Beberapa Panduan dan arahan dari ISRA’ DAN MIKRAJ
Tulisan; Abd Muhaimin bin Malek MTQ-4
Peristiwa Isra’ dan Mikraj yang berlaku ke atas junjungan besar nabi kita Muhammad S.A.W sebelum baginda berhijrah ke Madinah adalah merupakan suatu peristiwa yang perlu diberi perhatian yang sangat mendalam oleh seluruh ummat Islam. Pentingnya perhatian itu bukanlah kerana semata-mata peristiwa ini merupakan perkara yang mencarik adat malah lebih dari itu kerana ia mengandungi faktor-faktor pembangunan kemanusiaan, hakikat iman dan kebenaran. Dalam masa yang sama peristiwa ini turut memdedahkan nilai-nilai keruntuhan yang perlu kepada ketegasan iman untuk membanterasnya.
Sebagai Ummat Islam yang beriman dengan kehadiran baginda sebagai rasul Allah mestilah melihat peristiwa ini sebagai suatu panduan dan arahan yang sangat mustahaq selain dari alquran dan hadist untuk kehidupan kita.
Antara apa yang perlu kita perhatikan di dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj ini daripada panduan dan arahan ialah;
Pertama: Perjuangan mengembalikan kemanusiaan (Fitrah) kepada diri manusia itu sendiri. Lambang atau symbol yang didapati dalam peritiwa ini ialah nabi S.A.W memilih susu dari arak sebagai minuman baginda apabila dihidangkan susu dan arak oleh jibril A.S.(hadis sahih riwayat bukhari muslim).
Zaman mutakhir ini ramai manusia hilang jatidiri kemanusiaan mereka sehingga tidak lagi berperangai seperti manusia yang manusiawi dengan tabiat jahat dan buruk yang melindungi dan mengotori kesucian fitrah yang ada dalam diri mereka sehingga “Nafsu dan syahwat didahulukan Kerosakkan diuatamakan” menjadi prinsip hidup sebahagian ummat Islam. Oleh kerana itu, perjuangan mengembalikan kemanusiaan tidak akan dapat dipastikan kecuali melalui gerakkan yang antara perjuangan mereka mengembalikan ubudiyyah manusia kepada Tuannya. Dengan mengintisabkan diri kepada gerakkan seumpama yang disebutkan lalu bersedia dididik akan menjamin kembalinya kemanusiaan seseorang kepada dirinya sendiri.
Kedua: Perjuangan menentang kejahilan. Simbol yang didapati dalam peristiwa ini ialah apa yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim; bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah dibedah dadanya sampai ke perut oleh Saidina Jibril A.S dan dikeluarkan organ dalaman baginda lalu dicuci dengan air zamzam, kemudian dipenuhkan dadanya dengan hikamah dan iman.
Sesungguhnya manusia yang imannya bertunas dari nur ilmu dan makrifah akan mencetuskan “amal soleh” berupa tindakan-tindakan yang boleh membangunkan kehidupan.
Mutakhir ini kita sering melihat ramai ummat Islam yang membuat keputusan atau melaksanakan apa-apa aktiviti bukanlah berdasarkan cahaya ilmu bahkan lahir hasil dari kepandaian(dengan maksud pandai-pandai)mereka, sehingga ada yang menjadikan sesuatu yang bertentangan dengan Ilmu Islam sebagai prinsip kerja mereka, kemudian berbangga bahawa dia manusia yang ada prinsip, sedangkan apa yang dipegannya itu bertentangan dengan ajaran Allah. Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah Ilmu Islam (ajaran agama) yang boleh menjamin keselesaan hidup di dunia dan keselamatan hidup di akhirat.
Sindrom “malas menghadiri pengajian agama” menjadi musibah terbesar ummat Islam akhir-akhir ini, menyebabkan banyak keputusan-keputusan yang dibuat tidak berpaksikan kepada Ilmu bertembung antara satu sama lain, khususnya apa yang berlaku antara orang mukmin dan orang munafiq, munafiqin akan mengatakan apa yang diputuskan boleh membangunkan memajukan sesuatu, manakala mukminin mengatakan apa yang diputuskan itu boleh meruntuhkan nialai-nialai baik.kita pernah membaca rakaman pertelagahan ini di dalam surah al baqarah ayat 11; Allah berfirman mafhumnya:”Apabila dikatakan kepada golongan munafiqeen;jangan kamu melakukan kerosakkan atas muka bumi ini..mereka munafiqeen menjawab;bahkan kamilah orang-orang yang melakukan tranformasi yang mendatangkan kebaikan!”.
Begitu juga kedapatan sindrom “cukup dah ni” yang menimpa golongan yang boleh membaca satu dua ayat al quran atau hadis dan boleh menterjemahkannya ke dalam bahasa melayu.
Oleh kerana itu, perjuangan membebaskan diri dari musuh terbesar dalam kehidupan kita iaitu kejahilan sepatutnya dimulakan dan diteruskan selagi ada waktu, selagi nyawa dikandung badan..perjuangan yang tiada noktahnya.Noktahnya adalah MAUT.
Mudah-mudahan dua iktibar ini boleh memantapkan kefahaman kita kepada tuntutan Islam.
0 comments:
Post a Comment