DI HADAPAN GERBANG RAMADHAN 1432
Oleh; Ust Abd Jabbar Abd Kahar
Ramadhan semakin hampir dengan kita, malahan kita sedang berada di hadapan pintu gerbangnya yang terbuka luas untuk menerima kunjungan kita. Bersiap siagalah untuk memasuki bulan barakah ini, mudah-mudahan ianya memberi kekuatan untuk melakukan kebaikan di bulan-bulan lain.
Bagi meraikan bulan yang istimewa ini, alangkah baiknya kalau kita dapat mengetahui apakah perkara-perkara yang mesti kita tinggalkan di bulan ini:
1)Tanggapan bahawa Bulan Ramadan sama seperti bulan-bulan yang lain:
Ketahuilah, bahawasanya bulan Ramadan adalah di antara bulan-bulan yang istimewa selain dari bulan-bulan yang diharamkan berperang iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab dan juga bulan Syaaban. Banyak kelebihan tentang keistimewaannya telah dirakamkan dalam hadis Nabi Sallahu Alaihi Wasallam di antaranya:
1.1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
1.2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
1.3. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
2) Tegahan dari melakukan sebahagian perkara yang harus pada asalnya:
2.1) Makan, minum dan mengikut syahwat:
Pengertian Soum atau puasa ialah “menahan diri dari makan minum dan syahwat bermula dari terbit fajar sodiq sehingga terbenam matahari”. Ramai dari kelompok masyarakat hanya memahami frasa pertama dari tujuan berpuasa iaitu menahan diri dari makan dan minum, dan seolah-olah mengabaikan frasa yang kedua iaitu menahan diri dari terpesona dengan syahwat. Puasa seperti ini dinyatakan olen Imam al-Ghazali ialah puasa orang awam, yang tidak melengkapi puasa khusus al-khawas(puasa yang menjaga kedua-dua frasa /aspek ini).
Akibatnya pada waktu dan bulan tersebut, ramai orang yang berpuasa tidak lebih dari hanya sekadar berlapar dan berdahaga, tetapi tidak dapat menghayati falsafah berpuasa itu sendiri. Letih yang dapat takwa merempat. Lihat sahaja kalau membeli-belah di bulan ini, semuanya mengikut hawa nafsu, juadah berlebihan dari apa yang patut. Jikalau hari biasa hanya membelanjakan RM10 sehari untuk makanan, bulan Ramadan berbelanja 3 kali ganda malah lebih dari itu. Ini semuanya adalah bentuk pembaziran yang dipandu oleh hawa nafsu. Ingatlah kepada amaran Allah Subahanahu Wata’ala yang bermaksud” Janganlah kamu semua membazir, Sesungguhnya Dia (Allah) tidak menyukai orang membazir” (Surah al-Ana’m: ayat:141)
2.2) Tegahan dari Berdebat dan berbalah
Sabda Nabi Sallahu Alaihi Wasallam “Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia(orang yang berpuasa)(hendaklah) berkata : Sesungguhnya aku berpuasa, demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya”. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi.
Pada musim ini juga, Nabi Sallahu Alaihi Wasallam juga melarang kita dari bercakaran antara satu sama lain, terutamanya dalam isu yang remeh temeh,umpamanya kedudukan berapa rakaat solat terawikh yang sering diperdebatkan, sedangkan melakukan 8 rakaat ada sandaran dalil dan 20 rakaat ada sandarannya, yang tiada sandaran, orang yang nothing to do.Teraweh tidak diendahkan yang disibukkan persiapan untuk meraikan hari raya.
3) Tegahan dari kenyang sehingga meletihkan.
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
SabdaNya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”
As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.
4) Tegahan dari menyibukkan diri dengan urusan duniawi semata.
Pada bulan Ramadan ini, perlulah kita mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Sallahu Alaihi Wasallam lebih-lebih lagi pada 10 akhir Ramadan, Baginda beriktikaf di dalam masjid dan tidak keluar dari masjid melainkan atas urusan yang penting sahaja sehinggalah berakhirnya Ramadan. Inilah yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat.
5. Tegahan dari berlumba-lumba dari merebut kuantiti dari mencari kualiti .
Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan qiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)
Begitu jugalah dalam acara bertadarus al-quran, yang perlu diberikan perhatian adalah tadabbur al quran, iaitu membaca secara bertajwid dan meneliti makna al-quran. Bukannya mengira berapa kali mengkhatamkan al-quran dalam masa sama tidak meraikan tajwid al-quran.
Mudah-mudahan Ramadan yang akan kita akhiri ini adalah yang paling baik yang pernah dilaksanakan. .Amin Ya Robbal Alamin.
0 comments:
Post a Comment