HADITH DAN ISU-ISU SEMASA
Oleh: Abd Muhaimin bin Malek
KHABAR ANGIN
PENDAHULUAN
Dr Muhammad Muhammad Abu Syahbah telah menukilkan riwayat Muslim di dalam bukunya “Fi rihabi Assunnah”, Baginda Nabi S.A.W telah bersabda: “ Memadalah sesorang itu dikira pembohong apabila dia menceritakan semua perkara yang didengarinya”.
Ibnu Mas’ud juga pernah menyentuh hal yang sama, dengan katanya: “Memadalah seseorang itu dikira berdosa dengan hanya menceritakan semua perkara yang didengarinya”.
KETERANGAN HADIS
Hadis di atas menunjukkan kepada kita, bahawa menjadi satu kesalahan dan dosa apabila seseorang di kalangan kita menyampaikan semua apa yang diperolehi, dalam erti kata lain menyampaikan semua “khabar angin” yang di dengari. Hadis ini juga memberi amaran kepada kita agar tidak mudah menerima apa sahaja yang diperkatakan orang tanpa memeriksa terlebih dahulu asal usul perkhabaran tersebut. Jika tidak, kita akan dikira pembohong, perbuatan ini menambahkan dosa, dan menyebabkan derita di akhirat.
KHABAR ANGIN
Khabar angin menurut kamus dewan edisi ketiga; adalah khabar atau berita yang belum atau tidak pasti kebenarannya. Ianya selalu disampaikan tanpa usul periksa kesahihannya.
Khabar ini juga berkemungkinan tidak memihak kepada kebenaran dan berkemungkinan menepati hakikat, walaubagaimanapun khabar angin tidak boleh disebutkan atau disampaikan. Inilah kefahaman yang terkandung di dalam hadis di atas.
Islam mengajarkan kepada kita bahawa sesutau kenyataan yang di kemukakan harus melalui proses pengukuran dan penilaian, sama ada kenyataan itu bertepatan (bersumberkan) al- Quran atau hadis atau athar atau melencong dari kebenaran.
KAEDAH ISLAM
Di dalam Islam terdapat kaedah dalam menentukan sesuatu perkhabaran yang hendak di terima atau di ungkapkan. Sarjana Islam meletakkan kaedah tersebut sebagai asas pengkajian mereka. Kaedah itu adalah; Jika anda menukilkan sesuatu pastikan kesahihanya, jika anda mendakwa sesuatu pastikan dalil dan buktinya.
Setiap perkataan atau kenyataan disisi Islam tidak akan bernilai dan bermanfaat jika tidak melalui proses di atas, bahkan agama Islam secara keseluruhannya datang dalam keadaan penuh keyakinan dan mampu diterima oleh seluruh akal manusia, kerana Islam datang dengan dalil dan hujah. Ajaran Islam bukanlah datang dalam bentuk wujdaniah atau khayalan semata. Ketinggian Islam adalah kerana kebenaran hujah dan kekuatan dalilnya. Oleh kerana itu, Abdullah bin al-Mubarak pernah menyebutkan: “kalau bukan kerana sanad nescaya akan berkatalah sesiapa sahaja apa sahaja yang mereka inginkan”.
SENGSARA KHABAR ANGIN
Mutakhir ini ramai orang sering mendakwa, membawa cerita, atau memindahkan sesuatu maklumat tanpa menilai dan melaui proses yang diterangkan di atas, di tambah pula dengan penerimaan orang secara membuta tuli terhadap semua perkhabaran tersebut. Keadaan ini akan mengakibatkan berlaku pertelingkahan sesame manusia. Lihat sahaja dengan satu khabar angin boleh memporakperandakan sebuah rumah tangga bahagia, memutuskan silaturrahim antara keluarga tercinta, memisahkan dua sahabat yang berukhuwwah, saling tidak mempercayai antara satu sama lain, membuatkan kehidupan dalam syak wasangka, seterusnya mengakibatkan kemusnahan keamanan hidup, sengasara jiwa dan sebagainya.
BAHANA DALAM AGAMA
Manakala dalam perihal agama, khabar yang tidak dipastikan kebenaran dan kesahihannya atau tidak bertepatan dengan fakta dan kewarasan akal akan mengelirukan agama lantas dipersenda dan didustai. Ini yang terjadi kepada agama Kristian di Barat pada hari ini, sehingga penghormatan para penganutnya kepada lambang utama agama termasuk Tuhan dan Jesus menjadi bahan sendaan dan mainan.
Penerimaan khabar yang tidak berasas ini secara membuta tuli khusus berkenaan ajaran agama akan memandulkan akal dan menerencatkan fungsi akal manusia. Ini dapat kita lihat Negara-negara yang rakyatnya diharamkan untuk berfikir sehingga menelan segala perkara, sama ada benar ataupun salah tanpa mampu atau mahu berfikir, ini yang terjadi kepada penganut berhala Totok yang menyembah apa sahaja yang terlintas atau yang difikirkan ajaib. Betapa akal dimandulkan ke tahap maksimum dalam beragama.
PENUTUP
Saudara, Marilah sama-sama meningkatkan mutu kehidupan sebagai muslim hakiki dalam mencorak pemikiran kritis dan memberikan akal peranannya dengan method dan manhaj pemikiran dan pengkajian. Betapa pentingnya keutamaan berijtihad (dengan erti kata bersungguh-sungguh memastikan kebenaran sesuatu yang diperolehi) ke atas taqlid yang melulu. Hal ini ditegaskan oleh Dr Yusof al- Qardhawi dalam bukunya Fiqh Keutamaan.
Sebenarnya, kita tidak bimbang asal usul sesuatu perkataan atau pemikiran atau apa-apa kefahaman selagi benar atau bertepatan dengan fakta, kita boleh terima sekalipun ianya datang dari pihak musuh, kerana kebenaran tidak memilih bulu. Perkara yang sepatutnya kita bimbang adalah sekiranya unsur itu terpesong jauh daripada kebenaran. Wallahu a’alam
Rujukan:
1- Fi rihabi Assunnah
2- Kamus Dewan Edisi Ketiga
3- Travelog Minda Tajdid
4- Kubra Yaqiniyat
5- Fiqh Aulawiyat
0 comments:
Post a Comment