RUANGAN TAZKIRAH
TANGGUNGJAWAB TERHADAP AL-QURAN
OLEH: bishrulhafi mtq4
Al Imam Haris Al Muhasibi seorang ilmuan Islam yang telah menghasilkan hampir 200 karangan seperti yang dilaporkan oleh Imam Tajuddin As Subky dalam Tobaqat Asy-Syafi’iah Al Kubra, beliau dilahirkan di basrah, dan wafat pada tahun 243h di Baghdad, pernah menyebutkan kepada kita beberapa tanggungjawab yang perlu kita laksanakan terhadap al-Quran untuk mempastikan kita benar-benar terkeluar dari kegelapan kejahilan kepada cahaya Iman, dan dari seksa keraguan kepada tenang keyakinan seterusnya memastikan diri kita dilindungi oleh yang Maha Mengawal dan Menolong dari kegelapan dan keraguan, firman Allah yang bermaksud; “Allah adalah pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya keimanan.” Al-baqarah 257. Tanggungjawab tersebut adalah;
Pertama: Beramal dengan dengan hukum-hakamnya yang terdiri dari suruhan dan larangan Allah. Saidina Ali K.W pernah memberitahu kita antara ciri-ciri orang bertaqwa adalah “al ‘amal bit tanzil” berusaha sedaya upaya beramal dengan al Quran yang diturunkan. Al Quran diturunkan kepada manusia keseluruhannya oleh yang demekian itu kita dapati ayat-ayat Allah yang menyeru sekalian manusia “Ya Ayyuha Annas” termasuk kita orang beriman, disamping juga orang beriman di seru dengan panggilan istimewa “Ya ayyuha allazina aamanuu” pada 88 tempat di dalam alquran seperti yang dilaporkan oleh Assabuni dalam “Sofwatu at Tafasir”, menunjukan kita orang yang mempunyai IMAN bersedia dengan IMAN yang berbekal untuk melaksanakan tuntutan al Quran. Maka sahutlah seruan Allah untuk menjamin kesejahteraan hidup dengan cahaya Iman.
Kedua: Sentiasa takut dengan Azab seksa yang disediakan dan sentiasa mengharapkan janji baik yang disebutkan.
Sebenarnya perkara ini harus diterapkan di dalam system pendidikan kita, supaya pendidikan akhirat ini (memperkenalkan Syurga dan Neraka) mula-mula sekali difahami oleh anak bangsa kita sebelum ditekankan dengan ilmu dunia. Kegagalan kita dalam menunaikan pendidikan akhirat ini membuatkan dunia kita dipenuhi dengan insan-inasan duniawi yang merosakkan persekitaran dengan gejala-gejala, fenomena-fenomena yang tidak sihat. Anak muda belia/beliawanis kita tidak sensitive dengan akhirat. Cuba kita bayangkan jika ada belia/beliawanis kita menangis di malamhari munajat mengharapkan pahala yang banyak, menangis dihadapan Allah, apa perasaan kita ketika itu, jika kita ditakdirkan Allah melihat suasana itu? Sudah tentu kita sebagai bapa atau orang dewasa turut menangis melihat keadaan tersebut. Ketahuailan! Bukan kita sahaja yang merasa gembira bahkan ratusan para malaikat turut rasa gembira yang teramat melihat anak muda menangis dihadapan Allah, Dr Ahmad Syarbasi ada menyebutkan sebuah riwayat yang diambil dari aljamik assoghir; bahawa Nabi Muhammad S.A.W pernah melalui dihadapan sebuah rumah pada suatu malam, kedapatan seorang anak muda menangis teresak-esak sambil bermunajat di hadapan Allah. Keesokan harinya nabi datang bertemu anak muda itu, lalu mengatakan: “bahawa ramai para malaikat dilangit saat ketika engkau bermunajat kepada Tuhamu bergembira melihat keadaanmu..” aw kama qala.
Ketiga: Mengambil pengajaran dari kisah-kisah dan perumpamaan di dalam al Quran.
Al Quran bukanlah sebuah buku cerita yang dibaca dengan tujuan untuk mendatang rasa seronok atau sedih, bahkan al Quran sebuah kitab suci yang wajib dipelajari kisahnya dan wajib diambil pengajaran dan pelajaran dari kisah yang dipaparkan. Kita tidak seharusnya membaca kisah balak bencana yang tuhan kenakan kepada ummat terdahulu tanpa membaca dan menghayati kenapa atau sebab diturunkan bala? Bahkan intipati terpenting dalam membaca kisah al Quran adalah mempelajari sebab asbab kepada turunnya azab atau sebaliknya.
Sebagai penutup, Dr Shahid Al bushikhi dalam risalah kecinya:” Syarat untuk mendapat Manfaat daripada al Quran” adalah; MEMBACA, MEMAHAMI, MENGIMANI DAN MENGAMALKAN. Empat syarat ini melayakkan kita untuk berjaya memperolehi manfaat al Quran.Ï
TERBITAN: UNIT ICT MAAHAD TAHFIZ AL QURAN WAL QIRAAT ADDIN 4 TAPAH.
0 comments:
Post a Comment