santunan Rasulullah SAW terhadap mereka diperhalusi agar masyarakat Islam dapat berhubungan dan berurusan dengan mereka di atas pertunjuk Rabbani.
2. Bermuamalah dengan masyarakat bukan Islam
Kewujudan bukan Islam diiktiraf oleh Islam. Islam memberi keharusan untuk bergaul dengan masyarakat bukan Islam yang tidak bermasalah atas dasar untuk melahirkan Taqwa. Sungguhpun begitu, al-Quran menegaskan bahawa tugas memberi hidayah kepada mereka tidaklah termasuk peranan Rasul-rasul, tetapi Allah yang berkuasa memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya seperti firmanNya di dalam surah Yunus ayat 99 yang bermaksud: “Dan jika tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua manusia di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman”.
Islam menetapkan bahawa akidah yang diimani melalui pilihan yang bebas sepenuhnya, dan asas pilihan mestilah dalam keadaan yang aman. Pilihan itu tidak boleh menggunakan paksaan dengan mana-mana alat sekali pun. FirmanNya lagi: “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat”. (al-Baqarah: 256)
3. Hak-hak bukan Islam
Di antara hak-hak bukan Islam dalam Negara Islam ialah:
1- Hak untuk melaksanakan upacara ibadat dan keagamaan mereka tetapi tanpa meninggikan syiar mereka. Islam bukan satu agama yang memaksa pihak lain untuk memeluk Islam, maka Islam juga memberi ruang dan hak untuk orang bukan Islam melaksanakan keperluan asas mereka dalam beragama, begitu juga mereka dibenarkan membina rumah ibadat mereka.
2- Hak untuk melaksanakan urusan muamalat. Dalam hal ini mereka boleh berurusan jual beli, sewa menyewa dan gadai menggadai seperti orang Islam tanpa dibezakan. Mereka dibenarkan dalam ruang muamalat Islam yang tidak melibatkan Riba’. Pengecualian hanya dalam isu penjualan arak/babi yang mana mereka dibenarkan sesama mereka dengan syarat tidak menzahirkannya secara terang-terang sekiranya di dalam kawasan orang Islam.
4. Pengetahuan Fiqh berinteraksi sebelum memperanankan mereka
Syariat Islam adalah suatu yang dinamik, berdaya saing dan sesuai sepanjang zaman serta dimana-mana tempat. Bagi membumikan syariat Islam ini memerlukan Fiqh Islam sebagai suatu usaha Ijtihad dalam mentafsirkan nas syarak. Justeru dalam Fiqh berinteraksi dengan orang yang bukan Islam ini sewajarnya meraikan beberapa prinsip yang perlu diberi perhatian. Antaranya:
1- Tasamuh atau toleransi.
2- Keperluan kepada Fiqh Perbandingan Mazhab agar tidak terikat dengan kefahaman satu mazhab sahaja.
3- Memahami Fiqh al-Awlawiyat.
4- Mengenengahkan Syahsiyyah sebagai ikon Muslim yang baik.
5. Akhir kata
Masyarakat bukan Islam adalah yang diiktiraf Syarak kewujudannya, dan ada lakaran interaksi Nabawi bersama mereka dalam membentuk Baldatun Toyyibah. Lakaran Rasulullah SAW telah tersemat di dinding sejarah, hitam putihnya lakaran kita terletak kepada kita untuk melakarinya. Jadilah salah satu penyumbang hasil bukannya penconteng maruah suci Islam.
Realitinya kita bersama dengan mereka di dalam sebuah negara yang tidak mendaulatkan Islam sebagai Addin.
Rujukan:
1- al-Quran al-Kareem.
2- Kitab Sirah Nabawiyah.
3- Bagaimana Berkomunikasi Dengan Non Muslim.
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Kurikulum. Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1991 - 1999). Menceburi bidang hafazan al-Quran di Maahad Tahfiz Darul Furqan Padang Balang (2000 – 2002), kemudian ke Pondok Pasir Tumbuh (2003) sebelum menyambung pengajian di Institut al-Ulum Syari’yah wal-Arabiyah, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah dan Bahasa Arab (2003 – 2010).
Tel: 019- 366 5894
Email: hammudi_ans@yahoo.com
TERBITAN: UNIT PERPUSTAKAAN DAN PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Email: mtq4tapah@gmail.com
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment