RUANGAN HADITH DAN ISU SEMASA
Oleh: Nur Muhammad As-siddiq b. Mohammad
SIAPAKAH ORANG MUFLIS?
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: “Adakah kalian tahu siapakah orang yang muflis?”. Lalu para sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah orang yang tiada dirham (wang) dan tiada harta”. Baginda SAW bersabda: “Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa (pahala) solat, puasa dan zakat, sedangkan datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun si fulan, dan menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah dan juga memukul si fulan; maka akan diambil daripada amalan kebajikannya serta diberi kepada si fulan dan si fulan. Kemudian apabila habis amalan kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula daripada kesalahan-kesalahan orang yang dianiaya serta ditimpakan ke atasnya. Kemudian, ia dihumban ke dalam neraka”. (HR Muslim)
KETERANGAN
Perkataan muflis apabila dirujuk kepada kita, pasti kita mengatakan ianya adalah perkataan bagi mereka yang tiada wang ataupun harta. Namun hakikat sebenar bagi perkataan muflis ialah mereka yang melakukan amal kebajikan tetapi ganjarannya terpaksa dibayarkan kepada orang lain. Hadith ini menggambarkan kepada kita bahawa golongon ini akan wujud di hari kiamat nanti, mereka akan merasa rugi kerana dahulunya ketika di dunia mereka menunaikan solat, berpuasa, membayar zakat dan amal kebajikan yang lain, tetapi di samping itu mereka menganiaya orang lain yang menyebabkan pahala dan ganjaran amal kebajikan tersebut terpaksa diberikan kepada orang yang teraniaya dahulu di dunia. Bukan itu sahaja, bahkan mereka terpaksa menanggung segala dosa yang dilakukan oleh orang yang teraniaya sekiranya mereka tidak dapat membayar penganiayaan kerana pahala ganjaran sudah tiada.
MEMIKUL DOSA ORANG LAIN
Dalam mensyarahkan hadith ini, al-Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Syarah Muslim menyebut, bahawa terdapat golongan yang tersilap tanggapan mereka dan mengatakan bahawa hadith ini bertentangan dengan ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain” (Faathir: 18). Kerana al-Quran menjelaskan bahawa seseorang tidak akan menanggung dosa kecuali apa yang dilakukannya sahaja, adapun Hadith mengatakan seseorang boleh menanggung dosa yang dilakukan orang lain, maka bertentangan antara al-Quran dan Hadith.
Sebagai jawapannya, al-Imam an-Nawawi menjelaskan kepada kita bahawa tidak berlaku pertentangan di antara al-Quran dan Hadith dalam bab ini, kerana apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW bahawa orang yang akan menanggung dosa orang lain adalah mereka yang dahulu di dunia melakukan penganiayaan terhadap orang lain, lalu apabila ia berada di hari akhirat Allah SWT akan membalas penganiayaan dahulu dengan segala amalan yang dilakukan, apabila sudah habis pahala amalannya maka dipertanggungkan ke atasnya dosa yang pernah dilakukan orang yang teraniaya, maka ini berpunca dari perbuatannya sendiri. Adapun ayat al-Quran mengkhususkan terhadap sesuatu dosa yang dilakukan oleh seseorang, maka ia tidak akan dipertanggungkan ke atas orang lain kerana ia dari perbuatannya sendiri.
SIFAT ORANG MUFLIS
Bagi menjelaskan lagi ciri-ciri orang yang muflis ini, para ulama’ telah menggariskan beberapa sifat sebagai sifat golongan orang-orang muflis, dan secara ringkasnya penulis menyenaraikan seperti berikut:
1- Kekal dan sentiasa menjaga sifat-sifat terkeji (Mazmumah).
Bagi mengelak sifat ini, maka Nabi Muhammad SAW telah diutuskan kepada kita supaya mengajarkan sifat-sifat terpuji (Mahmudah) kepada kita. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”. (al-Ahzab: 21). Nabi SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia” (HR al-Bukhari di dalam kitab al-Adab al-Mufrad).
2- Kurangnya sifat ‘Rasa Cukup’ (Qana’ah).
Apabila seseorang yang tidak mempunya sifat Qana’ah di dalam diri, maka dia akan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai keinginannya, sanggup menipu, sanggup mencuri dan sebagainya, asalkan keinginan keduniannya itu tercapai.
3- Melakukan kezaliman terhadap orang lain.
Kezaliman itu terbahagi kepada tiga:
i- Kezaliman kepada diri sendiri apabila mensyirikkan Allah SWT, maka dosa syirik tersebut tidak akan diampun melainkan dengan taubat yang sebenar-benarnya (Taubat Nasuha).
ii- Kezaliman kepada diri sendiri apabila melakukan maksiat serta dosa yang berkaitan diri dengan Allah SWT, seperti meninggalkan perkara-perkara wajib. Maka dosa ini akan terampun apabila kita memohon pengampunan dari Allah SWT.
iii- Kezaliman kepada diri orang lain, seperti membunuh, mencuri, memfitnah dan sebagainya yang berkaitan dengan manusia lain, maka dosa ini tidak akan terampun sehinggalah kita mendapat kemaafan dari orang yang dizalimi. Sekiranya tidak mendapat kemaafan, maka tersenarailah diri kita dari kalangan orang yang muflis di akhirat kelak.
4- Hasad dengki.
5- Mengumpat, mencela dan memfitnah.
PENUTUP
Mudah-mudahan kita dilindungkan oleh Allah SWT daripada tergolong di kalangan orang-orang muflis di akhirat kelak. Dan ini perlulah dimulakan dari diri kita sendiri, dengan meninggalkan segala perkara-perkara yang menganiayai orang lain. Rugi di akhirat penyesalananya tiada guna lagi.
Rujukan:
1- al-Quran al-Karim
2- Syarah Sahih Muslim
3- al-Adab al-Muslim
Penulis merupakan salah seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4, Tapah. Diamanahkan sebagai P.K Pentadbiran. Mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena Kedah (1992 - 2004). Menyambung pengajian di Institut at-Tahzib wat-Ta’lim, Damsyik Syria, dan berjaya memperolehi B.A di dalam bidang Syariah Islamiyah (2005 – 2010).
Tel: 019- 557 1027
Email: siddiq.nur1869@yahoo.com
TERBITAN: UNIT PERPUSTAKAAN DAN PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000 Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Email: mtq4tapah@gmail.com
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment