RUANGAN TAFSIR
TULISAN :ABD MUHAIMIN MALEK MTQ 4
HIDAYAH AL-FATIHAH
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (١)
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (٢) الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (٣) مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (٥) اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (٦) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (٧)
1. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
2. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
3. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
4. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
5. Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.
6. Tunjukilah Kami jalan Yang lurus.
7. Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.
Marilah sama-sama kita melihat secara agak mendalam terhadap surah yang menjadi pembukaan segala perkara, perungkai segala permasalahan “’amil li kulli ma’mul”. Setiap hari sekurang-kurangnya kita telah membacanya sebanyak 17 kali dalam solat setiap fardhu yang dikerjakan, sehingga kita tidak pernah tersilap apatah terlupa walau satu ayatpun, bahkan ketika kita bangun dari tidur belum melakukan apa-apa kita mampu membaca dan menghafalnya. Apakah terdapat rahsia kehebatan disebalik surah ini? Sehingga diwajibkab kita mengulangnya?. Jawapan ya, terdapat rahsia kehebatan dibelakang surah ini, apatidaknya lihat saja kepada nama surah ini; Imam qurtubi dlm tafsirnya menyenaraikan 12 nama bagi surah ini, ini menunjukan kepada kehebatan. Apa hebatnya?ahli tafsir sepakat meriwayatkan sebuah hadith yang menyebutkan; setiap isikandungan al Quran terdapat di dalam surah al fatihah. Justeru, penulis ingin kemukakan beberapa isi penting tentang surah ini, supaya kita membacanya dalam keadaan sepenuh penghayatan:
1- Allah SWT mengajarkan kepada setiap muslim supaya dalam apa tindakan yang dilakukan hendaklah memohon bantuan dan pertolongan dari Allah dengan membaca bismillah yang bermaksud “dengan menyebut nama Allah dan memohon pertolonganya”. Dalam sebuah hadis yang masyhor; Setiap perkara yang hendak dilakukan tidak dimulakan dengan bismillah, perkara itu akan tertangguh atau tidak sempurna.
2- Allah perkenalkan dua sifat yang amat terpenting untuk kita fahami dan kita gunakan. Sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim, dengan dua sifat inilah kesemua makhluq Allah yang melata di atas permukaan bumi ini mendapat kehidupan dan keniamatan dunia, bagi orang beriman keniamatan berterusan hingga ke akhirat.
3- Di samping Rahman dan Rahim Allah yang dengan keduanya kita merayu kasih dan terkadang kita terus berdosa kerana berprasangka Allah sayang kita, Allah tegaskan dia pemilik penuh hari pembalasan, yang salah dan berdosa pasti akan dihukum dengan seadil-adilnya, yang baik dan berpahala akan diganjari dengan Rahman dan RahimNya. Segala perbuatan kita akan dibentangkan dihadapan khalayak di padang mahsyar nanti. Disamping kita meraih Rahman dan RahimNya kita juga bimbang dengan A’dil dan ‘AzizNya kita bakal diseksa jika kita bersalah.
4- Tuhan memberitahu kita matlamat sebenar hidup kita atas muka bumiNya yang harus menjadi focus utama dalam setiap amalan kita iaitu IBADAH. Ibadah secara khusus adalah solat, imam zamakhsyari menyebutkan; Ibadat solat adalah ibadat yang sangat sesuai untuk menunduk dan menghina diri dihadapan Allah. Maka berperasaanlah ketika kita melaksanakan sujud dengan meletakkan anggota yang paling mulia tuhan ciptakan untuk kita iaitu KEPALA yang terdapat padanya OTAK yang BERAKAL diletakkan di tempat yang paling hina iaitu TEMPAT ORANG BERPIJAK-PIJAK, insyaAllah kita bakal merasai kehambaan yang sebenar.
5- Tuhan mengajar kita agar hanya memohon pertolongan kepadaNya. Pertolongan yang paling pertama dipohon adalah memohon diberikan kekuatan untuk melakukan ketaatan, memohon diberikan kekuatan untuk mengelak diri dari perlakuan maksiat dan mungkar.
6- Hidyah adalah barang termahal dan terpenting buat bekal hidup sebagai Hamba, apa yang kita minta adalah mohon ditunjukan AJARAN ISLAM dan mohon ditetapkan kita dengan ISLAM yang disebut Allah “Jalan yang lurus” iaitu ajaran yang sempurna melengkapi segenap persoalan hidup hatta setelah mati, sesuai di setiap tempat dan keadaan, mendatangkan keamanan dan kesejahteraan kepada pengamalnya di dunia hingga ke akhirat. Jalan itulah juga yang menjadi pegangan dan amalan orang-orang mulia terdahulu.
7- Di samping kita memohon “Jalan yang lurus” Allah mengajar kita agar setiap hari kita memohon supaya tidak terikut jalan yang dimurkai Allah dan jalan yang menyesatkan. Sebahagian ahli tafsir mangatakan jalan yang dimurkai adalah cara hidup Yahudi, jalan yang sesat adalah jalan atau cara hidup orang Narani. Apatah lagi mengambil nasihat dari mereka untuk mengurus hidup kita.
8- Perkataan “Amin” bermakna perkenankanlah Ya Allah segala permintaan kami di dalam surah ini.
Sidang pembaca budiman, mudah-mudahan dengan catatan ringkas berkenaan tafsir surah al Fatihah ini dapat kita fahami setiap kali kita membacanya di dalam Solat atau di luar solat. Hayati al Fatahah moga berterusan dalam hidayah! Salam hormat.
17-RUANGAN FIKRAH
NILAI UMMAH ISLAMIAH
ANTARA KUALITI DAN KUANTITI*
OLEH: ABD MUHAIMIN MALEK. MTQ4
Firman Allah SWT :
الَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ إِلاَّ تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ
73. Dan orang-orang Yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan Pembela bagi setengahnya Yang lain. jika kamu (Wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri Yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan Yang besar.
Saudara pembaca budiman. Saya mengajak sekalian kita umat Islam untuk meneliti secara sedar akan ayat suci Allah dari surah Anfal ini, betapa Allah SWT ingin memperkatakan kepada kita bahawa sesuatu yang amat penting untuk diambil kira dan peke adalah “Qimatul Ummah” nilai atau kualiti ummah, bukanlah yang terpenting itu “Qaamatul Ummah” kecil besar atau ramai sedikit bilangan ummah. Ummah di sini merujuk kepada ummat Islam yang bertaburan di sana-sini.
Ayat Allah ini sangat mendalam kehendak dan amaranNya dalam masa yang sama memaklumkan kepada kita bahawa golongan kafir sejak mula menetap di bumi antara mereka saling hubung menghubung bahu membahu mengumpul dan mengembeling tenaga dan daya di samping sentiasa menggandakan usaha dalam rangka menidakkan kemahuan dan tuntutan Allah di atas bumiNya. Faktor tersebutlah yang menampakkan kejayaan dakyah dan propaganda mereka. Juasteru itu, Allah mengingatkan kita akan kesatuan Ummah Islamiah yang wajib dibentok, kesatuan ini harus didasari kesatuan aqidah dan kekuatan ukhuwwah untuk menegakkan ajaran Allah demi memberi kesejahteraan kepada semua. Jika kita tidak sama sekali berusaha membetok kesatuan ini akan berlakulah fitnah besar dan kerosakkan yang amat dahsyat.
Ayat ini diturunkan Allah untuk semua ummat Islam di setiap zaman bermula ummah zaman awal kedatangan Islam sehingga sebelum tercetusnya qiamat. Tuntutan ayat agong ini adalah seperti yang kita sebutkan di atas untuk membangunkan nilai dan kualiti ummah itu lebih terpenting dari membilang-bilang lalu berbangga dengan ramainya ummat Islam. Lihatlah bilangan mereka ( sahabat ) ketika awal penurunan ayat ini seperti yang dilaporkan oleh Imam Bukhari seramai seribu lima ratus orang.
Jika demikian, ayat ini bukanlah ditujukan kepada sesiapa melainkan ia sentiasa ditujukan kepada “Ummah Islamiah” ia bukanlah ditujukan kepada kuasa besar dunia, bukan juga kepada penjajah-penjajah barat yang pernah menjajah negera-negara kecil seperti Malaysia, malahan ayat ini secara yakin dan pasti adalah diturunkan dan ditujukan kepada kita Ummah Islamiah.
Marilah kita memulakan pembentokan wahdatul ummah al islamiah ini dengan ikhlas dan benar, dengan ukhuwwah islamiah dan aqidah sahihah. Renung dan hayatilah sejarah persaudaraan ansar dan muhajirin yang membuahkan kesatuan kekuatan yang akhirnya berjaya membawa Islam dalam kehidupan manusia melalui pemerintahan Islam kerajaan Islam Negara Madinah. Buanglah sikap hidup nafsi-nafsi yang sudah barang tentu mendatangkan kemudharatan kepada Ummah Islamiah seperti apa yang di sebutkan Allah dalam ayat di atas “akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan Yang besar”.
Mudah-Mudahan Tulisan Ringkas Dalam Ruangan Terbatas Ini Menajdi Suntikan Awal Untuk Ummah Islam Menjelmakan Semula Langkah-Langkah Penyatuan Aqidah Dengan Mula Memahami Islam Dengan Kefahaman Yang Betul Dan Tepat.
*Tulisan Ini Adalah Ulasan Dari Buku “Taamulat Fil Quran Al Kareem” Maulana Abul Hassan An Nadwi Ra
TERBITAN: UNIT ICT MAAHAD TAHFIZ AL QURAN WAL QIRAAT ADDIN TAPAH
0 comments:
Post a Comment