MENDAMBA MAGHFIRAH ILAHI DI BULAN RAMADHAN
(AWSATUHU MAGHFIRAH)
Oleh; UST N.M ASSIDDIQ MOHAMMAD, PK MTQ-4
Segala puji dan puja kehadrat Ilahi, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, serta kaum keluarga baginda, sahabat- sahabat baginda serta pejuang- pejuang yang menegakkan agama Allah di muka bumi ini.
Kita merasa syukur, kerana sehingga saat ini, kita masih lagi diberikan peluang oleh Allah SWT untuk menempuhi hari- hari dalam Ramadhan dengan nikmat kesihatan serta kekuatan untuk memperbanyakkan ibadah dalam bulan yang mulia ini. Ramadan adalah bulan yang terbaik, penghulu segala bulan yang sama dengan hari Jumaat, penghulu segala hari.
Kita sering sahaja dituntut oleh Allah SWT untuk memperbanyakkan Istighfar (memohon keampunan) dalam kehidupan kita, ini kerana kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan kepadaNYA, dan cara yang terbaik untuk menebus kembali kesilapan itu adalah dengan berdoa dan beristighfar kepada Allah SWT.
Erti Istighfar ialah: memohon keampunan daripada Allah SWT dan ia dilakukan bagi pembersihan dari segala dosa dan kesalahan. Sesungguhnya, keampunan itu adalah untuk memelihara diri daripada keburukan dosa-dosa yang dilakukan.
Menurut segolongan ulama, “Setiap doa yang memohon keampunan Allah, maka ia adalah Istighfar”
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 199:
“Dan kamu mohonlah keampunan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Satu kelebihan beristighfar telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam satu hadith, Baginda bersabda:
“Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”. (Riwayat Al-Imam Abi Daud)
Dari hadith di atas, dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat Istighfar itu antaranya adalah:
1) Memperolehi keampunan dari Allah SWT atas segala dosa yang dilakukan samaada sengaja ataupun tidak.
2) Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.
3) Mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun sahaja tetapi juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah SWT dan untuk mencapai keredhaanNYA.
4) Memperolehi perlindungan dari Allah SWT daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan Istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.
5) Memelihara diri dari melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan Istighfar dapat membersihkan hati dari lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan apa yang dilarangNYA.
6) Memperolehi keutamaan dan anugerah dari Allah SWT berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.
Pengampunan Allah SWT tidak terhad pada waktu- waktu dan hari- hari tertentu sahaja, bahkan pengampunanNYA diberikan kepada mana- mana hamba yang memohon dariNYA tidak mengira hari dan tempat, asalkan hamba itu memohon keampunan dengan seikhlas hatinya.
Bersempena dengan Ramadhan ini, kita telah dikhabarkan oleh junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW, bahawa di pertengahan Ramadhan itu ( 10 hari yang ke dua ) adalah hari- hari pengampunan dari Allah Swt kepada hamba yang menadah tangan memohon keampunan dariNYA, sabda baginda:
“wa awsathuhu maghfirah”
Maksudnya: “pertengahannya (Ramadhan) adalah pengampunan”
Walaupun ada yang menyatakan hadith ini lemah dari sanadnya, tetapi ia sebenarnya tidak menafikan sifat Allah SWT yang maha pengampun kepada hamba- hambanya, tidak mengira masa dan tempat, Ramadhan ataupun bulan- bulan yang lain.
Pada bulan Ramadhan kita dituntut untuk memperbanyakkan ibadah, bagi menambah bekalan kita untuk hari Qiamat kelak, maka begitu juga kita dituntut untuk memohon keampunan dari yang maha pengampun bagi membersihkan diri kita dari sebarang dosa.
Oleh itu, marilah sama- sama kita mengambil peluang yang masih terbentang di hadapan kita ini, untuk kita memohon keampunan dan maghfirah dari Allah SWT, tidak kira di bulan Ramadhan atau selepas berlalunya Ramadhan.®
Untuk makluman:siri Ar-raeid 13 ini bersiri , sila ikuti dari siri yang ke - 12 .
ReplyDelete