RUANGAN ULUM AL-QURAN
Oleh: Nur Muhammad
As-siddiq b. Mohammad
PENGUMPULAN AL-QURAN DAN SEJARAHNYA
PENDAHULUAN
Kajian
terhadap pengumpulan al-Quran serta sejarahnya merupakan satu kajian yang
penting di dalam bidang Ulum al-Quran, kerana ianya mampu memberikan keyakinan
terhadap keaslian ayat-ayat suci al-Quran, iaitulah ayat-ayat yang telah
diterima oleh umat Islam semuanya. Kajian ini juga membuktikan kebenaran janji
Allah SWT di dalam firmanNya: ”Sesungguhnya kami yang telah menurunkan
al-Quran dan sesungguhnya kami yang akan menjaganya” (al-Hijr: 9)
MAKSUD PENGUMPULAN AL-QURAN
al-Quran itu dikumpul melalui dua
cara:
Pertama: Pengumpulan di dalam
dada dengan cara menghafaznya dan melahirkannya. Ini dijelaskan di dalam firman
Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kami yang berkuasa mengumpulnya
(dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya pada lidahmu” (al-Qiyamah: 17).
Kalimat “mengumpulnya” itu adalah bermaksud menghafaz al-Quran dan
melahirkannya melalui bacaan.
Untuk lebih jelas lagi,
perhatikan kata-kata Ibnu Abbas RA: “Sesungguhnya Nabi SAW akan
menggerak-gerakkan dua bibirnya apabila diturunkan ayat al-Quran kepadanya
(kerana bimbang ayat al-Quran akan terlepas dari ingatannya), lalu turun ayat: “Janganlah
engkau menggerak-gerakkan lidahmu, sesungguhnya kami yang berkuasa
mengumpulnya (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya pada lidahmu”.
Kemudian Ibnu Abbas menyambung: “..apabila turun ayat al-Quran selepas itu
kepada Nabi SAW maka baginda akan mendengarnya dengan teliti kerana Allah SWT
telah menetapkan ayat-ayat yang diturunkan ke dalam hati baginda serta memudahkan
baginda membacanya”.
Kedua: Pengumpulan melalui
penulisan. Pada zaman Rasulullah SAW al-Quran telah ditulis oleh para sahabat
atau diukir di atas batu, tulang, pelepah kurma dan lain-lain lagi, kerana pada
masa itu kemudahan alat-alat tulis tidak ada seperti sekarang. Demi memelihara
al-Quran, maka Nabi SAW telah mengarahkan beberapa sahabat dan melantik mereka
sebagai tukang tulis al-Quran, di antaranya ialah Zaid bin Thabit, Muawiyah bin
Abi Sufyan, Ubai bin Ka’ab. Nabi SAW juga melarang sahabat daripada menulis
selain daripada al-Quran, khusunya hadith kerana bimbang akan bercampur antara
al-Quran dan hadith, maka kebanyakan sahabat menulis ayat al-Quran dan
menghafaz hadith.
Inilah dua cara pengumpulan
al-Quran sejak ianya turun kepada Rasulullah SAW, kerana itulah Allah SWT telah
meletakkan nama kitab yang suci ini dengan dua nama yang masyhur iaitu al-Quran
dan al-Kitab. Doktor Muhammad Abdullah Darraz berkata: “Dinamakan dengan
al-Quran kerana ianya dibaca dengan lidah, dan dinamakan dengan al-Kitab kerana
ianya ditulis dengan qalam iaitu pen”.
Penamaan dengan kedua-dua nama
ini menunjukkan kepada kita bahawa ia perlu dijaga pada dua tempat, iaitu
al-Quran perlu dijaga melalui hafazan dan tulisan. Tidak cukup untuk diyakini
dengan semata-mata hafazan tanpa disokong oleh tulisan begitu juga sebaliknya.
HAFAZAN SERTA PERHATIAN NABI SAW
TERHADAP AL-QURAN
Tidak dapat diragui lagi bahawa
Nabi SAW sangat berhati-hati ketika menerima al-Quran yang disampaikan oleh
malaikat Jibril AS, kemudian baginda bersungguh-sungguh menghafaznya.
Rasulullah sentiasa membaca al-Quran di waktu malam dan siang, secara
bersendirian atau beramai-ramai, masa musafir atau mukim, masa susah atau
senang, tidak pernah luput al-Quran dari hatinya walau sesaat. Baginda membacakan
al-Quran kepada sahabat-sahabatnya dan mengajar mereka hukum-hukum dan
nasihat-nasihat yang terkandung di dalam al-Quran.
Terdapat beberapa dorongan dan
sebab-sebab yang membantu Nabi SAW untuk menghafaz al-Quran dengan sempurna,
antaranya ialah:
1- Kuatnya kecintaan Rasulullah
SAW terhadap al-Quran.
2- Penerimaan al-Quran daripada Jibril
AS secara berterusan kepada Nabi SAW menambahkan lagi ketenteraman jiwanya dan
menjadikan hatinya terikat dengan al-Quran.
3- Suruhan baginda supaya
sahabat-sahabat mencatat ayat al-Quran setiap kali diturunkan juga merupakan
sebab yang menambahkan hatinya terikat dengan al-Quran.
4- Baginda sering merujuk kepada
al-Quran dan memerhati pengertian-pengertiannya kerana ia adalah sumber utama
bagi perundangan. Dan baginda beramal dengan ajaran al-Quran dan mengajarnya
kepada manusia.
5- Baginda selalu membaca
al-Quran di dalam sembahyang fardhu, sunat, tahajud dan lain-lain lagi.
Semua faktor ini mendorong
menjadikan al-Quran tersemat kuat di hati Rasulullah SAW, dan kerana itu
baginda adalah ketua kepada para huffaz dan imam kepada para qurra’.
HAFAZAN PARA SAHABAT TERHADAP
AL-QURAN
Adapun para sahabat
Nabi SAW mereka sangat mengambil berat terhadap al-Quran, mereka berlumba-lumba
menghafaz al-Quran, meneliti dan memahami pengertiannya. Mereka menganggap
kelebihan di antara mereka adalah diukur melalui banyak atau sedikit ayat-ayat
al-Quran yang dihafaz oleh mereka, oleh itu mereka bertadarus dan membaca
al-Quran siang dan malam sehingga al-Quran tersemat di hati mereka. Mereka juga
mengajar al-Quran kepada isteri dan anak mereka, di samping itu galakan Nabi
SAW juga memainkan peranan yang penting di dalam hal ini.
Para sahabat
bersungguh-sungguh mempelajari al-Quran daripada Rasulullah SAW, kalau salah
seorang daripada mereka tidak memahami maksud sesuatu ayat maka ia akan terus
bertanya kepada sahabat-sahabat yang mendengarnya daripada Nabi SAW, dengan
demikian mereka dapat menghafaz dan memahami al-Quran dengan betul.
Rujukan:
1. al-Quran
al-Karim,
2- Ulum
al-Quran: Satu Pengenalan
TERBITAN: UNIT PENERBITAN
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 4,
Kg. Jalan Kachu, 35000
Tapah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05- 401 8199
Tel & Fax: 05- 401 8198
Facebook: Mtq Tapah
Blog:www.mtq4tapah.blogspot.com
----------------------------------------------------------
Segala bentuk sumbangan sangat diperlukan untuk
membantu pelajar mengikuti pendidikan hafazan al-Quran.
Penderma yang berminat, bolehlah menghantar sumbangan
berbentuk cek/ wang pos/ kiriman wang anda atas nama: Maahad Tahfiz al-Quran
wal-Qiraat ADDIN.
Atau bank-in terus ke akaun Maybank Maahad, no: 5581
2731 1303.
0 comments:
Post a Comment